..

..

DAP warning PAS keluar pakatan jika laksana hudud

on Saturday, April 26, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




DAP meminta PAS menghormati muafakat yang telah dipersetujui secara bersama dalam Pakatan Rakyat atau berundur daripada pakatan itu sekiranya ia bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan. 

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata tindakan pimpinan PAS itu yang dibuat tanpa kata sepakat Majlis Presiden atau pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat jelas telah mencabuli muafakat tersebut.

 "Sekiranya PAS bertegas untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan yang tidak ada konsensus dalam Pakatan Rakyat, maka langkah yang paling terhormat dan sewajarnya untuk PAS ialah berundur dari Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

 Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban menambah PAS tidak boleh terus bertindak bertentangan dengan dasar bersama muafakat itu tetapi pada masa yang sama tetap bersandar kepada Pakatan Rakyat. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan PAS akan tetap dengan perancangannya mahu melaksanakan hudud di Kelantan kerana ia tidak berjanji dengan DAP dan PKR untuk tidak melaksanakan cita-cita perjuangan parti Islam itu.

 Jelas Anthony, DAP sedar bahawa pelaksanaan hudud adalah satu daripada matlamat perjuangan politik PAS tetapi prinsip muafakat yang dipersetujui sejak selepas pilihan raya umum 2008 ialah perjuangan parti harus mendapat konsensus anggota Pakatan Rakyat.

 Beliau merujuk kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai oleh pimpinan tertinggi DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam.

 Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya baru-baru ini berkata Pakatan Rakyat perlu memahami terlebih dahulu hudud yang hendak dilaksanakan di Kelantan sebelum ia menyokong hasrat kerajaan negeri pimpinan PAS itu.

 Polemik mengenai hudud kembali timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan kesediaan kerajaan Persekutuan untuk menyokong mana-mana negeri yang mahu melaksanakan hudud. 

Ekoran kenyataannya di Dewan Rakyat itu, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan rancangan mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan yang tertangguh sejak 1993 dilaksanakan di negeri itu. Kerajaan negeri Kelantan meletakkan sasaran pelaksanaan hudud dan qisas di negeri itu seawal-awalnya pada tahun depan.

 Rancangan kerajaan negeri Kelantan itu kemudiannya mendapat bantahan pemimpin kanan DAP yang mengingatkan PAS bahawa pendirian parti itu berhubung hudud tidak pernah berubah. Beberapa ahli parlimen DAP juga menegaskan semua wakil rakyat DAP tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian berkenaan.

Hasrat PAS itu juga mendapat bantahan daripada MCA. Selain Kelantan, Dewan Undangan Negeri Terengganu juga meluluskan enakmen yang sama pada 2002 ketika kerajaan negeri itu ditadbir oleh pimpinan PAS. Bagaimanapun enakmen berkenaan tidak dapat dilaksanakan kerana di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang jenayah terletak dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.

 Dalam kenyataannya, Anthony sekali lagi mengulangi pendirian DAP bahawa parti itu tidak pernah dan tidak akan bersetuju hudud dilaksanakan di negara ini kerana "ia tidak pratikal dan tidak sesuai dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia". 

Antara lain, beliau berpendapat pelaksanaan hudud akan mewujudkan dua set undang-undang jenayah yang akan dipakai ke atas orang Islam dan bukan Islam. Pandangan sama juga antara lain dikongsi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dalam pada itu, Anthony mengingatkan pendirian DAP menolak hudud bukan bermakna ia menentang agama Islam atau bersikap anti Islam.


 "DAP tidak pernah mempersendakan hukum Islam untuk menimbulkan ketakutan ataupun fobia di kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin MCA," katanya.

 Beliau merujuk kepada tindakannya mempertahankan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Parlimen apabila ada pemimpin MCA memfitnah Mursyidul Am PAS itu kononnya beliau mengizinkan wanita yang tidak menutup aurat dirogol.

 Tambah Anthony, DAP sanggup mempertahankan PAS untuk membantu PAS dalam proses mengikis ketakutan dan fobia di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan agama Islam supaya PAS boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Katanya, beliau melakukan itu semua untuk mereliasasikan perubahan politik di bawah Pakatan Rakyat yang menekankan prinsip-prinsip keadilan untuk semua, pentadbiran yang baik tanpa rasuah dan meninggalkan politik perkauman Read

more at: http://www.astroawani.com/news/show/hudud-dap-syor-pas-keluar-pakatan-rakyat-34696?cp


One Response

  1. Anonymous says:

    Apa lagi pas, blah aje .......ke takut mat sabun hilang mata pencarian........

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.