BN KALAH DALAM PERANG PERSEPSI & FITNAH

on Monday, August 20, 2018 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




Memang BN kalah pada PRU-14 sebab isu 1MDB. Dan isu GST. Dan Perdana Menteri dan Pengerusi BN pada ketika itu adalah Dato' Seri Najib.
Namun BN kalah bukanlah sebab 1MDB, GST dan Dato' Seri Najib itu sahih kesalahannya, tetapi BN kalah sebab persepsi yang dimainkan oleh Pakatan Harapan yang menggambarkan yang isu-isu ini amat teruk dan salah di mata rakyat, walaupun hakikatnya jauh dari itu. Kita kalah sebab kita tewas dalam perang persepsi. Kita telah tewas dalam politik. Kita telah tewas dalam permainan ini.
Hampir semua isu politik adalah polemik, iaitu tidak ada yang betul-betul benar atau betul-betul salah secara total, dan tiada hitam dan putih, namun banyak yang kelabu dengan pelbagai pendapat. Siapa yang menang adalah siapa yang membawa hujah yang nampak lebih meyakinkan.
Kebenaran tidak dimonopoli oleh mana-mana pihak, setiap pihak berpendapat mereka adalah di pihak yang benar. Permainan persepsi mengubah lanskap politik, bukannya kebenaran. Semua pemain politik berpengalaman tahu perkara ini.
Hakikatnya, selepas 5 tahun penyiasatan ke atas 1MDB oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar negeri, tiada satu pihak pun yang mengemukakan bukti yang kredibel bahawa Dato' Seri Najib telah mencuri wang 1MDB seperti yang ditohmah.
Apabila pernah ditanya kepada Tun Dr Mahathir berkenaan bukti dakwaan beliau ke atas Dato' Seri Najib, Tun Mahathir pernah berkata beliau tidak ada bukti. Dan sehingga kini walaupun 7 pertuduhan telah dikenakan ke atas Dato' Seri Najib, dokumen maklumat bukti masih tidak dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Mereka berkata mereka belum bersedia dengan bukti-bukti walaupun tangkapan dan tuduhan telah dibuat terlebih dahulu.
Kebarangkaliannya bukti yang ada di tangan pihak pendawaan adalah "bukti" yang lemah, sebab itu mereka pun nampak teragak-agak untuk memulakan perbicaraan dan mengemukakan senarai bukti kepada mahkamah dengan dokumen 51A mengikut Kod Prosidur Jenayah.  "Bukti" yang banyak dikitarkan oleh para penyokong Pakatan adalah infografik-infografik dan penulisan-penulisan andaian dalam media sosial dari sumber yang diragui, namun cukup untuk memainkan sentimen kebencian.
Salah kita ialah kita tewas dalam permainan persepsi ini. Kita mungkin boleh membuktikan di mahkamah bahawa Lim Guan Eng bersalah menerima sogokan dengan pembelian banglonya dengan segala bukti kukuh, namun kita masih tidak berjaya meyakinkan rakyat bahawa beliau korup dan perasuah.
Jika dibandingkan di antara kes 1MDB dan kes rasuah terowong Pulau Pinang, jumlah wang Kerajaan dan rakyat yang hangus disalahguna dalam kes rasuah projek terowong tersebut adalah lebih dari RM300 juta bersamaan dengan satu tahun kutipan cukai negeri Pulau Pinang, walhal jumlah pelaburan modal sebenar wang Kerajaan dalam 1MDB adalah hanya RM1 juta sahaja, selebihnya diraih dari pasaran modal.
Sebab itu saya pernah berkata dahulu bahawa kes rasuah terowong itu adalah lebih besar dari kes 1MDB walaupun persepsi yang sampai kepada rakyat adalah sebaliknya. Dan saya juga pernah berkata yang jika Dato' Seri Najib dibicarakan di mahkamah kerana kes 1MDB, YB Lim Guan Eng juga perlu dibawa ke mahkamah kerana kes rasuah terowong tersebut.
Namun mengapa sesetengah pemimpin UMNO kini terlalu mudah untuk menyalahkan Dato' Seri Najib tetapi membiarkan YB Lim Guan Eng pula terlepas? Adakah mereka juga telah termakan hasutan Pakatan?
Apabila kita tewas di Sungai Kandis, belum beberapa hari sahaja Dato' Seri Johari Ghani terus cepat menyalahkan Dato' Seri Najib atas kekalahan tersebut. Saya telah turut sama berkempen di Sungai Kandis dan tahu kawasan ini. Ia adalah kubu kuat PKR. Kita telah tewas di kawasan ini sejak tahun 2008.
Jika dicampurkan undi kita dan PAS semasa PRU-14 dahulupun kita masih kekurangan lebih 4 ribu undi. Tiada siapa yang anggap kita akan menang di sini, namun kita tetap berjuang. Dengan peratusan keluar mengundi yang amat rendah iaitu pada 50%, adalah satu kejayaan sebenarnya apabila Lokman Adam dapat mengekalkan lebih 80% daripada undi yang kita dapat dalam PRU-14 yang lepas. Walaupun dengan fakta-fakta ini, Dato' Seri Najib tetap juga dipersalahkan.
Walaupun GST itu satu sistem cukai yang baik dan telus untuk negara dan ekonomi seperti yang diakui kini oleh banyak pihak termasuk pemimpin Pakatan sendiri, namun sebelum PRU-14, Pakatan telah berjaya meyakinkan rakyat bahawa GST itu tidak baik untuk mereka.
Walaupun kita bijak berpolitik dalaman dalam UMNO, namun kita telah gagal membawa dan melawan hujah lawan di pentas politik rakyat. Pada kali ini, jika kita tidak mengakui kelemahan ini, menyalahkan orang lain dan masih tidak berubah, kita mungkin akan gagal lagi meyakinkan rakyat bahawa SST itu tidak baik berbanding GST, padahal ianya sebaliknya.
Sesiapapun yang menjadi Perdana Menteri dan Kerajaan akan diuji dan diasak dengan pelbagai isu dan tohmahan. Jika Perdana Menteri keenam bukan Dato' Seri Najib dan tiada isu 1MDB sekalipun, saya pasti sesiapapun yang menjadi Perdana Menteri pada ketika itu akan diasak dengan isu-isu lain untuk dijatuhkan.
Jika tiada isu, mereka akan reka dan jadikan isu. Sesuci-suci pemimpin seperti Rasulullah SAW pun pernah difitnah, dihalau, direjam dengan batu dan dicuba bunuh.
Pada tahun 1970, Dr Mahathir menuduh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman sebagai cenderung kepada kaum Cina, ini untuk menimbulkan kemarahan orang Melayu kepada Tunku. Dalam memoirnya Tunku menceritakan bagaimana tohmahan ini tidak betul dan berniat jahat untuk menjatuhkan beliau.
Selepas itu, Dr Mahathir menggunakan taktik kotor yang sama dengan isu yang berbeza untuk menjatuhkan Perdana Menteri-Perdana Menteri ketiga, kelima dan keenam.
Pada tahun 1980, Dr Mahathir dikatakan merancang untuk menjatuhkan Tun Hussein Onn Perdana Menteri ketiga dengan menggunakan isu Datuk Harun Idris. Dua tahun selepas itu Tun Hussein Onn terpaksa melepaskan jawatan akibat tekanan Dr Mahathir.
Pada tahun 2008, Dr Mahathir menjatuhkan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dengan menggunakan isu "Budak Tingkat 4" dan Perdana Menteri "Half-past six". Sepuluh tahun kemudian beliau menggunakan isu 1MDB untuk menjatuhkan Dato' Seri Najib dengan tohmahan persepsi dan tuduhan tanpa bukti.
Kegagalan kita di PRU-14 tidak sepatutnya diletak di bahu Dato' Seri Najib sahaja. Kita pun bersalah kerana gagal dalam permainan persepsi dan hujah untuk meyakinkan rakyat dalam isu-isu mereka. Dan kita masih tidak boleh mengalahkan Dr Mahathir.
Kita kalah dengan permainan politik Dr Mahathir. Jika kita mahu salahkan seorang yang merosakkan Melayu dan UMNO selama ini, namanya ialah Dr Mahathir, bukan Abdul Rahman, bukan Hussein Onn, bukan Pak Lah dan bukan Najib.
Jika kita kini mengambil langkah menyalahkan Dato' Seri Najib sahaja dalam kekalahan kita ini, dan mencari target atau kambing hitam untuk dikorbankan, maka kita tidak akan bermuhasabah. Selagi kita tidak mengakui kesilapan dan kelemahan kita dan hanya menyalahkan orang lain ke atas kegagalan kita, selagi itu kita tidak akan berubah ke arah yang lebih baik.
Betul Dato' Seri Najib perlu bertanggungjawab ke atas kekalahan kita kerana beliau Presiden parti pada ketika itu; dan beliau telahpun meletakkan jawatan. Namun kita pun perlu bertanggungjawab juga.
Dato' Seri Johari, kita kalah di Titiwangsa bukan sebab kelemahan hujah kita di kampung, namun sebab kelemahan hujah kita di bandar. Kita bijak berhujah di kampung, dengan bahasa yang mudah difahami oleh orang kampung, sebab itu kita banyak menang di kawasan kampung.
Namun kita tidak bijak berhujah di bandar dengan tahap hujah yang meyakinkan pengundi di bandar, dan kadangkala kita cenderung menggunakan tahap hujah dan bahasa di kampung untuk cuba meyakinkan pengundi di bandar. Mungkin sebab itu kita banyak tewas di kawasan-kawasan bandar. Hujah di kampung dan di bandar memerlukan pendekatan yang berbeza kerana demografi mereka adalah berbeza.
Jika kita bercerita ayam itik di kampung kepada golongan pengundi yang sofistikated, profesional atau belia di bandar, mereka tidak akan menerima hujah kita jauh sekali menyokong kita, malah mereka akan memandang rendah kepada kita. Lebih teruk lagi ialah apabila mereka ini balik kampung untuk mengundi dan mempengaruhi orang kampung. Kebanyakan pengundi dan rakyat kini adalah lebih sofistikated dan bijak dari dahulu walaupun di kampung.
Kita jangan memandang rendah tahap akal dan pemahaman mereka. Hujah kita perlu lebih bernas. Jika kita sudah pakar meyakinkan orang di kampung, kita perlu meningkatkan usaha untuk meyakinkan orang di bandar pula. Kini 75% pengundi tinggal di kawasan bandar. Jangan salahkan ahli politik kampung atas kegagalan kita berpolitik di bandar.
Dan Dato' Seri Johari juga menyalahkan isu 1MDB dan Dato' Seri Najib tentang kekalahan di Titiwangsa walaupun beliau (Johari) berlawan dengan ahli politik muda yang tidak dikenali iaitu Rina Harun. Seingat saya di Titiwangsa sebelum PRU-14 dan sebelum penamaan calon, banyak tanda-tanda penolakan pengundi Titiwangsa ke atas Dato' Seri Johari sebagai Ahli Parlimen sehingga ada flash mob dan poster-poster bertebaran yang berbunyi "Asal Bukan Johari."
Ini tidak ada kena mengena dengan 1MDB atau Dato' Seri Najib. Rakyat menolak Dato' Seri Johari sebagai wakil rakyat mereka. Mungkin jika tiada isu 1MDB pun, Dato' Seri Johari akan tetap kalah di Titiwangsa.
Mungkin sesetengah daripada pemimpin UMNO kita kini takut untuk bersuara menentang Kerajaan sebab mereka ada kes dan fail yang dipegang oleh SPRM dan takut jika mereka bersuara pekung mereka akan dibuka dan mereka akan didakwa. Semua orang yang pernah alami zaman Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat semasa tahun 80an dan 90an tahu yang Dr Mahathir selalu menggunakan taktik kotor Macchiavellian dengan mengugut ahli politik kotor dengan "buku hitam" beliau yang mengandungi kes-kes kesalahan  dan rasuah ahli-ahli politik sama ada kawan atau lawannya.
Mungkin sebab itu ada bekas menteri yang kerap menghentam parti sendiri dan bekas pemimpin yang dijulangnya sebelum ini tetapi tidak berani pula membangkang Kerajaan kini. Bila dibahas isu SST di Parlimen yang sepatutnya memberi peluang untuk kita membangkang Kerajaan Pakatan, beliau sebaliknya membuat laporan polis untuk menyiasat bekas pemimpin BN sendiri pula berkenaan GST. Dalam Kerajaan Pakatan ramai pemimpin yang ada fail SPRM termasuklah menteri dan timbalan menteri seperti YB Lim Guan Eng, Azmin Ali, Sivarasa, Zuraidah dan ramai lagi.
Mereka bukanlah parti yang bersih seperti yang digembar-gemburkan. Namun banyak kes mereka tiba-tiba kini digugurkan selepas mereka berkuasa. Ketidakadilan ini yang perlu kita semak-imbangkan. Dan kita pula bukanlah parti yang semuanya rasuah seperti yang digembar-gemburkan oleh Pakatan. Masih ramai orang UMNO yang berjuang kerana prinsip dan bukan kerana wang, dan mereka ini bersih dalam perjuangan. Kepada sesiapa dalam UMNO yang tiada fail SPRM, usahlah takut untuk bersuara.
Kita selalu kata Pakatan tidak tahu menjadi Kerajaan. Namun sebenarnya kebanyakan dari pemimpin kita pun masih tidak tahu untuk menjadi pembangkang. Apa yang sesetengah pemimpin kita buat kini termasuklah Dato' Seri Johari Ghani ialah mengambil jalan mudah, dengan tidak perlu mengambil risiko menyerang Kerajaan, namun menyerang rakan kita sendiri yang telah jatuh; dan tidak perlu bermuhasabah dan berubah, tetapi menyalahkan orang lain ke atas kegagalan bersama atau diri sendiri. Selagi perkara ini berlaku dalam UMNO, kita tidak boleh menang menewaskan Kerajaan Pakatan.
Saya bukan lagi pegawai kepada Dato' Seri Najib, dan saya tiada jawatan dalam parti. Saya menulis ikhlas dari hati dan tidak terikat dengan sesiapapun. Ini adalah pandangan jujur saya untuk parti dari akar umbi. Sebelum ini saya memang tidak suka tembak ke dalam parti seperti yang kerap dilakukan oleh sesetengah pemimpin, kerana lawan sebenar kita adalah di luar sana.
Namun pada ketika ini saya rasa saya patut bersuara walaupun sekerdil mana sekalipun suara ini untuk mengelakkan ketidakadilan dan penganiayaan yang tidak sepatutnya kepada sesiapa. Jika pandangan kecil saya ini mengguris hati sesiapa, saya mohon maaf.-10/8/2018
Penulis merupakan bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak

agendaily 


One Response

  1. Unknown says:

    Ini membuktikan tUrn betul.. Rakyat malaysia cara fikir mcm dunia ketiga dan masih bodoh kerana senang diperbodohkan.. Rasa mcm pandai.. Ttp sebenarnya bodoh.. Fakta2 tak nak percaya.. Benda tipu yg tk masuk akal dijanji dan bodoh yg diaorg percaya

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.