SELANGOR dikhabarkan sedang merisik bekas penyerang Chelsea, Mateja Kezman (kiri) sebagai seorang daripada dua pemain import mereka bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2012 yang bermula Januari depan.
Kezman, 32, berasal dari Serbia tetapi kini beraksi bersama kelab Belarus, BATE Borisov yang bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah sejak 31 Ogos lalu hingga penghujung tahun ini, selepas menghabiskan tempoh empat bulan kontrak bersama kelab Hong Kong, South China dari Januari hingga Mei lalu.
Selepas memulakan karier profesional bersama kelab Serbia, FK Partizan pada 1998 ketika berusia 19 tahun selama dua musim, nama Kezman mula menyinar apabila muncul peledak berbisa sepanjang empat musim beraksi untuk kelab Belanda, PSV Eindhoven.
Kezman kemudian disunting Chelsea pada musim 2004/05 dan selepas itu berkelana pula ke Atletico Madrid, Fenerbahce, Paris St Germain dan Zenit St Petersburg.
Andai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berjaya mengikat Kezman, ia pasti akan menjadi tarikan utama penyokong Red Giants untuk kembali memenuhi Stadium Shah Alam sepanjang saingan musim depan.
Selangor sebelum ini pernah menggunakan khidmat beberapa nama besar sebagai pemain import, antaranya Karel Stromsik, Mehmet Durakovic, David Mitchell, Tony Cottee, Chris Kiwomya, Brian Fuentes, Bambang Pamungkas, Elie Aiboy, Perica Ognjenovic dan Frank Seator.
FAS kini sedang menguji pemain pertahanan 29 tahun dari Korea Selatan, Hwang Moo-kyu dan dikhabarkan empat lagi pemain bakal hadir ke Shah Alam untuk diuji sepanjang bulan ini.