K Rajagopal kini mempunyai ramai pemain berkualiti untuk Harimau Malaya

on Sunday, January 2, 2011 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




KEJAYAAN memenangi Piala Suzuki AFF 2010 bukan saja petanda positif kebangkitan bola sepak negara di persada antarabangsa, namun ia juga bakal memeningkan ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal untuk merancang perjalanan skuad kebangsaan sepanjang tahun ini.

Bukan kerana tidak mempunyai pemain mencukupi untuk menggalas cabaran negara, namun terpaksa memilih pemain terbaik untuk menyarung jersi kebangsaan Harimau Malaya yang kini menjadi rebutan setiap pemain bola sepak tempatan.


Rajagobal kini mempunyai kira-kira 20 hingga 30 pemain berkualiti yang perlu dipertimbangkan termasuklah barisan 22 pemain yang memenangi Piala Suzuki AFF dengan kebanyakan daripadanya adalah pemain muda seperti Mohd Muslim Ahmad (21) dan Mohd Fadhli Shas (19).

Beliau juga terpaksa memberi pertimbangan kepada beberapa pemain yang pernah menjadi pilihan utama, namun dilanda kecederaan seperti pasangan kembar, Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, Mohd Nasriq Baharom, Baddrol Bakhtiar, Azmi Muslim, Mohd Bunyamin Omar, Mohd Farizal Marlias dan S Chanturu.


Kesemua pemain ini membentuk skuad yang berbeza, namun kedua-duanya mencipta sejarah baru bola sepak negara, iaitu menamatkan penantian 20 tahun memenangi pingat emas di Sukan Sea dan membawa pulang Piala Suzuki AFF buat pertama kali sejak ia mula dipertandingkan pada 1996.



Bagi pemain pertahanan tengah, Mohd Muslim yang berada di dalam kedua-dua skuad tetap menganggapnya sebagai satu perkara positif yang berlaku di kalangan pemain.
“Semua akan berebut untuk berada di dalam skuad namun ia adalah satu saingan yang sihat bagi membolehkan pemain terbaik mewakili negara,” katanya.


Pemain kelahiran Terengganu itu sendiri bergandingan dengan pemain yang berbeza pada dua kejohanan utama itu apabila membentuk benteng tengah dengan Mohd Aidil Zafuan untuk Sukan Sea Laos manakala di Piala Suzuki AFF, Mohd Fadhli Shas menjadi pemain gantian selepas pertahanan Negeri Sembilan itu mengalami kecederaan.

“Kedua-dua pemain ini mempunyai kelebihan masing-masing. Saya tidak mempunyai masalah bergandingan dengan mereka kerana masing-masing mengetahui peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan,” katanya.


Pada masa ini, tiga pemain itu dilihat layak untuk mengisi dua posisi pertahanan tengah, manakala di bahagian tengah terdapat ramai pemain yang layak mengisinya empat posisi seperti Baddrol Bakhtiar, Mohd Bunyamin Omar, K Gurusamy, S Chanturu, S Kunalan, Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Khyril Muhyameen Zambri dan Mohd Ashaari Shamsuddin.


Jentera serangan pula kini dianggap terbaik melalui gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Sali, namun kehadiran semula Mohd Zaquan Adha yang semakin pulih daripada kecederaan dan menjadi penggempur utama skuad kebangsaan sebelum ini mungkin merumitkan keadaan.


Namun semuanya terserah kepada penilaian kepada strategi dan perancangan taktikal yang bakal direncanakan Rajagobal selain keperluan peraturan pertandingan ditetapkan seperti Sukan Sea hanya membenarkan pemain berusia bawah 23 tahun beraksi.


Dua misi penting skuad kebangsaan pada tahun ini adalah mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Indonesia dan perlawanan pusingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 menentang Pakistan penghujung Februari.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.