MALAYSIA NAK BAWA BALIK HARTA KARUN MELAYU TERMAHAL DUNIA RM6.4 BILLION " FLOR DE LA MAR "

on Sunday, February 23, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 2 Comments




Usaha mengapungkan kapal Portugis, Flor De La mar yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh, Indonesia ketika membawa rampasan khazanah empayar Melaka bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM6.4 bilion) dijangka dapat direalisasi dengan kerjasama tiga negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Penyelidikan usaha tersebut, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, negara terbabit ialah Malaysia, Indonesia serta Portugal dan untuk mencapai hasrat itu, beliau telah mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk melaksanakan projek itu.
“Sejak dahulu beberapa percubaan telah dibuat oleh pemburu harta karun dari Eropah dan Asia untuk kenal pasti lokasi kapal Portugis itu, tetapi cubaan itu gagal atas beberapa perkara teknikal.
“Ini kerana terdapat 30 kapal di lokasi tersebut. Jadi, jika hendak mengenal pasti yang mana satu kapal Flor De Lamar, kita memerlukan teknologi canggih serta melibatkan kos kira-kira AS$30 juta (RM96 juta),” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Usahawan Bumiputera Perlu Bijak Rancang Strategi di Dewan Bandar Putera, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) percaya dengan kerjasama kerajaan ketiga-tiga negara terbabit, kapal tersebut boleh diapungkan dan secara langsung mengembalikan warisan dan kehebatan empayar Melaka ketika itu yang telah pun diambil oleh Portugis,” katanya.
Rahim berkata, harta karun di dalam kapal Portugis itu yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh diyakini masih tidak terusik kerana sudah dilitupi lumpur dan ditumbuhi batu karang.
“Kami difahamkan dalam kapal itu ada lebih 40 jenis barangan berharga yang hendak dibawa ke Portugal dari Melaka pada 1511, setelah dirampas oleh Panglima Afonso de Albuquerque.
“Senarai khazanah Melaka itu kemudian telah disenaraikan oleh anak Alfonso sebelum dibawa ke London dan badan lelongan harta purba di sana menganggar nilainya lebih AS$2 bilion.
“Antara harta karun itu ialah 22 peti wang emas dan perak serta dua patung monyet emas bertatahkan batu permata yang diberikan kerajaan Thai kepada Melaka,” katanya sambil memberitahu harta berkenaan bukan sahaja mempunyai nilai kewangan, malah warisan sejarah.
Beliau berkata, sekiranya usaha mengapungkan harta tersebut berjaya, projek raksaksa itu mampu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.
“Menurut undang-undang laut antarabangsa, biasanya di mana kapal itu tenggelam, khazanah itu akan menjadi hak milik negara berkenaan. Tetapi Indonesia hingga kini tidak dapat mengenal pasti lokasi kedudukan kapal tersebut.
“Menurut pihak Indonesia, jika kita dapat buktikan khazanah itu dari Empayar Kesultanan Melaka, harta itu boleh menjadi khazanah Malaysia,” katanya.
Katanya, kerjasama berkenaan pernah cuba dijalankan antara Malaysia dan Indonesia ketika beliau menjadi Ketua Menteri Melaka dari 1982 hingga 1994, tetapi tidak berhasil.


Komen GPB
Usaha yang wajar dipuji kerajaan Malaysia yang mahu membawa balik harta karun termahal dunia milik tamadun Melayu . 






2 Responses

  1. Anonymous says:

    malaysia dan Indonesia harus bekerjasama.

  2. Anonymous says:

    kapal penjajah yg mahu bukan nk buat Jong yang 20X besar dari si kapal penjajah

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.