..

..

KEBERANIAN @khairykj BAWA ISU KENAIKAN TARIF ELEKTRIK DIPUJI PROF DR AGUS #PAU2013

on Thursday, December 5, 2013 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




KELMARIN, persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno berlangsung.

Saya mendapat jemputan khas dari Ketua Wanita Umno untuk hadir.

Saya juga mendapat permintaan dari Ketua Puteri supaya menjengok persidangan Puteri, tetapi kerana lewat sampai ke tempat persidangan, maka saya sekadar menonton ucapan dari luar dewan sahaja. Semuanya hebat dan penuh semangat.

Begitupun, yang mengujakan saya ialah ucapan Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin. Pemuda Umno tidak menjemput saya, tetapi isi ucapan Ketua Pemudanya relevan di hati saya. Apa yang relevannya?

Yang relevannya ialah kesediaan (jikapun tidak keberanian) KJ untuk membawa aspirasi rakyat dengan meminta kenaikan tarif eletrik dikaji semula.

Ucapan KJ ini banyak mendapat reaksi. Mereka yang skeptikal menyatakan ini adalah lakonan dan sandiwara sahaja. Skripnya sudah siap diatur. KJ menentang kenaikan tarif elektrik bagi menunjukkan kerajaan BN prihatin kerana selepas perhimpunan ini, kenaikan tarif elektrik dibatalkan.

Kata mereka lagi, keputusan menaikkan tarif elektrik ini diumumkan oleh menteri bukannya oleh Pengerusi TNB, maka sudah tentulah kenaikan tarif ini dibincangkan dalam kabinet.

Sebagai ahli Kabinet, mengapa KJ tidak membantahnya dalam Kabinet? Dan yang lebih sinis lagi menyatakan KJ ini selalu sahaja melawan arus dan bertelagah dengan sesiapa sahaja— dengan MB Terengganu dan juga dengan FAM. Ah, pada mereka KJ sekadar mencari populariti.

Inilah pandangan yang negatif tentang ucapan KJ.

Saya tidak sealiran dengan mereka yang berpesepsi negatif dengan suara KJ.

Apakah mereka yang tidak bersetuju ini mengharapkan KJ menyatakan jika tidak setuju dengan kenaikan tarif elektrik, maka guna pelita ayam atau terimalah ketentuan ALLAH?

Jikapun KJ ada dalam Kabinet, kita tidak tahu apa yang berlaku dalam Kabinet. Keputusan Kabinet adalah keputusan bersama, manakala tindakan beliau sebagai Ketua Pemuda Parti adalah membawa suara rakyat yang mendokong parti. Maka, tidak bolehkah kita berpesepsi baik kepada tindakan beliau ini, jika suaranya ini adalah untuk kebaikan rakyat dan parti?




Wajarkah Tarif Elektrik Dinaikkan?

Yang KJ persoalkan ialah kenaikan tarif letrik sebanyak 14.89 peratus yang membebankan rakyat, iaitu bersamaan 4.99sen bagi setiap kilowatt.

Kenaikan ini menjadikan harga baru untuk sekilowatt ialah 38.53sen berbanding harganya sekarang 33.54 sen sekilowatt. Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj.

Tarif letrik ini bukannya tidak dinaikkan sejak lama. Terakhir TNB menaikkannya ialah pada 1 Jun 2011, iaitu dinaikkan kepada 33.54sen/kwj daripada 31.31sen/kwj iaitu sebanyak 2.23sen/kwj. Pada ketika itu, kerajaan menyatakan kenaikannya adalah kesan daripada dua komponen iaitu penyelarasan harga gas kepada RM13.70/MMBtu daripada RM10.70MMBtu.

Semasa mengumumkan kenaikan yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014 pula, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menggariskan empat faktor yang mendorong kenaikan, iaitu kesan penyelarasan harga gas domestik (0.51 sen/kwj), kesan penetapan harga gas asli cecair (3.41sen/kwj), kesan penyelarasan harga arang batu (0.17 sen/kwj) serta semakan tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB) (0.90 sen/kwj).

Satu lagi ialah kerana kerajaan mahu mengurangkan subsidi minyak bagi bekalan kuasa.

Persoalannya ialah apakah kerajaan tidak mampu lagi memberikan subsidi kepada rakyat sehingga mengambil langkah yang membebankan rakyat?

Hal ini boleh diterima jika TNB dalam kerugian, tetapi baru pada 18 Julai yang lepas, Pengerusi TNB mengumumkan kejayaannya mencatatkan keuntungan bersih RM1.742 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2013 berakhir 31 Mei lalu berbanding RM684.9 juta tempoh sama tahun lepas.

TNB mencatatkan perolehan sebanyak RM9.647 bilion pada suku ketiga 2013, berbanding RM9.191 bilion tempoh yang sama tahun lalu.

Pengerusinya menyatakan prestasi positif itu didorong oleh "Pertumbuhan terhadap permintaan elektrik [yang] menunjukkan peningkatan sejajar dengan perkembangan ekonomi negara didorong oleh pemulihan permintaan luaran dan pengukuhan permintaan domestik.”

Alih-alih baru mengumumkan keuntungannya, TNB mengumumkan pula kenaikan tarif elektrik. Inilah yang mengejutkan rakyat.

Dan semasa mengumumkan kenaikan tarif eletrik yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014, menteri memberi jaminan kenaikan ini akan melindungi kebajikan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Tiada kenaikan tarif elektrik akan dialami oleh 70.67 peratus atau 4.56 juta pengguna daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 pengguna daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan WP Labuan yang menggunakan elektrik pada kadar 300kwj dan ke bawah.

Saya tidak dapat pastikan ketepatan data ini, tetapi otak saya bertanya: Betulkah 70.62% pengguna di Semenanjung dan 62% di Sabah menggunakan elektrik pada kadar 300kwj ke bawah?

Saya tidak boleh bahaskan tentang hal itu, tetapi yang saya boleh bahaskan ialah kesan kenaikan tarif elektrik ini kepada rakyat.

Selepas ini rakyat akan membayar 15 peratus tambahan untuk kos elektrik mereka dan terpaksa membayar kos tambahan untuk barangan keperluan yang juga akan meningkat.

Pendapatan mereka yang tidak seberapa terpaksa dihabiskan untuk membayar segala bil keperluan rumah sehingga pendapatan boleh guna akan semakin mengecil dan ini sekali gus mengurangkan pilihan buat rakyat dalam berbelanja.

Harus diingat, kesan kenaikan tarif elektrik dan kenaikan harga barang ini tidak kepada golongan bawahan sahaja, tetapi juga kepada kelas menengah yang gajinya antara RM5-10 ribu sebulan.

Bayangkan kos kehidupan dengan ansuran rumah, minyak kereta, ansuran kereta, duit persekolahan anak, bayaran pembantu rumah dan bil yang meningkat, golongan kelas pertengahan juga tidak mampu menanggung beban kenaikan harga barang. Ini belum mengambil kira kesannya kepada IKS, pekedai-pekedai kecil dan lain-lainnya yang juga memberi kesan kepada ekonomi negara.

Saya tidak mahir untuk bercakap tentang Penyedia Tenaga Bebas atau Independent Power Producer (IPP), tetapi saya dengar sejak dahulu tentang masalah Perjanjian yang berat sebelah antara IPP dengan TNB sebagai faktor yang membebankan TNB.

Jika apa yang saya dengar ini betul, saya fikir sepatutnya keutamaan kerajaan adalah menyemak semula perjanjian IPP bukannya menaikkan tarif eletrik.

Salahkan KJ Bersuara?

Setelah memberikan data sedemikian, salahkah KJ sebagai Ketua Pemuda Umno bersuara untuk rakyat? Sudah tentu tidak.

Pada saya KJ telah bersuara membawa harapan dan aspirasi rakyat.

Jika hendak mengharapkan pemimpin dan perwakilan lain, saya belum mendengarnya lagi.

Yang saya dengar setakat ini perkara-perkara biasa sahaja: wujudkan menteri yang jaga hal ehwal bumiputera, sediakan jawatan yang mencukupi untuk Wanita dalam GLC, gadis perlu diberikan peluang menjadi ahli Umno secara automatik, Umno ialah parti pejuang Melayu dan Islam, Umno perlu bersedia untuk menghadapi PRU ke-14 dan seumpamanya.

Soal kesejahteraan rakyat dan bebanan kehidupan rakyat akibat dari kenaikan kos hidup tidak tidak ramai yang sanggup membincangkan secara terbuka.

Saya tidak berpesepsi buruk kepada KJ. Sejak awal, saya menaruh harapan tinggi kepada beliau untuk membawa suara rakyat. Memang payah untuk melakukan perubahan dalam politik, tetapi bagaimana payahpun, untuk politik Malaysia maju ke depan, seseorang mesti melakukannya. Dan dalam Umno, sebagai Ketua Pemuda, KJ telah melakukannya. Tahniah!


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.