TUN M UMUM PROTON VERSI KOMPAK DILANCAR HUJUNG TAHUN INI

on Tuesday, June 24, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 2 Comments




KUALA LUMPUR 20 - Model versi kompak pertama Proton Holdings Bhd., (Proton) bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini, menurut Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, model baharu itu adalah berlainan daripada model-model Proton sedia ada, dan merupakan usaha terbaharu syarikat kereta nasional itu untuk menyertai persaingan segmen kompak.

Beliau berkata, dari segi harga, ia jauh lebih murah daripada model-model import yang setaraf, tetapi lebih tinggi sedikit daripada harga model terdahulu.

Jelasnya, penghasilan model baharu itu membabitkan perbelanjaan yang tinggi sekitar RM2 bilion dan turut diuji di dalam cuaca berbeza.

"Jika nak dibandingkan dengan kereta daripada import yang sama setaraf dengannya (kereta kompak Proton) kita (Proton) masih murah, tetapi lebih tinggi daripada harga model terdahulu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Proton mula mempromosi pengenalan model kompak itu sejak pertengahan 2013 termasuk mengadakan peraduan kepada orang ramai untuk memberi idea nama yang akan digunakan oleh model itu.

Antara kriteria nama yang dimahukan ialah ia mesti dalam Bahasa Malaysia, tidak lebih enam huruf, boleh dikombinasikan huruf dan nombor serta tidak berkaitan dengan nama haiwan.

Dalam pada masa sama, Dr. Mahathir berkata, untuk model itu Proton menjalankan kajian secara terperinci dan membabitkan pandu uji mencecah 100,000 kilometer.

"Di dalam jarak tersebut, kita menghantar kereta itu ke Sweden untuk mengujinya di dalam cuaca sejuk dan di negara-negara Asia Barat untuk cuaca panas. Penghasilannya bukan mudah kerana ia membabitkan 3,000 komponen berlainan yang mana sesetengahnya perlu diimport, hal ini mengambil sedikit masa" kata beliau.

Mengenai pasaran eksport kereta itu katanya, kajian pasaran ke atas negara-negara perlu dikaji terlebih dahulu memandangkan setiap negara mempunyai perundangan dan selera pasaran berbeza yang mungkin melibatkan perubahan kepada reka bentuk kereta.

Tambah Dr. Mahathir, penghasilan kereta baharu ini turut menggunakan teknologi Lotus khususnya untuk aspek kawalan dan pemanduan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Proton menyedari pengenalan model kompak itu bakal menyaingi Perodua yang selama ini menguasai jumlah jualan tahunan (TIV) Malaysia menerusi kereta-kereta kompak.

Bagaimanapun katanya, Perodua tetap mempunyai kelebihan tersendiri memandangkan syarikat itu hanya menggunakan konsep pemasangan dan menukar nama kereta Jepun sedia ada dengan kos perbelanjaan lebih rendah.



2 Responses

  1. Anonymous says:

    Tun M pilih tempat yang tepat untuk 'bersara'. Tag-team Tun M dan DRB-Hicom memang kena pada masanya. Aku sokong PROTON.

  2. Anonymous says:

    Tun betul2 nak naikan semula proton..perodua dah mula rasa kepanasan...Tun dah janji akan keluarkan saga 3 dan ubah bentuk proton perdana...moga usaha Tun akan berjaya

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.