Kesetian saya kepada prinsip perubahan" Ezam

on Sunday, August 10, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


Wawancara Ezam Mohd Nor bersama Mingguan Malaysia

SETELAH 10 tahun berada di luar UMNO, Mohamed Ezam Mohd.Noor kembali ke pangkuan parti itu minggu lalu. Walaupun kemasukan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dianggap satu kejayaan kepada UMNO namun ia tidak terlepas daripada pelbagai spekulasi, ini termasuklah dakwaan beliau mempunyai agenda.

Spekulasi seumpama itu wujud memandangkan Mohamed Ezam menyertai UMNO selepas pilihan raya dan ketika UMNO sedang berhadapan dengan pemilihan parti. Apa pun, dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR di Subang, Mohamed Ezam menjelaskan dengan terperinci faktor yang membuatkan beliau kembali menyertai parti yang suatu ketika dahulu ibarat musuh kepadanya.

Mohamed Ezam turut menegaskan biarpun apa juga tafsiran orang, ia tidak akan menggugat pendiriannya kerana kata beliau, “Saya tidak mahu menghabiskan masa dan tenaga untuk melayan spekulasi.”

Bagi Mohamed Ezam, beliau mempunyai matlamat sendiri ketika membuat keputusan yang dianggap paling sukar dalam perjuangan politiknya. Dalam pertemuan itu juga, beliau turut mendedahkan beberapa tindak tanduk kepimpinan PKR yang dianggap mengamalkan politik tanpa batasan sekaligus bercanggah dengan pendiriannya. Malah beliau juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah melanggar sumpah keramat seperti mana didakwa oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Mingguan: Apakah faktor utama yang mendorong saudara untuk membuat keputusan kembali ke dalam UMNO?
MOHAMED EZAM: Ini merupakan satu keputusan paling sukar dalam tempoh perjuangan politik saya. Ia dilakukan selepas mengambil kira banyak faktor. Tempoh 10 tahun berada di luar UMNO bukanlah suatu jangkamasa yang pendek. Tetapi apa pun akhirnya saya berbalik kepada prinsip asas saya berpolitik iaitu untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan. Inilah yang mendorong saya menyertai UMNO pada tahun 1991 iaitu untuk melakukan perubahan setakat yang saya mampu melalui ruang yang ada.

Justeru keputusan saya kembali kepada UMNO beberapa hari lalu juga adalah atas asas ini. Oleh itu sesukar mana pun, saya mesti berani untuk membuat keputusan ini. Ini kerana apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri dalam melakukan perubahan ke atas badan kehakiman dan memberi struktur yang agak bebas kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) adalah perkara paling penting bagi saya. Ia adalah satu tindakan yang amat signifikan dalam tempoh era reformasi dan perjuangan ke arah perubahan dalam negara ini.

Kalau itulah yang menjadi asas keputusan saudara, kenapa saudara keluar dari pakatan pembangkang sedangkan mereka juga dikatakan bercakap soal kebebasan badan kehakiman dan BPR?

MOHAMED EZAM: Apa yang perlu difahami, antara perubahan yang ingin dilakukan oleh pembangkang dan perubahan yang ingin dilakukan oleh orang yang berkuasa. Saya akan memilih perubahan yang akan dilakukan oleh orang yang berkuasa. Ini bukan bermakna saya mahu dekat dengan kuasa tetapi perubahan yang akan dilakukan oleh orang yang berkuasa itu boleh memberi impak kepada rakyat, sedangkan perubahan yang ingin dilakukan oleh pembangkang belum tertentu menjadi impak.

Kalau orang bertanya kenapa sekarang saya bertindak masuk UMNO jawapannya kerana hanya beberapa minggu lalu selepas pilihan raya umum, orang yang berkuasa ini melakukan perubahan.

Itu hujah saudara tetapi orang melihat saudara membuat keputusan ketika UMNO berhadapan dengan pemilihan parti, orang mungkin akan menganggap saudara mempunyai agenda.

MOHAMED EZAM: Keputusan saya bertitik tolak kepada usaha kerajaan melakukan perubahan dan pembaharuan. Langkah itu paling jelas untuk dilaksanakan selepas pilihan raya bukan sebelum pilihan raya. Masa bagi saya tidak penting. Katakanlah perubahan itu dilakukan sebelum pilihan raya, saya pasti akan masuk UMNO ketika itu. Maknanya tindakan saya tiada kaitan dengan persoalan pilihan raya mahupun pemilihan parti.

Saya tidak pernah berkira-kira untuk melakukan tindakan politik bergantung kepada kedua-dua suasana itu atau kerana jawatan. Rekod saya menunjukkan bahawa saya sedia tidak bertanding dalam dua pilihan raya. Kali terakhir saya bertanding ialah pada tahun 1999. Manakala pada tahun 2004 saya tidak boleh bertanding kerana saya membuat pilihan untuk mendedahkan dokumen yang menyebabkan saya ditahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Dalam pilihan raya lalu pula, saya mendapat tawaran daripada kawan-kawan dalam pembangkang dan UMNO untuk bertanding. Bagaimanapun pada masa itu saya merasakan untuk membuat perubahan adalah lebih baik saya memperkukuhkan masyarakat melalui Gerak. Kalaulah perkiraan saya ialah pilihan raya dan pemilihan parti tentunya saya tidak menolak untuk bertanding.

Tanpa memegang sebarang jawatan dalam UMNO, adakah saudara yakin boleh memainkan peranan yang berkesan bagi mencapai hasrat itu?

MOHAMED EZAM: Memang jawatan itu membantu tetapi bagi saya kalau kita melihat perjuangan asal banyak pejuang-pejuang bangsa, mereka bermula tanpa jawatan. Bagi saya jawatan tidak penting. Apa yang lebih utama ialah ruang untuk melakukan perubahan. Kalau ia diberikan oleh pimpinan parti walaupun tanpa jawatan saya berpendapat ia lebih positif.

Cabaran pertama saudara adalah untuk membuktikan keikhlasan apabila kembali semula kepada UMNO. Bagaimana saudara hendak lakukan?


MOHAMED EZAM: Saya hendak jelaskan kesetiaan saya ialah kepada prinsip perubahan bukan kepada mana-mana individu atau organisasi. Ini kerana saya tidak diajar berbuat demikian malah agama juga tidak menyuruh kita berbuat begitu. Agama mengajar kita untuk setia kepada perjuangan perubahan, oleh itu setia saya ialah kepada perubahan menegakkan keadilan yang memberi impak positif kepada rakyat. Melalui keyakinan dan prinsip itu, kehadiran saya sepatutnya tidak akan mendatangkan masalah kepada mereka di dalam UMNO yang benar-benar mahu berjuang untuk pembaharuan dan perubahan demi rakyat.

Saya hanya akan dipandang serong oleh mereka yang berjuang demi kepentingan politik masing-masing. Saya tidak mahu terperangkap dalam percaturan politik kerana ia akan mengalih perhatian saya terhadap usaha perubahan ini yang saya anggap besar dan amat genting untuk UMNO.

Tetapi saudara juga berhadapan dengan persepsi bahawa saudara masuk dengan agenda politik?


MOHAMED EZAM: Dalam politik kita tidak boleh menguasai persepsi secara total. Jadi saya tidak mahu menghabiskan banyak masa saya untuk melawan persepsi. Saya tidak mahu tenaga saya habis untuk menyakinkan atau membetulkan persepsi orang. Saya mahu tenaga saya difokuskan kepada usaha melakukan perubahan dalam UMNO bagi menarik kembali keyakinan masyarakat khususnya orang Melayu kepada parti itu. Ia bukanlah perkara mudah untuk ditunaikan, oleh itu saya tidak mahu menghabiskan tenaga saya dengan persoalan persepsi.

Apabila saudara menyentuh soal dokumen OSA, dalam UMNO sekarang masih ada individu yang dikaitkan dengan dokumen berkenaan. Bagaimana saudara hendak menghadapi golongan ini?


MOHAMED EZAM: Apa yang saya lakukan sebelum ini adalah atas dasar tugas saya ketika memimpin Gerak dan ia bukan atas dasar peribadi. Malah apabila saya membuat keputusan kembali kepada UMNO tidak ada sebarang perjanjian dengan Perdana Menteri untuk menarik balik apa juga tindakan yang saya lakukan. Apa yang telah saya lakukan biarlah ia dalam proses tersebut. Bagi saya, masalahnya bukan saya tetapi siapa yang mengamalkan rasuah.

Kalau mereka betul-betul melakukan perbuatan berkenaan, itu masalah mereka. Sama ada saya dalam atau di luar UMNO, mereka tetap bermasalah jika mengamalkan rasuah. Perasuah sama ada dalam BN atau pembangkang mesti dihukum. Itu tidak boleh dikompromi.

Adakah saudara yakin peranan saudara akan diterima sedangkan saudara baru kembali kepada UMNO?

MOHAMED EZAM: Apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu seharusnya menjadi pengajaran kepada UMNO untuk banyak mendengar, bersifat terbuka dan mempunyai kekuatan melakukan perubahan. Saya tidak minta mereka menerima seratus peratus apa yang saya katakan tetapi bagi saya adalah baik mereka mengambil manfaat daripada pengalaman saya di luar UMNO. Ini kerana saya bukanlah ingin menjadi wira tetapi mahu menyelamatkan bangsa Melayu dan Malaysia.



Apakah tindakan meninggalkan pembangkang atau lebih tepat lagi PKR kerana saudara sudah tidak percaya kepada reformasi yang dilaungkan oleh mereka selama ini?
MOHAMED EZAM: Saya mungkin ada alasan peribadi kenapa saya meninggalkan mereka tetapi saya tidak mahu terjebak dalam soal itu kerana bagi saya alasan lebih besar ialah persoalan kejujuran dalam melakukan perubahan. Bagi saya, prasyarat utama dalam kita melakukan perubahan ialah konsisten dalam memperjuangkan sesuatu perkara.

Tetapi saya melihat PKR berganjak-ganjak daripada teras perjuangannya. Kita tengok DAP, mereka tidak berganjak-ganjak daripada teras perjuangannya iaitu Malaysia Malaysian, UMNO pula memperjuangkan Melayu dan Pas memperjuangkan Islam. Tetapi PKR saya lihat sering berganjak-ganjak bergantung kepada ‘pasaran’.

Kalau kita masih ingat PKR ini diisytiharkan sebagai parti berbilang kaum yang asasnya Melayu sehinggakan kita mendapat sokongan kuat daripada kakitangan kerajaan dan pertubuhan Melayu seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Tetapi akhir-akhir ini perjuangan itu sudah hilang yang tinggal hanya ‘Parti Keadilan - parti berbilang kaum’. Ini berlaku semenjak Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari penjara apabila beliau tidak lagi menyebut soal parti berteraskan Melayu tetapi menyebut berbilang kaum.

Ia kerana pada masa itu beliau melihat kepada masalah ekonomi dan memberi perhatian kepada kaum Cina dengan tujuan menarik kaum itu. Tindakan itu jelas menunjukkan PKR ini sentiasa berganjak dalam teras perjuangannya. Ini bagi saya tidak konsisten.

Saya berani menyatakan dalam tempoh beberapa minggu atau bulan akan datang ini Anwar akan menampilkan kembali imej Melayu dengan cara menarik pemimpin dan tokoh Melayu ke dalam PKR. Tindakan itu dilakukan kerana beliau kini diserang hebat kerana meninggalkan agenda Melayu. Ertinya, beliau akan menganjakkan lagi teras perjuangan PKR dan kali ini bagi mendapatkan ‘pasaran’ Melayu pula.

Saudara didakwa oleh Presiden parti tersebut melanggar sumpah keramat dan beliau terkejut dengan tindakan saudara menyertai UMNO?

MOHAMED EZAM: Saya hendak jelaskan bahawa sumpah keramat itu untuk mempertahankan keadilan bukannya untuk mempertahankan Parti Keadilan. Jadi saya tidak lari daripada landasan perjuangan. Kalau kita lihat kepada PKR sekarang, jika anda bertemu dengan pemimpin di peringkat pertengahan dan bawahan anda akan dapat mendengar keluhan ketidakadilan yang berlaku di kalangan pemimpin PKR. Nama Parti Keadilan tidak semestinya sama dengan istilah keadilan. Jadi sumpah saya ialah untuk mempertahan dan memperjuangkan keadilan dan itu bukan hak eksklusif PKR.

Selain itu, Presiden PKR berkata, beliau terkejut dengan tindakan saya kembali ke dalam UMNO. Persoalannya, kenapa beliau perlu terkejut? Bukankah suami beliau dahulu masuk UMNO selepas mengkritik UMNO dan masuk penjara (di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri) . Sepatutnya beliau tidak harus terkejut kerana suaminya juga melalui proses yang sama. Apa yang perlu diketahui, saya masuk semula ke dalam UMNO yang jauh lebih baik berbanding semasa Anwar masuk UMNO dahulu dari segi perubahan. Sekurang-kurangnya saya masuk UMNO yang nampak jelas hendak melakukan perubahan dari sudut kehakiman dan BPR tetapi Anwar masuk dahulu tidak ada pun sebarang pengumuman oleh UMNO untuk melakukan perubahan berkenaan.

Bagaimana saudara melihat tindakan PKR dan pembangkang memainkan isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan ketuanan Melayu?

MOHAMED EZAM: Anwar mengamalkan permainan politik tanpa batasan. Beliau sanggup melanggar garisan sehingga mencemuh DEB. Walhal rasuah itu bukan wujud kerana DEB tetapi cemuhan beliau menyebabkan orang melihat jijik dasar tersebut. Beliau juga memainkan sentimen perkauman yang kuat untuk menarik kaum Cina sehingga orang melihat DEB inilah punca rasuah.

Anwar memainkan isu DEB kerana politik bagi mendapatkan undi-undi bukan Melayu, semua ini bersifat perkauman. Beliau sanggup melanggar garisan sedangkan DEB adalah satu dasar penting negara untuk Melayu dan bangsa-bangsa lain. Kalau beliau mempunyai semangat kenegaraan, beliau tidak akan berbuat demikian. Tetapi beliau melanggar garisan ini semata-mata untuk mendapat undi bukan Melayu. PKR kata mereka parti berbilang kaum tetapi mereka mengamalkan politik perkauman bagi meraih undi.

Mereka berjaya dalam tindakan itu tetapi ia sampai ke tahap mencemuh dasar yang berjasa kepada bangsa. Kita tidak boleh mencemuh DEB sehingga ia tidak dihormati oleh bangsa kita dan kaum lain. Sebab itulah saya tidak setuju dengan tindakan Anwar malah ketika dalam PKR pun saya pernah berbalah dalam mesyuarat berhubung soal DEB ini. Dalam soal ketuanan Melayu, saya tidak percaya kepada konsep itu. Mungkin kenyataan ini dilihat kontroversi tetapi dalam Islam ketuanan tidak wujud, yang ada ialah pemegang amanah.

Oleh itu ketuanan Melayu pun tidak tepat, ketuanan rakyat pun tidak tepat tetapi saya memegang teguh kepada prinsip asas Melayu. Negara ini asasnya Melayu, inilah yang mahu dianjakkan oleh PKR. Apa salahnya kita menyatakan negara ini asasnya Melayu? tetapi Melayu dan Islam yang macam mana? Sudah tentulah Melayu yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, adil, tidak angkuh, menghormati dan menjadi pelindung kepada bangsa lain.

Kita tidak boleh menghilang asas Melayu Islam yang ada pada negara ini. Itulah perjuangan UMNO tetapi apa yang dilakukan oleh PKR ialah menghakis asas tersebut demi kepentingan politik, inilah yang saya tidak boleh berkompromi.

Kini saudara akan menjadi ahli UMNO, apakah harapan saudara kepada ahli-ahli UMNO supaya kehadiran saudara tidak diragui?

MOHAMED EZAM: Kita harus meletakkan kepentingan negara dan bangsa mengatasi perkara lain. Kita harus melihat UMNO ini sebagai satu perjuangan. Apabila ia sebuah parti perjuangan bermakna ia harus dipenuhi dengan pengorbanan dan pemimpin-pemimpinnya sanggup berkorban dan rela mengenepikan kepentingan sendiri atau kelompok demi untuk negara. Itu maknanya perjuangan. Oleh itu saya berharap kita sama-sama membina kekuatan UMNO ini. UMNO parti keramat yang dibina melalui perjuangan dan pengorbanan yang hebat. Saya sanggup memainkan peranan ke arah membina UMNO.

Saya tidak boleh memaksa orang untuk tidak meragui kehadiran saya tetapi saya minta berlaku adillah kepada saya. Ini kerana saya melalui proses perjuangan yang panjang. Tak kan saya begitu mudah menggadaikan prinsip saya atau begitu mudah membuat keputusan berasaskan kepada kebendaan atau jawatan. Saya bukannya bertahan setahun tetapi 10 tahun sebelum kembali ke dalam UMNO, sudah tentulah saya mempunyai prinsip dan membuat keputusan itu berasaskan kepada prinsip.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.