PERPADUAN NASIONAL : KIT SIANG PERLU AJAR GUAN ENG DULU @dzainalabidin

on Thursday, January 9, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



DAP tidak wajar berbicara seumpama ‘lidah biawak’ dalam kononnya memperjuangkan keinginan berlakunya perpaduan nasional.

 Menurut ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, perpaduan nasional tidak ada di dalam ‘genetik’ politik DAP.

 “Malahan, DAP pada hakikatnya ‘api dalam sekam’ kepada kemungkinan kita merealisasikan perpaduan nasional,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada FMT. 

Beliau yang juga ahli parlimen Kepala Batas ingin menasihatkan DAP agar tidak bersandiwara di dalam isu yang sepenting dan semustahak ini.

 “Mereka wajar menunjukkan warna sebenar politik mereka – dan tidak terus bermain dengan ayat-ayat retorik dan bertindak sebagai batu api,”katanya

. Beliau juga berkata Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyuarakan kononnya tentang kepentingan mencapai semangat ‘perpaduan nasional’ dengan mengetengahkan idea pelan induk dalam membina perpaduan.

 “Tetapi semangat sama tidak pernah dihadam dan dijiwai oleh anaknya Lim Guan Eng, yang juga merupakan seorang Ketua Menteri di Pulau Pinang,” katanya lagi.

 Sehubungan dengan itu, Reezal Merican yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang berpendapat Lim Kit Siang seharusnya terlebih dahulu memberikan tunjuk ajar kepada Guan Eng untuk menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan menghormati undang-undang.

 “Apa yang berlaku di Selangor adalah sesuatu yang dilaksana berasas jalur undang-undang. Sebagai Ketua Menteri, sepatutnya Guan Eng lebih maklum dan faham dengan kedudukan ini.,” katanya. 

Beliau mendakwa Guan Eng kebelakangan ini tidak segan silu memainkan peranan sebagai ‘batu api’ agar permasalahan yang berlaku – termasuk dalam isu berkaitan gereja dan kalimah Allah.

 Katanya, parti-parti komponen BN mahu dilaga-lagakan bagi menampilkan DAP sebagai ‘parti terbaik’ dalam menangani isu-isu antara agama dan kaum di Malaysia. Reezal Merican turut bertanya lima soalan kepada Guan Eng iaitu pertama, apakah DAP bersetuju dengan tindakan pihak-pihak tertentu untuk terus menguji peruntukan undang-undang; dan seolah-olah sengaja mahu menidakkan kedaulatan undang-undang yang ada di dalam negara ini?

 “Soalan kedua, apakah pada hakikatnya DAP sudah tidak lagi menghormati Perlembagaan Negara sedangkan ‘matlamat’ parti tersebut secara khusus menyebut – berjuang menerusi cara-cara berperlembagaan dalam menubuhkan satu masyarakat bercorak demokratik sosialis di Malaysia,” soalnya.

 Beliau menambah soalan ketiga, apakah pada hakikatnya DAP sedang merancang untuk sama sekali menolak kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan – bersesuaian dengan Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan?

 Soalan keempat beliau bertanya, apakah DAP sedang berusaha menidakkan kuasa yang ada kepada Raja-Raja Melayu untuk meletakkan martabat agama Islam bersesuaian dengan kedudukan sepatutnya di dalam Perlembagaan Negara?

 “Soalan kelima, apakah tindakan DAP untuk mencabar kedaulatan undang-undang, menidakkan kuasa Raja-Raja Melayu mendapat lampu hijau rakan di dalam pakatan politik mereka. Apakah DAP yakin PAS bersependapat dengan mereka dalam isu kalimah Allah dan tindakan JAIS? ,” soal Reezal lagi.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.