Pulihkan survival politik UMNO

on Saturday, April 5, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 3 Comments




Pulihkan survival politik UMNO

Oleh: AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)

BAGAIMANAKAH orang Melayu hendak melangkah ke hadapan dengan suasana politik sekarang? Kejutan keputusan pilihan raya umum hampir sebulan lalu masih terasa. Senario kegagalan menangani keluhan rakyat akhirnya menghukum UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ada yang tidak malu-malu mendakwa pucuk pimpinan Melayu gagal memahami dan menganalisis suara orang bawah.

Namun, apa yang berlaku ibarat pergolakan dalam urusan rumah tangga. Misalnya apabila suami dan isteri bergaduh, mereka akan berbaik-baik semula semata-mata kerana mahu menjaga hati anak-anak atau tidak mahu rumah tangga runtuh.

Oleh itu, suami dan isteri menyimpan perasaan masing-masing. Apabila sering berlaku pergaduhan, akhirnya apa yang dipendam selama bertahun-tahun akan meletup juga, sebab punca masalah keluarga tidak ditangani dengan baik.

Perkara ini juga berlaku dalam rumah tangga UMNO/BN. Sejak krisis kepimpinan UMNO 1987 yang kemudian melahirkan Parti Melayu Semangat 46 pada 1988. Setelah berpisah ia kemudian berbaik-baik dan S46 dibubarkan pada 1996 atas kepentingan dan perpaduan Melayu.

Dua tahun kemudian, timbul pula isu pemecatan Anwar Ibrahim dan kemudian ramai ahli UMNO berpecah-pecah hingga lahir Parti Keadilan.

Sudah tentu, pergolakan demi pergolakan dalam rumah tangga UMNO menyebabkan semangat perjuangan ahli UMNO juga berkecamuk dan luntur.

Jika dilihat pada orang Melayu pula, ramai sudah tidak merasa erti kemerdekaan dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apabila ramai tidak faham dan tidak ambil kisah, maka mereka berani lontar bantahan dan tidak peduli perjuangan UMNO/BN. Ini yang sedang berlaku.

Menurut penganalisis politik, Datuk Dr. Abdul Razak Omar, hikmah kekalahan UMNO/BN pada 8 Mac lalu adalah “Allah mahu beri 50 peratus ujian kepada orang Melayu supaya kita renung dan ambil iktibar.

“Tuhan boleh beri ujian 100 peratus tapi Allah seolah-olah masih sayangkan orang Melayu dan mahu uji 50 peratus sahaja iaitu lima negeri jatuh ke tangan parti pembangkang dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

“BN masih memerintah dengan majoriti mudah 140 kerusi Parlimen dan pembangkang 82 kerusi,” jelas Abdul Razak.

Pada pendapat beliau, inilah masa orang Melayu patut buka mata. Tetapi persoalannya, adakah kita sedar tentang ujian Allah itu? UMNO kini berada di persimpangan jalan. Jika tidak, kuasa UMNO akan terhakis.

Kajian atau pengamatan awal menunjukkan Melayu sekarang tidak peduli ketuanan Melayu lagi. Ramai yang tidak kisah hak Melayu dipinggirkan dan seolah-olah tidak peduli kedaulatan raja-raja Melayu.

Bagi Abdul Razak, Neo Malayan Union sedang muncul dalam arena politik tanah air. Malah kemunculan gabungan PKR, Pas dan DAP membentuk Pakatan Rakyat jika tidak ditangani boleh mendorong pembentukan sistem dua parti di negara ini seperti Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat – siapa kuat dia yang memerintah.

Persoalannya, sanggupkah orang Melayu menerima sistem ini wujud dengan akhirnya kuasa ketuanan Melayu boleh terlucut dan dirampas oleh bukan Melayu. Melayu perlu fikirkan keadaan ekonomi mereka yang masih ketinggalan dalam pasaran terbuka.

Sebab itu pemimpin Melayu yang tulen dan ikhlas memperjuangkan hak survival Melayu perlu keluar membetulkan dan memulihkan kepincangan dalam UMNO. Pemimpin tulen itu diharap dapat memimpin pemimpin di bawahnya supaya berkualiti dan senada dengan perjuangan agenda bangsa – bukan agenda diri.

Sanggup

Ahli-ahli UMNO perlu cari pemimpin mereka yang sanggup bekerja tanpa ada agenda tersembunyi. Sebab itu pemimpin UMNO yang ada perlu berfikir di luar kotak untuk selesaikan masalah dalam rumah tangga UMNO sendiri.

Senario politik mutakhir menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih secara jelas menyatakan hasrat untuk mentadbir negara.

Dalam konteks ini menurut Abdul Razak, jika pemimpin tertinggi UMNO yakin kepada Perdana Menteri boleh meneruskan kepimpinan negara, mereka perlu akur dan bersikap terbuka dan proaktif untuk membantu Pak Lah menyusun pentadbiran parti.

“Langkah utama ialah duduk semeja tanpa prejudis memikirkan bagaimana hendak menumpukan kepada usaha-usaha pemulihan keyakinan rakyat dan ahli-ahli parti.

“Langkah kedua, kepentingan diri di kalangan ahli Majlis Tertinggi (MT) mesti ditolak ke tepi. Tidak ada guna memegang jawatan MT atau menteri jika kapal sudah hendak tenggelam,” kata Abdul Razak.

Oleh itu kata beliau, kesetiaan dan komitmen parti perlu diperkukuhkan. Pada tahap sekarang usaha menyusun langkah gagah dan menjenamakan semula parti juga perlu dilakukan.

Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menyatakan keputusan segera diperlukan untuk menghindar kesangsian kalangan ahli UMNO.

Elemen mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh perlu dielak. Ahli-ahli UMNO yang ikhlas dalam parti perlu bersama pemimpin parti untuk menyelesaikan masalah dan bukan mengeruhkan lagi suasana.

“UMNO perlu ditunjukkan kukuh supaya kesangsian ahli tidak bertambah bercelaru. Pak Lah mungkin menyedari kesilapan yang membawa kekalahan. Oleh itu buang kelemahan dan pandang ke hadapan dengan bertindak lebih proaktif,” kata Abdul Razak.

Tindakan menyalahkan satu sama lain atau menuding jari akan merugikan bangsa. Jika isu sekarang ialah survival Melayu, bagaimana ahli parti hendak bangsa Melayu survive dalam situasi politik yang tidak menentu sekarang.

Tindakan yang diambil oleh ahli UMNO mesti boleh membantu mewujudkan situasi memulihkan keyakinan ahli parti. Pemulihan boleh bermula dari cawangan dan bahagian UMNO untuk mencari pemimpin yang tulen, ikhlas, komited tanpa kepentingan diri.


3 Responses

  1. Anonymous says:

    Pretty section of content. I just stumbled upon your
    weblog and in accession capital to assert that I acquire actually enjoyed account your
    blog posts. Anyway I will be subscribing to your feeds
    and even I achievement you access consistently fast.
    My webpage - amphora tobacco

  2. Anonymous says:

    Excellent web site you've got here.. It's difficult to find high-quality writing like yours nowadays.
    I truly appreciate people like you! Take care!!
    Here is my blog ... amber leaf tobacco

  3. Anonymous says:

    Hurrah! In the end I got a website from where I be able to genuinely
    obtain useful data regarding my study and knowledge.
    My blog : amber leaf

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.