KOTA BHARU: Kelompok penulis blog menyifatkan laporan polis yang dibuat wakil Pas Kelantan, ekoran ilustrasi grafik Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, sebagai bukti kelemahan mental pemimpin pembangkang apabila mereka diserang balas.
Mereka mendakwa serangan politik versi seni itu dimulakan penyokong pembangkang sendiri sejak 10 tahun lalu menerusi pelbagai gambar penghinaan dan superimpose yang cuba memusnahkan peribadi pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Pas Kelantan sudah panas, mereka tidak faham perang media versi seni. Selama 10 tahun, kita banyak dihidangkan pelbagai gambar penghinaan yang cuba memusnahkan pemimpin Umno dan BN.
“Ada kartunis propakatan yang menggunakan sepenuhnya media seni ini untuk menghancurkan kredibiliti maruah pemimpin Umno dan BN, namun satu laporan polis pun tidak pernah ahli Umno lakukan,” kata pengendali blog GAP.
GAP menyifatkan, Pas Kelantan kini tidak dapat menerima bidalan 'pulang paku buah keras' apabila pengendali blog muda menyerang balas pembangkang.
Blog Cucu Tok Selampit berkata, Nik Aziz sepatutnya menasihati penyokong pembangkang yang selama ini banyak menghina ketua negara menerusi pelbagai kaedah sama.
“Apabila ahli pakatan haram, sering kali membuat kartun jenaka sinis berbentuk fitnah, juak-juak pakatan bertepuk tangan.
“Bila kena dengan batang hidung sendiri, baru tahu betapa sakit dan peritnya. Baru tahu hendak membuat komen. Saya ingin bertanya kepada Nik Aziz, apakah yang dilakukan terhadap pemimpin negara dikira halal?,” katanya. - Berita Harian -