Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya memandang serius insiden itu dan sedang mengesan individu yang terlibat.
“Individu terbabit diminta untuk tampil bagi membantu siasatan namun sehingga kini, mereka gagal berbuat demikian.

“Sehubungan itu, kami menawarkan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang boleh memberi maklumat hingga kami dapat menangkap mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zainuddin, tindakan akan diambil mengikut undang-undang bagi memastikan perkara sebegini tidak mencetuskan tindak balas mana-mana pihak yang akhirnya akan menjejaskan keselamatan awam.

“Mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kejadian itu akan dikenakan tindakan,” ujarnya.

Perhimpunan haram yang diadakan di ibu negara pada Sabtu dan Ahad lalu dicemari dengan pelbagai insiden oleh pesertanya termasuk memijak gambar Najib dan Abdul Hadi.
Berikutan itu, perbuatan dua wanita sedang memijak poster terbabit tersebar di internet dan menjadi viral dalam laman sosial.

Perbuatan itu dilihat menimbulkan kemarahan rakyat dan dianggap sebagai sesuatu yang biadab.

Susulan itu, PDRM menerima 250 laporan di seluruh negara bagi mendesak individu yang berkelakuan biadab itu segera ditahan dan dikenakan tindakan