Haron Din minta Pakatan hentikan jaja isu Kalimah Allah jadi modal politik

on Friday, May 14, 2010 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 3 Comments

Agenda zionis , PAS 4 ALL kini jual nama kalimah Allah di Sibu

KUALA LUMPUR 13 Mei – Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menggesa semua pihak termasuk pembangkang menghentikan penggunaan isu kalimah Allah sebagai modal politik pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Katanya, isu kalimah Allah tidak sepatutnya ditimbulkan lagi terutamanya bagi tujuan meraih sokongan politik kerana pendirian mengenai perkara itu telah diputuskan oleh pucuk pimpinan Pas selain ia merupakan isu sensitif.

“Isu kalimah Allah telah selesai dibincangkan dan sepatutnya berhenti sekadar itu. Apa sahaja yang berhubung dengan isu ini biarlah sekadar suatu nostalgia kerana perbincangan dan pendirian masing-masing telah diputuskan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dengan sikap Pas yang sanggup bersekongkol dengan DAP untuk terus mempermainkan isu kalimah Allah di Sibu walaupun larangan mengenainya telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Zulkifli menerusi blognya, http://zul4kulim.blogspot.com berkata, beliau sedih kerana Pas yang dahulunya terkenal memperjuangkan Islam dan menjadi harapan orang Melayu untuk membawa agenda perjuangan mendaulatkan negara Islam, sanggup bersekongkol dengan DAP dalam hal seperti itu.

Beliau yang khuatir dengan perkembangan itu, turut menyeru semua ahli Pas sama ada di peringkat akar umbi, ulama atau ilmuwan menyelamatkan parti tersebut daripada terus hanyut dalam buaian mimpi yang akan menghancurkan mereka.

Ditanya mengenai gesaan Zulkifli supaya semua ahli Pas menyelamatkan parti itu daripada terus bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Haron berkata, kerjasama dalam pakatan perlu kerana ia sesuai dengan tuntutan semasa.

“Soal bersekongkol adalah amalan biasa dalam berpolitik, ada ketika kita rasa wajar dan ada masa ia tidak wajar.

“Dalam keadaan komposisi rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan Pas adalah sesuatu yang berpijak di bumi yang nyata,’’ katanya.

Tambah beliau, apa sahaja langkah yang diambil Pas hari ini adalah berdasarkan keperluan semasa yang masing-masing mempunyai musuh politik bersama iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas panjang ketika ditanya mengenai isu tersebut dan pada masa yang sama turut menempelak Zulkifli kerana didakwanya sengaja membangkitkan isu berkenaan.

“Dia punya pasallah kalau nak kecewa. Kita bukan guna isu untuk modal politik tetapi memberi penerangan kepada pengundi mengenai kalimah Allah,’’ ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, Zulkifli tidak berhak untuk memberi sebarang komen mengenai pendirian Pas kerana beliau bukan ahli parti itu dan juga bukan lagi ahli PKR.

Menurutnya, pendirian Pas mengenai isu kalimah Allah telah dijelaskan kepada umum dan perkara melibatkan isu itu juga telah selesai.

“Kenyataan Zulkifli yang mendakwa tindakan Pas bersekongkol dengan DAP adalah bertentangan dengan prinsip Pas yang memperjuangkan Islam, adalah tidak betul. Beliau orang luar dan tidak berhak untuk memberi sebarang komen mengenai pendirian Pas.

“Kami juga telah menjelaskan kepada umum tentang pendirian Pas mengenai isu kalimah Allah dan masih berpegang teguh pada pendirian itu dan realitinya isu kalimah Allah ini sudah selesai,” katanya.


3 Responses

  1. Tahniah YB Zul dan Dato Haron Din,

    Maseh terdapat pemimpin Pas yg berterusan menggunakan isu kalimah Allah dgn tujuan mambantu DAP untuk meraih undi. Hinanya mereka ini tanpa rasa takut kepada Allah. Pas menyesatkan pengikutnya kerana politik.

  2. Suam suam kuku saja gesaan dan komen Timbalan Mursyidul Am Pas.
    Yalah. Kena "toe he line". Demi politik!

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.