Keadaan sekarang tidak memerlukan langkah seperti itu, katanya.

Ekonomi Malaysia terus kukuh dan banyak perkembangan positif sedang berlaku, katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan 4.9 peratus keluaran dalam negara kasar untuk suku kedua di sini, hari ini.

Keadaan yang ekstrem adalah apabila kita terjerumus ke dalam kemelesetan yang serius. Kita tidak menjangka (perkara itu berlaku di sini) kerana kita telah menstruktur semula ekonomi kita,” katanya.

Selain itu, negara ini tidak kekurangan akses kepada kredit yang menjadi satu lagi kriteria keadaan krisis ekonomi yang ekstrem, kata Zeti.

Pada suku kedua, pembiayaan bersih berkembang 8.3 peratus dengan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana meningkat 17.2 peratus.

Zeti berkata, reaksi spontan seperti menambat ringgit dan kawalan modal akan hanya memberi kesan sementara manakala turun naik dijangka berterusan beberapa bulan lagi sehingga ketentuan mengenai arah dasar dalam ekonomi utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Beliau berkata, sama seperti mana pengurangan program rangsangan ekonomi AS sebelum ini, sebaik sahaja keadaan kembali normal, pasaran kewangan akan menjadi stabil.

Gabenor Banak Pusat itu berkata, ketika ketidaktentuan ekonomi sekarang ini, regim kadar pertukaran yang fleksibel akan membantu negara mengurangkan impak daripada perkembangan luaran.

“Jika kadar pertukaran tidak menyelaras, impak perkembangan luaran akan lebih menjejaskan kita,” katanya.
Zeti berkata, impak penyusutan nilai ringgit masih boleh diuruskan dengan beberapa kesan baik dan buruk kepada perniagaan.
Menurutnya, perniagaan dengan konten import yang tinggi menghadapi peningkatan kos tetapi perniagaan berorientasikan eksport akan mendapat manfaat daripada pertambahan pendapatan.
Penyusutan nilai ringgit, katanya, mempunyai kesan sederhana ke atas perbelanjaan isi rumah kerana harga komoditi global dan bahan api domestik yang rendah, mengurangkan tekanan inflasi.
Bagaimanapun, Zeti berkata, Bank Pusat akan terus memastikan pasaran berfungsi secara teratur bagi mengelak gangguan kepada aktiviti perdagangan dan perniagaan.
Daripada 1 September 2014 hingga 11 Ogos tahun ini, ringgit telah merosot 20.1 peratus berbanding dolar AS berikutan kelemahan harga komoditi dan minyak mentah berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah di AS. - Bernama