Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh dalam satu kenyataan berkata, waran tangkap tersebut telah dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini.

“Waran tangkap yang dikeluarkan adalah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dan 124 I Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan laporan palsu.

“Selain itu, kami akan meneruskan permohonan untuk meletakkan Brown di dalam senarai dikehendaki ASEANPOL di samping notis merah Polis Antarabangsa (Interpol),” katanya.

Beberapa pihak sebelum ini telah membuat laporan polis terhadap Sarawak Report dan editornya kerana dipercayai cuba memfitnah dan menjatuhkan reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk memalsukan dokumen yang membawa kepada banyak pendedahan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas editornya, Lester Melanyi pula dalam pengakuan melalui laman blognya, lestermelanyi.blogspot.com mendedahkan beliau menerima bayaran RM2,975 seminggu bagi memalsukan pelbagai dokumen sebelum disiarkan di laman portal itu bertujuan menjejaskan reputasi Perdana Menteri termasuk mengaitkannya dengan isu dana 1MDB.

Lester yang juga bekas Pengarang Berita, Sarawak Tribune mendakwa bayaran, itu diterimanya daripada Clare yang berpangkalan di London, United Kingdom.

Malah, beliau menyifatkan bayaran itu sebagai ganjaran untuknya dalam membantu komplot menjatuhkan kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN).