Archive for 07/04/10

default

Bila Anwar terlalu ingin sangat jadi PM

on Sunday, July 4, 2010 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 2 Comments


Sikap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kecut terhadap Yahudi bila di Amerika dan berlagak bukan main menghentam mereka waktu di Malaysia terus mengundang reaksi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu membangkitkan bagaimana Anwar menuduhnya kononnya melutut dengan kuasa besar semasa pergi ke Amerika Syarikat baru-baru ini untuk bertemu dengan Presiden negara itu, Barack Obama bagi membincangkan kepentingan negara.

Katanya disebalik itu Anwar yang sanggup ke Amerika Syarikat bagi memohon maaf kepada tokoh-tokoh Yahudi di sana atas kelantangannya mengkritik Zionis sebelum ini.

Menurut Najib ini lebih dilihat kepada satu usahanya untuk mencapai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri di negara ini dengan sokongan tokoh-tokoh berkenaan.




Berucap merasmikan mesyuarat Umno bahagian Jerantut, Perdana Menteri berkata Penasihat PKR itu kini tidak ubah seperti "sesumpah politik" yang sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan cita-cita peribadinya.

Najib secara sinis berkata cita-cita besar Anwar yang "terlalu ingin sangat" hendak menjadi Perdana Menteri kini hanya mengundang pelbagai masalah dan penyakit kepadanya.
"Kita tak terlalu ingin sangat akan sesuatu.., bila nak sangat-sangat, apa pun kalau nak sangat-sangat, boleh jadi penyakit," katanya.

"Apabila saya pergi ke Amerika Syarikat (AS) untuk bertemu dengan Presiden negara itu, Barack Obama, bagi membincangkan kepentingan negara, saya dituduh oleh Anwar kononnya saya melutut dengan kuasa besar itu.
"Saya berunding atas kepentingan negara Malaysia kerana kita ingin melihat rakyat Malaysia mampu mencapai kejayaan di persada antarabangsa.

"Saya tidak pernah keluar perkataan ``minta maaf" tetapi dia sendiri yang pergi ke AS untuk meminta maaf atas kepentingan negara itu kerana dia takut dengan kawan-kawannya itu marah," katanya.

Najib berkata Anwar terpaksa berbuat demikian ekoran tindakannya sebelum ini yang telah mengkritik Yahudi dalam isu `pencerobohan Zionis' dan membangkitkan isu Apco Worldwide (Apco).




Perdana Menteri berkata penasihat PKR itu terpaksa mengadap tokoh-tokoh Yahudi di negara itu yang marah dengan tindakannya yang begitu keras mengkritik Zionis sebelum ini.

Mengikut laporan akhbar, sebuah laman web berhaluan kanan, The Evangelical Outpost yang memetik pendapat golongan kapitalis dan konservatif, Rachel Motte menganggap, Anwar adalah seorang pemimpin yang tidak mengenang budi.

Motte dilaporkan berkata, Anwar adalah pemimpin yang memperjuangkan imej pro Barat ketika di luar Malaysia tetapi untuk mendapat sokongan Melayu beliau mula bersikap anti-Yahudi dan anti-Amerika.


default

Tuduhan fitnah pembangkang satu penghinaan kepada peneroka dan FELDA

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tuduhan pembangkang kononnya Felda bankrap merupakan satu penghinaan kepada golongan peneroka dan institusi yang banyak membangunkan masyarakat Melayu.

Tegas Perdana Menteri, tuduhan tersebut merupakan pendustaan besar yang dilakukan pembangkang kepada masyarakat peneroka dan luar bandar.

Berikutan itu, beliau menegaskan Felda tidak pernah bankrap sebaliknya akan terus membela dan membangunkan masyarakat peneroka termasuk generasi kedua dan ketiganya.

''Perbuatan ini (tuduhan Felda bankrap) adalah menghina sebuah institusi yang banyak membantu peneroka menjadi golongan yang berjaya," katanya.

Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) di sini hari ini.

Najib menegaskan, tindakan PKR itu merupakan salah satu agenda yang dijalankan untuk menghancurkan Felda yang berjaya membangunkan ekonomi orang Melayu sejak 50 tahun lalu.

Selama ini, menurut beliau, Felda merangka pelbagai program untuk membangunkan golongan peneroka dan anak-anak mereka dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan kemahiran.

Kerajaan juga, tambah beliau, sentiasa meneliti pengurusan aset Felda secara sistematik supaya matlamat membangunkan peneroka tidak pernah tersasar.

''Kita (kerajaan) sentiasa meneliti asetnya betul-betul. Kita ada bermacam-macam program untuk membangunkan peneroka," katanya.

''Saya akan terangkan pada hari peneroka nanti. Hari ini saya simpan sikit. Saya tunggu pada Hari Peneroka pada 7 Julai nanti, apakah jasa, aset dan program yang dijalankan Felda selama ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib berkata, laporan Suara Keadilan itu menimbulkan kemarahan kepada peneroka kerana ia tidak berasas sama sekali.

''Rata-rata peneroka mencurahkan rasa marah bahawa mereka menganggap ini satu penghinaan kepada institusi yang disayangi mereka," katanya.

Ditanya mengenai tindakan KDN yang tidak memperbaharui permit Suara Keadilan itu: ''Kita ada undang-undang, saya serah kepada pihak berkuasa untuk buat pertimbangan sewajarnya."

Sehubungan itu, beliau menggesa pengamal media supaya menyiarkan laporan yang bertanggungjawab supaya ia tidak menimbulkan keresahan kepada rakyat dan negara.

''Kalau kita menerbitkan sesuatu akhbar, kita mesti ada rasa tanggungjawab bahawa apa yang disiarkan tidak memudaratkan kepentingan negara dan rakyat.

''Apatah lagi kalau cerita itu boleh menimbulkan kemarahan rakyat atau cerita itu tidak benar sama sekali," tegasnya.



Sementara itu, di Termeloh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu akan menjelajah di semua tanah rancangan Felda bagi menangkis persepsi negatif berikutan tindakan provokasi parti pembangkang terhadap agensi itu sejak kebelakangan ini.

Menurut Khairy Jamaluddin, tindakan perlu dilakukan memandangkan parti pembangkang seperti PKR dan Pas sedang berusaha mengganggu perpaduan masyarakat peneroka Felda di negara ini.

Menurut beliau, pembangkang kini mengatur strategi 'menyerang' Felda kerana mereka mengetahui bahawa warga peneroka merupakan penyokong kuat UMNO dan kerajaan selama ini.

Tambah beliau, pembangkang telah mengeksploitasikan pelbagai isu seperti kedudukan kewangan agensi itu bagi tujuan mengelirukan masyarakat peneroka dan cuba merendahkan reputasi Perdana Menteri.

default

Nasib penduduk kampung Melayu di PP semakin terpinggir

by Generasi Pejuang Bangsa
 - 2 Comments

Zaiton Ismail dan suaminya, Abdullah Mat Isa tidak dapat menahan kesedihan ketika membaca notis arahan mengosongkan rumah mereka yang dibina lebih seratus tahun di Kampung Pokok Asam, Jelutong, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Zhafaran Nasib



PULAU PINANG 2 Julai - Penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong di sini berharap ada pertubuhan sedia membantu nasib mereka yang berkemungkinan hilang rumah kerana diambil pemaju.

Salah seorang penduduk, Shima Ismail, 37, berkata, jika masalah sedemikian tidak ditangani, tidak hairan jika pada satu hari nanti tiada lagi perkampungan milik orang Melayu di tengah bandar raya George Town ini.

"Kampung ini adalah antara perkampungan Melayu yang masih ada di bandar ini.

"Janganlah nanti tiada lagi kampung Melayu di George Town kerana semua mereka telah dihalau keluar dari pulau," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kelmarin, kira-kira 200 penduduk asal Kampung Jalan Pokok Asam diusir oleh pemaju.

Pengusiran itu didakwa dibuat oleh pemaju tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu antara kedua-dua pihak.

Difahamkan, tanah kampung berkenaan akan dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat dengan kos lebih RM800,000 seunit oleh pemaju yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Menurut Shima, penduduk kampung kini tidak tahu kepada siapa untuk mereka mengadu dan mendapatkan bantuan.

Ini kerana, jelas beliau, wakil rakyat di kawasan itu sendiri dilihat seolah-olah tidak endah dengan nasib yang menimpa mereka.

"Kami ada mengadu kepada Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi tetapi tidak mendapat sebarang reaksi daripadanya.

"Kami hubungi dia semalam, tapi dia tidak dapat hadir meninjau masalah ini kerana berada di Parlimen," ujarnya.

Utusan


Tukar baju politik: Kampung Melayu di P. Pinang tanggung padah


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan nasib yang menimpa kampung dan orang Melayu di negeri itu yang kini semakin terpinggir sebagai harga mahal yang terpaksa dibayar kerana cuba menukar ”baju politik”.

Beliau berkata, apabila kuasa terlepas kepada parti yang tidak memperjuangkan nasib rakyat terutama kaum Melayu, maka itulah hasil yang terpaksa dihadapi.

Ahmad Zahid berkata, rakyat Malaysia terutama orang Melayu perlu sedar bahawa UMNO yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) sentiasa memperjuangkan kepentingan semua pihak berbanding DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini terbukti dengan apa yang telah BN lakukan walaupun mungkin dalam kerajaan lalu di Pulau Pinang kita ada kelemahan, tetapi kita boleh baiki semula jika kita mengambil alih semula Pulau Pinang.

"Namun DAP belum cukup tiga tahun memerintah, banyak gerai Melayu yang telah dirobohkan dan tidak ada penggantian dan jika ada sekalipun diletakkan di kawasan pinggir dan kawasan yang tidak strategik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di sini, hari ini.


Kalau pergi ke pulau mutiara,
Jangan lupa singgah ke Kebun bunga,
Lihat hari ini DAP punya angkara,
Roboh rumah melayu ,PKR-PAS tak buat apa.



LINK

Orang Melayu semakin terpinggir - YB Datuk Hamidah Osman

default

Palace Of Tear : KDN wajib siasat Malaysiakini dan The Star

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Bekas ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Noor menggesa Malaysiakini dan The Star disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri berhubung laporan nasib yang menimpa buruh pembinaan istana baru di Kuala Lumpur.

"Malaysiakini dan The Star patut disiasat kerana laporan itu disulam motif untuk merosakkan institusi diraja," katanya ketika dihubungi hari ini.

"Saya telah ke tapak itu hari ini dan mengadakan sidang akhbar. Maklumat dalam laporan itu salah. Hanya empat atau lima buruh pembinaan yang lambat menerima gaji mereka.

"Laporan itu anti-Melayu dan anti-Istana. Laporan itu menggambarkan istana seolah-olah dibina daripada air mata rakyat jelata," katanya.

Dalam laporan ekslusif pada 27 Jun, The Star menyiarkan di muka depannya sekumpulan pekerja asing yang membina Istana Negara bernilai RM800 juta didakwa tidak menerima gaji bagi tempoh tiga bulan.

Beliau juga menegaskan, isu istana ini adalah agenda jahat yang sengaja di spin berdasarkan maklumat yang salah untuk rosakkan institusi negara.

“Malangnya ia dimainkan akhbar utama negara, The Star ..saya sebutkan di sini. Saya mohon pihak The Star bertanggungjawab kenapa memainkan isu ini. Saya juga minta penjelasan pemimpin MCA ..apa pendirian mereka terhadap satu usaha merosakkan imej negara,”.

“Keduanya Malaysiakini yang disebutkan Palace of tear atau istana air mata. Memberi gambaran Istana Negara yang dibina atas air mata, aras kezaliman. Ini satu perkara sangar jahat dan mereka perlu bertangungjawab,” katanya.

Ezam mendesak KDN memanggil editor kedua-dua media itu untuk meminta penjelasan atau mengambil tindakan sama seperti terhadap Suara Keadilan.

Beliau percaya isu istana negara itu adalah sebahagian plot pembangkang untuk mengalih isu terhadap ketua mereka yang berdepan kes liwat dan perpecahan dalaman terutama PKR.

Mengulas mengenai PKR yang dikatakan bersubahat melindungi Raja Petra Kamaruddin apabila Datuk Zaid Ibrahim berjumpanya di London, beliau tidak pelik dengan kemungkinan tersebut.

“Selama ini pun PKR melindungi mereka yang meliwat, bacul dan dayus. Saya anggap Raja Petra bacul kerana membuat fitnah dan kemudian lari. Saya dulu pun lari juga tetapi sekarang sudah balik berdepan kebenaran,” tegasnya.

“Ini lari tak balik-balik. Ini bacul. Inilah PKR parti yang bangkrap dan hanya berlegar isu-isu peribadi pemimpin mereka– 3/7/2010



Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ezam menyatakan kekesalannya terhadap Malaysiakini yang didakwanya selalu "mengutarakan isu yang anti-istana".

"Ini melampau. Malaysiakini telah cukup menyerang institusi (Melayu). Saya akan lawan (ketua pengarang) Steven Gan habis habisan-habisan," katanya.

Katanya, laporan berhubung isu peralihan kuasa di Perak, termasuk melibatkan bekas menteri besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan kes murtad adalah contoh serangan terhadap instsitusi Melayu.

Link

Kenyataan rasmi Senator Ezam

Blogger Widgets
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.