Isu DUMC : Pemuda UMNO tidak kompromi soal akidah, desak MB Selangor letak jawatan !

on Wednesday, August 10, 2011 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) amat kecewa dengan Kerajaan Negeri Selangor yang bukan sahaja dilihat lesu malahan kaku dalam tindakannya menangani isu serbuan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Kalau dilihat daripada awalnya, para pendokong pembangkang begitu beria untuk cuba mengelakkan diri dari bertanggungjawab dan terus menuding jari dengan mengatakan bahawa perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa KDYMM Sultan Selangor. Malahan, tanpa usul periksa dan semberononya, mereka juga tampil dengan dakwaan bahawa ia adalah suatu konspirasi Kerajaan Pusat.

Namun, segalanya berubah dan sepi sejurus selepas YAB Menteri Besar Selangor bersuara kerana mereka tahu bahawa pihak Kerajaan Negeri harus memikul tanggungjawab dan menjawab segala persoalan berhubung isu ini. Walau bagaimanapun, apa yang amat mengecewakan adalah adanya cubaan untuk melengah dan memerapkan isu ini dari perhatian umum dengan tiadanya sebarang tindakan susulan.

Bagi kami, helah sedemikian amatlah tidak bertanggungjawab kerana ia melibatkan sesuatu yang amat sensitif bagi kedua-dua masyarakat Muslim dan Kristian di Malaysia, yang sedang memerhati dan mengikuti kes ini. Malangnya, disebalik kesedaran Menteri Besar tentang betapa sensitifnya kes ini, beliau telah memilih untuk berlengah dan menyorok di belakang tabir JAIS walaupun beliau sepatutnya harus segera menyiasat kes ini bagi mengambil tindakan perlu yang wajar.

Bagi masyarakat Muslim, kegusaran mereka tertumpu kepada isu murtad atau keluar agama. Ini disebabkan bukan sahaja sebarang langkah bagi mengembang kepercayaan agama lain kepada penganut Islam adalah ditegah oleh Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, malahan penukaran agama atau murtad adalah satu dosa yang amat besar di dalam Islam. Oleh yang demikian, dakwaan bahawa cubaan untuk memurtadkan penganut agama Islam di gereja tersebut adalah suatu yang amat serius.

Pada waktu ini, gambaran yang sebenar masih lagi kabur. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil-wakil masyarakat Kristian berhubung isu ini, kejadian tersebut tidak lebih daripada Majlis Makan Malam Kesyukuran (a thanks giving dinner). Namun, terdapat pula pihak yang menyangkal kenyataan tersebut dengan mengatakan bahawa ia bukan sekadar majlis makan malam dengan bukti borang soalan tentang agama Islam yang didakwa dikoyak dan dibuang sejurus sebelum pihak penguatkuasa JAIS menyerbu masuk.

Manakala bagi masyarakat Kristian, mereka tersinggung dengan serbuan dan menganggapnya sebagai suatu penindasan, pembulian dan tiadanya sikap toleransi. Disamping itu, sudah pastinya mereka kecewa akibat disalah tuduh sekiranya dakwaan adanya usaha-usaha bagi memurtadkan orang Islam di gereja tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Oleh itu, apa yang mustahak sekali adalah bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk tampil bagi menjelaskan isu ini, sekarang tanpa bertangguh lagi.

Dalam hal ini, sekiranya Dato’ Dr Hasan Mohd Ali dan Pemuda PAS telah berpuas hati dengan penjelasan JAIS, persoalannya apakah pula yang ditunggu-tunggu oleh Menteri Besar Selangor untuk mengeluarkan kenyataan rasmi kerajaan negeri berhubung isu ini?

Pada masa yang sama Dato’ Dr Hasan serta Pemuda PAS haruslah juga tampil ke mata umum untuk menjelaskan sebab dan asas bagi mereka berpuas hati dengan tindakan JAIS. Ini kerana kita tidak boleh menerima apa yang mereka kata bulat-bulat. Masyarakat umum juga mahu tahu apa bukti yang meyakinkan mereka untuk menyokong JAIS? Oleh itu, amatlah penting kepada masyarakat Islam dan Kristian untuk mengetahui apakah bukti dan laporan yang telah mereka terima sehingga memuaskan hati mereka dengan asas serbuan pada 3 Ogos itu.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO juga ingin menegaskan bahawa kita tidak boleh terus menyalah dan menolak bantuan kemanusian atau kewangan yang dihulurkan oleh sebilangan pihak gereja kepada mereka yang dhaif dan memerlukan. Ini kerana bantuan tersebut sememangnya ditagih dan membantu golongan miskin di saat memerlukan.

Namun, apa yang tidak boleh diterima oleh orang Islam adalah apabila bantuan tersebut diberi dengan bermotif atau diselitkan dengan usaha untuk memurtadkan mereka yang mana bukan sahaja suatu yang salah bagi penganut agama Islam bahkan menyanggahi ketetapan Perlembagaan Persekutuan. Pada masa yang sama, episod sebegini merupakan suatu peringatan kepada kesemua institusi yang menyelenggarakan kutipan wang zakat untuk berusaha lebih giat di dalam mengenal pasti serta menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf penerima zakat, terutama yang fakir dan miskin. Sungguhpun kita tidak menolak inisiatif dan bantuan mana-mana pihak , tetapi institusi zakat haruslah bersedia dan mampu menjadi tempat pertama bagi orang Islam untuk memohon bantuan di kala memerlukan.

Disamping itu, kepada pihak yang beranggapan dan berkata “janganlah takut tak keruan, takkanlah orang Islam senang sangat nak tukar agama sebab dapat bantuan”, kami nak tegaskan kepada mereka supaya berpijak di bumi yang nyata.

Ia mungkin suatu yang lunak dan mudah diungkap oleh mereka yang hidup dengan selesa berselimutkan kehidupan kelas menengah tetapi tidak sama sekali bagi sebilangan besar golongan miskin yang begitu terdesak sehingga terpaut dengan sebarang bantuan kewangan untuk menukar agama mereka. Bahkan perkara ini bukan suatu fenomena yang asing atau baru.

Sebagai kesimpulannya, Pemuda UMNO amat serius memantau isu murtad atau pertukaran agama. Bagi kami, tiada sebarang kompromi di dalam perkara yang melibatkan aspek akidah. Oleh itu, kami mendesak agar rakyat diberikan bukti dan laporan tentang perkara ini dan pada yang sama jangalah kita mudah untuk saling tuduh menuduh.

Atas sebab itulah, Kerajaan Negeri Selangor harus tampil ke hadapan untuk memberi penjelasan berhubung insiden serbuan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama sekarang juga, tanpa berdolak-dalih lagi.

Sebarang usaha untuk melengahkannya adalah suatu yang amat tidak bertanggungjawab dan dan hanya menempah ketidakstabilan rakyat dan negara. Sekiranya Tan Sri Khalid Ibrahim nak tangguh dan sorokkan perkara ini dari rakyat maka lebih baik beliau meletak jawatan sahaja sebab tidak layak lagi memegang jawatan Menteri Besar.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.