KUALA LUMPUR 12 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi amaran kepada pembangkang supaya jangan sesekali memperkecilkan kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara.
Perdana Menteri berkata, BN lebih tahu berbanding pembangkang bagaimana hendak membawa Malaysia untuk muncul sebuah negara berpendapatan tinggi bagi mencapai sasaran negara maju menjelang 2020.
“Jangan sesiapa cuba memperlekehkan Malaysia. Jangan pembangkang cuba mengutuk kita dan jangan ketua pembangkang hendak memperkecilkan kejayaan negara kita di bawah pimpinan BN.
“Kita lebih tahu apa dia (ketua pembangkang) buat. Malaysia telah berjaya, kita berjaya. Pembangkang menidakkan kita (BN) tetapi dunia mengiktiraf kejayaan Malaysia dan mengakui negara telah bangkit,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan program Rally 1Malaysia, anjuran Pemuda BN, di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.Menurut Perdana Menteri, dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian negara, kerajaan menggunakan metodologi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu suatu pendekatan yang belum pernah dalam dunia dilakukan secara komprehensif dan menyeluruh.
“Hasilnya, belum pun sampai setahun lagi kejayaan melibatkan enam NKRA yang ditetapkan oleh kerajaan telah memperlihatkan hasilnya. Jadi siapa kata Malaysia tidak boleh berjaya.
“Kerajaan juga telah menggubal Model Baru Ekonomi (MBE) yang bukan sahaja bertujuan bagi melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi tetapi turut berperanan membentuk bangsa Malaysia yang bertaraf antarabangsa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Najib berkata, antara kejayaan lain yang dicapai di bawah pentadbirannya adalah, keupayaan melonjak negara untuk muncul sebagai negara ke-10 paling kompetitif berbanding tempat ke-18 sebelum ini.
Kata beliau, negara kini 13 tangga lebih baik berbanding Jepun dan tiada sebuah negara pun baik dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mahu pun Negara-Negara Berkecuali (NAM) tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik.
Pada masa yang sama, kata Perdana Menteri, kerajaan BN juga berjaya memulihkan semula ekonomi negara sehingga Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku pertama tahun ini mencatatkan pertumbuhan 10.1 peratus.Jelasnya, kadar pertumbuhan itu merupakan antara yang tertinggi di dunia dan ia dicatatkan sewaktu negara maju lain seperti Greece masih terbeban dengan hutang, manakala, Portugal, Sepanyol dan United Kingdom masih berada dalam suasana ekonomi yang tertekan.
Menyentuh mengenai belia, Najib berkata, golongan muda negara ini perlu mempunyai tiga nilai utama dalam perjuangan hidup mereka iaitu idealisme, bersemangat berani serta bertenaga agar mampu membawa Malaysia ke era yang lebih gemilang pada masa hadapan.
“Para belia kalau hendak melangkah ke hadapan perlu mempunyai idealisme, jangan ada perasaan bimbang untuk menghadapi cabaran serta harus bertenaga kerana semangat inilah yang bakal menjamin masa depan negara,” katanya.
Link
Komen PB
APA YANG DIUCAPKAN OLEH PM DS NAJIB ADALAH TEPAT KERANA DISANDARKAN DENGAN FAKTA DAN SETERUSNYA MEMBUKTIKAN KEJAYAAN USAHA KERAJAAN BARISAN NASIONAL KEPADA NEGARA .MALAYSIA MUNCUL DALAM SEBAGAI NEGARA KE 10 TERBAIK DUNIA PALING KOMPETITIF DAN PADA MASA YANG SAMA BERJAYA MEMULIHKAN EKONOMI NEGARA SEHINGGA KDNK NEGARA DALAM SUKU TAHUN PERTAMA 10.1 % .
ADAKAH KERAJAAN PAKATAN BOLEH LAKUKAN SEMUA INI ??? LIHAT DI SELANGOR DAN PP SENDIRI . KEMASUKAN PELABURAN ASING TELAH MENCATATKAN PENURUNAN SEJAK MEMERINTAH SELAMA LEBIH 2 TAHUN .