Piket staf KTMB desak Presiden KTMB letak jawatan

on Wednesday, July 7, 2010 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

Kira-kira 300 ahli Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPTMB) berpiket di hadapan ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di ibu negara berikutan tindakan syarikat itu menubuhkan sebuah anak syarikat sebagai pengendali perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Ahli kesatuan itu mula berkumpul di stesen komuter Kuala Lumpur pada jam 5 petang ini dan kemudiannya berarak mengikut laluan bawah tanah dan berkumpul semula di hadapan ibu pejabat KTMB di Jalan Hishamuddin.

Dalam keadaan hujan renyai, kumpulan pekerja itu kemudiannya berbaris di sepanjang jalan tersebut sambil melaungkan slogan mendesak presiden syarikat itu, Dr Aminuddin Adnan supaya meletakkan jawatan.

Puluhan poster berwarna-warni turut dipamerkan kepada kenderaan yang lalu-lalang sekitar jalan tersebut, antaranya bertulis "Presiden KTM gagal tadbir KTM", "lembu punya susu, sapi dapat nama" dan "Pekerja KTM boleh kendalikan ETS".

Walaupun jalan sekitar sesak akibat dua lorong ditutup, keadaan trafik bergerak lancar apabila piket tersebut kelihatan begitu teratur. Kumpulan tersebut juga mempunyai petugas keselamatannya sendiri.

Suasana bingit kedengaran apabila mereka yang masih berseragam kerja berwarna biru itu tidak henti-henti bersorak setiap kali kenderaan yang lalulintas membunyikan hon tanda sokongan.

Berucap di perhimpunan itu, presiden KPPTMB Abdul Razak Md Hassan (kanan) memberikan masa 30 hari kepada Dr Aminuddin untuk meletakkan jawatan.

Sekiranya Dr Aminuddin tidak berbuat demikian, Abdul Razak berharap Kementerian Kewangan akan menamatkan kontrak presiden KTMB itu.

Pintu rundingan sudah tertutup

Abdul Razak berkata, tuntutan mereka telah dimajukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu memohon campurtangannya bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Sekarang pintu rundingan (dengan majikan) telah tertutup. Kami mahu Presiden KTM letak jawatan," katanya yang mendakwa, setelah tujuh bulan cuba berunding, permintaan mereka tidak diendahkan.

Turut hadir di perhimpunan itu ialah presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud dan juga ahli parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid

Berucap dalam perhimpunan itu, Syed Shahir berkata beliau berharap menteri berkenaan dapat campurtangan bagi menjernihkan 'ketegangan' antara pekerja dan majikan sejak penghujung tahun lalu lagi.

"Mereka (menteri) kena panggil mesyuarat khusus, berdiolog, tidak boleh biarkan terus begini," katanya kepada pemberita.

Sebelum beredar, kumpulan yang datang daripada seluruh pelusuk negara itu sempat berpaling mengadap bangunan ibu pejabat dan melaungkan "boo" kepada Dr Aminuddin beberapa kali.

Dr Aminuddin bagaimanapun tidak kelihatan. Bahkan pintu masuk ke pejabat itu juga ditutup.

Abdul Razak sebelum ini dilaporkan menolak langkah menganaksyarikatkan perkhidmatan ETS, antaranya kerana tindakan itu didakwa menyebabkan faedah kesihatan pekerja dikurangkan, kehilangan elaun-elaun, jumlah cuti berkurangan dan sewa kuarters akan dinaikkan.

KPPTMB yang dianggotai 3,600 ahli turut merancang untuk mengadakan satu lagi piket di 10 lokasi di seluruh negara pada 21 Julai.



Komen PB

Sebagai anak staf KTMB Kumpulan Sokongan , PB menyokong piket ini yang mendesak Dr Aminuddin ini meletakkan jawatan sbg Presiden KTMB dengan segera. Beliau sedang menindas pekerja2 KTMB dengan agenda penswastaan yang tak masuk akal . Najib harus peka dan selesaikan isu ini dengan segera kerana pengurusan KTMB masih lagi dibawah Kementerian Kewangan dan kerajaan . Jangan biarkan pembangkang yang hari ini hadir seperti Presiden MTUC dan Ahli Parlimen Kuala Langat cuba menangguk di air yang keruh .


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.