Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan ini bertentangan dengan prinsip undang-undang kerana kes itu sudah dibentang di mahkamah.

Katanya lagi, setiap perkara yang disebut dan diperkatakan oleh panel dalam program itu juga mempunyai ciri-ciri, kecenderungan dan impak yang boleh mempengaruhi minda hakim mahkamah.
“Ini juga bertentangan dengan keputusan hakim yang membenarkan permohonan injunksi terhadap pasukan pembela Najib supaya tidak berlaku perbicaraan media terhadap kes ini. Perbuatan Astro Awani menjadikan prinsip subjudis tidak dihormati.
“Saya amat kesal di atas perbuatan Astro Awani kerana menerbitkan satu program yang bertajuk ‘Najib Didakwa’. Diskusi ini menyentuh fakta-fakta serta butir-butir kes dan pertuduhan-pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Najib dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn. Bhd. dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu membabitkan RM42 juta.
Najib didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - UTUSAN ONLINE