Syabas Malaysia !! Gol Shafiq Rahim tewaskan gergasi Asia skuad U-23 Korea Selatan

on Sunday, July 25, 2010 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 2 Comments


KUALA LUMPUR 25 Julai — Skuad Bawah 23 (B-23) Malaysia mempamer permainan cemerlang untuk menewaskan skuad B-23 Korea Selatan, 1-0 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Biarpun pasukan hari ini merupakan gandingan antara skuad bawah 21 dan bawah 23 kebangsaan, namun pasukan di bawah bimbingan K.Rajagobal itu menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun menyedari pasukan lawan datang dari negara yang sudah tujuh kali beraksi dalam Piala Dunia sejak tahun 1986.

Pada minit ke-empat perlawanan, hantaran satu-dua di antara Mohd Zaquan Adha Abdul Razak dan Norshahrul Idlan Talaha di dalam kotak penalti menyaksikan peluang terbaik untuk pasukan negara membuka jaringan, bagaimanapun ia gagal dimanfaatkan apabila rembatan kaki kiri Mohd Zaquan tersasar di kiri tiang gol Korea Selatan.

Keadaan padang yang basah akibat hujan sebelum perlawanan menyebabkan pergerakan kedua-dua pasukan yang menurunkan skuad yang akan ke Sukan Asia di Guangzhou, China pada November ini, terbatas.

Skuad Korea Selatan di bawah bimbingan Hong Myung Bo, yang dikenali dengan corak permainan yang pantas dengan larian pemain yang laju, kemudiannya mula menukar rentak dengan melakukan rembatan jarak jauh untuk membolosi gawang Malaysia yang dikawal Mohd Sharbinee Allawee. Dalam tempoh 30 minit awal perlawanan, gandingan Mohd Zaquan dan Noshahrul Idlan beberapa kali melepasi benteng pertahanan Korea Selatan yang dikendalikan oleh Kim Oh Kyu dan Jang Suk Won, namun gawang di bawah jagaan Lee Bum Soo masih tetap kukuh untuk dibolosi.

Korea Selatan memperolehi peluang terbaik membolosi pintu gol Malaysia apabila sepakan percuma yang diambil Jung Woo Young pada minit ke-40, dua meter di luar kotak penalti terkena palang, tetapi bola yang melantun itu gagal dirembat kemas oleh Kim Dong Hee ke dalam gawang Malaysia.

Terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama kedua-dua pasukan melajukan permainan, dan akhirnya skuad K.Rajagobal membuka tirai jaringan pada minit ke-50 hasil rembatan deras Safiq Rahim.

Safiq yang sebelum itu mengambil sepakan percuma dua meter di sebelah kanan di luar kotak penalti lawan, merembat terus ke gawang Korea Selatan namun ia ditampan oleh Lee Bum Soo, dan pemain Malaysia itu tanpa teragak-agak merembat bola itu terus ke gawang lawan.

Tersentak dengan gol itu Korea Selatan melakukan serangan bertali arus ke kawasan Malaysia, namun barisan benteng pertahanan negara yang diketuai Mohd Sabre Mat Abu berjaya menyerap asakan lawan.

Kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran, dan Rajagobal pada minit ke-60 mengeluarkan Norshahrul Idlan dan digantikan dengan Baddrol Bakhtiar, manakala di minit ke-65 Ahmad Fakri Saarani digantikan pula dengan Mohd Khyril Muhymeen.

Kira-kira 30,000 penonton menyaksikan perlawanan persahabatan itu yang diadili oleh pengadil Malaysia yang bertugas di Piala Dunia di Afrika Selatan, Subkhiddin Mohd Salleh, yang diadakan sempena 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Skuad kebangsaan Malaysia kini menduduki ranking ke-142 dunia dan ke-26 Asia berbanding skuad kebangsaan lawan yang berada di ranking ke-44 dunia dan ke-3 Asia.

Kali terakhir Malaysia bertemu Korea Selatan ialah pada Pestabola Merdeka 1995, ketika skuad senior negara menumpaskan pasukan Korea Selatan 2-1.

SOUTH KOREA : Lee Bum Soo, Park Hyung Jin, Jeong Dong Ho (Sin Se Gye), Kim Oh Kyu, Jang Suk Won, Lee Chang Yong, Jung Woo Young, Go Moo Yul (You Sun Gon), Jeong Hyun Cheol (Cho Yung Hoon), Park Hee Seong, Kim Dong Hee (Kim Dong Sub).

MALAYSIA: Mohd Sharbinee Allawee, Mohd Sabre Mat Sabu, Mohd Nasriq Baharom (Mohamad Muslim Ahmad), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Amar Rohidan, Mohd Asraruddin Putra, Safiq Rahim, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, S. Kunanlan (Ahmad Shakir Mohd Ali), Norshahrul Idlan Talaha (Baddrol Bakhtiar), Ahmad Fakri Saarani (Mohd Khyril Muhymeen Zambri).




2 Responses

  1. Anonymous says:

    tahniah pasukan malaysia kerana berjaya mengalahkan korea selatan,walaupun menang tipis tetapi pasukan malaysia tetap menang,TAHNIAH DAN SYABAS

    MALAYSIA 1-0 KOREA SELATAN

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.