KENAPA ULTRA KIASU PANAS BILA LOW YAT 2 MAHU DIBUKA ??

on Tuesday, August 18, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Oleh: Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah


SELEPAS insiden Low Yat, kini kedai komputer ultra kiasu pakat-pakat menggantung dan menampal label kalimah suci seperti ALLAH, Muhammad dan ayat al-Quran dalam bentuk bingkai, poster dan sebagainya, di dinding-dinding kedai, bagi menarik pelanggan Melayu.

Dari satu segi, ada baiknya, sekurang-kurangnya mereka mesra al-Quran, dekat dengan Islam. Tidak mustahil suatu hari nanti, memeluk Islam. Persoalannya, kenapa baharu sekarang? Kenapa tidak dahulu?

Kedudukan syarikat (kedai) mereka juga telah disemak dengan SSM. Tuan punya memang bukan Melayu, termasuk pekerjanya. Jadi, atas alasan apa kalimah suci ini digunakan?

Sementelahan, saya ada meminta pandangan kenalan rapat di Jakim, adakah tindakan boleh dikenakan ke atas mereka? Jawapannya, tidak ada peruntukan untuk pihak berkuasa agama mengambil tindakan. Bermakna, orang bukan Islam bebas menggunakan kalimah-kalimah suci ini.

Jakim hanya berkuasa dalam perkara berkaitan perbahasan halal sahaja. Yakni, jika mempamerkan ayat Quran untuk menunjukkan produk itu halal tetapi tidak halal atau tidak memiliki sijil halal maka ia menjadi kesalahan. Tetapi jika mempamerkan untuk hiasan atau jualan, maka Jakim tidak ada kuasa.

Tindakan desperado ini jelas menunjukkan bahawa bisnes mereka terjejas akibat insiden Low Yat, bila mana umat Islam memboikot. Sebab itu, mereka tidak segan silu mengadakan majlis sambutan hari raya yang tidak pernah sama sekali diadakan sebelum ini.

Pendek kata, mereka akan lakukan apa sahaja, tidak kira sama ada halal atau haram, menyentuh sensitiviti orang lain atau tidak, demi menjaga kepentingan bisnes.

Kita memohon kepada ultra kiasu supaya belajar erti ikhlas dalam bisnes. Fikirkanlah soal kepentingan negara dan keharmonian masyarakat. Kita tidak mahu dengar lagi penipuan demi penipuan berlaku. Sebelum ini kita telah disajikan dengan ikan patin diberi makan babi, bihun kotor, kaki katak dalam mi dan macam-macam lagi kes yang telah dibuktikan.

Lebih malang lagi, ada yang sanggup memalsukan sijil halal. Tidak kurang juga yang menggunakan sijil halal dari negara lain, bagi menghalalkan makanannya. Ada juga yang menggunakan nama orang Islam untuk mendapat sijil halal sembelihan.

Apabila dapat sijil halal, penyembelihan halal tidak lagi dititik-beratkan. Ada yang menyembelih sambil menyanyi lagu. Di mana keikhlasan dan kejujuran? Saya tidak kata semua.

Sudah sampai masanya kajian secara akademik dibuat, apakah punca kepada semua permasalahan ini? Apakah sistem pendidikan berasaskan kaum yang menyebabkan komunikasi terbantut, turut menyumbang kepada perkara negatif ini? Akibat daripada kita tidak bercampur gaul sejak kecil, persepsi negatif antara satu sama lain meningkat.

Kajian juga perlu melihat, kenapa perangai bukan Melayu yang bercampur dengan Melayu begitu berbeza dengan mereka yang langsung tidak bergaul.

Di peringkat kementerian pula, akta baharu perlu digubal untuk mengawal peniaga supaya tidak bertindak sewenang-wenang menggunakan atau memperalatkan lambang-lambang tertentu seperti kalimah ALLAH dan Muhammad untuk menarik dan melariskan perniagaan.

Ultra kiasu tahu, peniaga Islam tidak boleh mempamerkan perkataan atau gambar yang bertentangan dengan Islam. Sudah tentulah kita dengan mudah boleh bezakan mana kedai Melayu, mana kedai bukan Melayu.

Tetapi untuk kita mengenali kedai bukan Melayu agak sukar sedikit, kerana mereka boleh menggunakan kalimah suci dan menggunakan nama-nama produk yang berjenama Islamik, seperti cap masjid, huruf jawi dan sebagainya.

Kadangkala kita langsung tidak tahu, apabila mereka mempergunakan seratus peratus pekerja beragama Islam. Sedangkan hak mereka untuk solat dan solat Jumaat dinafikan, kerana dikatakan membuang masa.

Justeru, kita sebagai orang awam yang beragama dan NGO hendaklah sensitif dan memberi tekanan terhadap perkara ini.

Saya menyokong penuh langkah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, mencadangkan pembukaan sebuah pusat jualan dan borong alat telekomunikasi yang menyamai fungsi Plaza Low Yat yang khusus untuk peniaga Melayu. Pecahkan monopoli yang berlaku selama ini. Jika tidak, kita akan terus menjadi mangsa.

Mengikut pelan, ‘Low Yat 2′ akan ditempatkan di Tingkat 3 Bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Jalan Raja Laut selepas ubah suai. Mara akan berusaha untuk mengumpulkan seberapa banyak mungkin pembekal besar di bangunan ini.

Sejurus bila idea ini diutarakan, mereka seperti cacing kepanasan mempertikaikan projek ini sebagai perkauman. Bila hak mereka tergugat, maka dituduh kita rasis. Begitu juga bila kita mahu membela hak kita. Mereka betul, kita salah. Nampak sangat hipokrit.

Saya harap namanya bukan Low Yat 2, tetapi nama yang lebih beridentiti kebangsaan seperti Plaza Mara, atau nama yang sedap didengar.



Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.