Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan akan diambil mengikut Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) yang memperuntukkan hukuman berat.


“Saya harap mereka tahu bahawa Atipsom dikuatkuasakan beberapa waktu yang lalu. Pihak Maritim Malaysia (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan bagi memperoleh maklumat berkenaan dan saya ingin memberitahu mereka yang telah ‘memangsakan’ PATI ini bahawa tindakan undang-undang di bawah Atipsom adalah berat,” katanya.



Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam itu di Jeti Hutan Melintang, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri meminta pihak terbabit menghentikan segera aktiviti menyeludup masuk dan keluar PATI ke negara ini tanpa memikirkan aspek kese­lamatan.

“Jangan hanya fikir wang ringgit, fikir nyawa manusia ... saya minta mereka hentikan semua peranca­ngan mereka ini,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan Indonesia yang kehilangan rakyatnya dalam tragedi itu.

“Kerajaan Malaysia ingin menya­takan belasungkawa iaitu rasa dukacita dan sedih di atas kematian 24 rakyat Indonesia dalam tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam,” katanya.






Beliau berkata ketika ini, unit udara APMM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang meneliti liputan di kawasan kira-kira 2,000 kilometer persegi manakala Agensi Penguatkuasaan Kelautan Indonesia berada di sekitar kawasan 250 kilometer persegi.

Agensi lain yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat ialah PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Kita akan terus bekerjasama dengan Kedutaan Indonesia untuk melakukan beberapa tindakan susulan terutamanya apabila 24 jenazah yang kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh dan Hospital Teluk Intan dan seramai 20 orang yang terselamat dibawa ke APMM Klang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bot sepanjang 40 kaki itu yang membawa kira-kira 70 penumpang karam di perairan Selangor pada Khamis pagi ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam me­nuju Tanjong Balai, Indonesia.

Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh. – BERNAMA