Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pihak berkuasa bertindak selepas kritikan keras bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu terhadap polis melalui laman sosial Facebook sebelum ini.
Menurut beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, tindakan Khairuddin itu jelas merupakan satu kesalahan kerana mempertikai tugas pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Khairuddin serta pihak-pihak lain supaya memahami tidak ada individu yang kebal daripada undang-undang di negara ini.

“Beliau harus melalui proses siasatan selepas terdapat laporan polis dibuat dan sekiranya berasakan tidak bersalah, beliau boleh menggunakan khidmat peguam,” katanya.

Khairy ditemui pemberita selepas menghadiri program Fit Malaysia peringkat negeri di sini hari ini yang dihadiri lebih 25,000 peserta.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang (MTPNPP), Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Jumaat lalu, Khairuddin direman selama enam hari dan kini disiasat mengikut Seksyen 124 C Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Sebelum ini peguamnya, Matthias Ching seperti dipetik laman web akhbar New York Times mengesahkan Khairuddin dijadual bertemu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di lokasi rahsia di Amerika Syarikat (AS) esok.