KJ BUKTIKAN LAYAK MENJADI KETUA PEMBANGKANG BERWIBAWA

on Friday, June 8, 2018 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 5 Comments





GPB ingin mengulas kenyataan YB KJ yang bakal bertanding Naib Presiden UMNO ini hari ini yang ada segelintir penyokong UMNO yang tak setuju dengan kenyataannya .

Tentunya  yang kontroversi adalah peruntukkan untuk MP BN  yang diakui YB KJ bahawa BN tidak melakukan sedemikian dan sokongan kepada SST di Dewan Negara . 

Kita khususnya pembangkang mesti sedar bahawa apa yang YB  KJ nyatakan ini adalah benar kerana sewaktu kita kerajaan dahulu kita tak memperuntukkan apa-apa kepada pembangkang.

Senario politik hari ini telah berubah dan kita mesti terima hakikat bahawa kita sedang menuju ke arah Malaysia baru yang tidak lagi menghukum pengundi waima pengundi Kerajaan atau Pembangkang. 


Ini yang BN perlu berubah  dan kalau boleh di negeri Perlis dan Pahang perlu diberi peruntukkan juga kepada  pembangkang  . 

Tentang sokongan kepada SST di Dewan Negara ini perlu kerana jika tidak bagaimana kerajaan memperoleh hasil negara dari cukai untuk digunakan untuk kesejahteraan rakyat . 

Kita jadi pembangkang bukan semua benda nak bangkang seperti Pakatan Harapan dahulu , dalam isu kepentingan negara dan rakyat  wajar disokong . 

Biarlah rakyat menilai bahawa UMNO/ BN setelah menjadi pembangkang telah membawa imej baru  untuk berubah menjadi lebih baik . 

Lihat sendiri bagaimana komen rakyat dan share kenyataan YB KJ ini ..  inilah yang perlu dicontohi semua pemimpin UMNO .  Jangan terlampu retorik dan masih syndrom denial dengan cara politik lama yang ortodoks 

Tentang siapa Ketua Pembangkang , tidak lain tidak bukan YB KJ paling sesuai untuk menggalas tugas ini





Saya merujuk kepada sidang akhbar YAB Perdana Menteri selepas Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, terutamanya tentang dua pengumuman berikut:

1. Tarikh sidang Parlimen yang akan bermula pada 16 Julai 2018
2. Peruntukan untuk Ahli Dewan Rakyat

Institusi Parlimen bakal memainkan peranan yang penting dalam menterjemahkan iltizam rakyat atau 'will of the people' berikutan Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu. Bagi pihak Kerajaan, sudah pasti agenda perundangan berdasarkan kepada janji manifesto mereka akan diutamakan. YAB PM telah pun mengumumkan cadangan pihak Kerajaan untuk memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan memansuhkan Akta Berita Palsu yang merupakan antara janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Bagi pihak Barisan Nasional (BN), walaupun PRU-14 merupakan penolakan terhadap parti dan agenda kami, rakyat mahu BN memainkan peranan sebagai sebuah pembangkang berwibawa yang dapat menyemak dan mengimbangi Kerajaan PH. Antara mesej utama lain yang dihantar oleh pengundi juga adalah agar tiada lagi Kerajaan yang kebal daripada kehendak rakyat dan setiap langkah Kerajaan akan diperiksa dengan teliti untuk memastikan pentadbiran yang cekap serta berintegriti.
Saya sedar bahawa BN tidak akan diterima serta-merta sebagai sebuah pembangkang yang berwibawa. Yang jelas dan nyata, defisit kepercayaan yang wujud di kalangan rakyat terhadap kami sangat luas. Sebahagian besar daripada kami juga mengambil tanggungjawab bersama atas segala keputusan yang dibuat oleh Kerajaan yang lepas. Ini termasuklah diri saya selaku bekas anggota Jemaah Menteri.

Namun demikian, tugas kami sebagai pembangkang mesti diteruskan. Biarpun ada defisit kepercayaan terhadap kami, BN mesti tampil untuk menyemak dan mengimbang Kerajaan PH, terutamanya di Parlimen demi mengukuhkan institusi demokrasi ulung yang dituntut dalam Malaysia baharu ini.
Oleh itu, saya mencadangkan agar BN segera memulakan persiapan untuk sidang Parlimen pertama. Langkah pertama adalah untuk memisahkan tugas antara parti BN dan juga wakil-wakil rakyat BN di Parlimen. Pengerusi BN tidak semestinya menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. Malah, Pengerusi BN perlu memberi tumpuan kepada usaha menstrukturkan semula BN. Tugas-tugas perundangan di Parlimen boleh dipikul oleh pasukan lain yang dipandu oleh pendirian dan polisi yang ditentukan oleh parti BN itu sendiri.
Setelah Ketua Pembangkang dipilih di kalangan ahli-ahli Parlimen BN, satu Kabinet bayangan perlu dibentuk. Walaupun tiada peruntukan rasmi untuk mewujudkan Kabinet bayangan, satu pasukan boleh diumum secara tidak rasmi bagi membolehkan rakyat merujuk dengan mudah siapa Menteri bayangan bagi menyemak dan mengimbangi tugas Menteri Kerajaan.

Sebagai pembangkang, BN juga akan mengusahakan supaya peranan Parlimen diperkukuhkan lagi. Saya akui perkara ini tidak dibuat sepenuhnya pada pentadbiran BN, tetapi semangat Malaysia baharu ini menuntut untuk kita semua berubah, terutamanya BN. Justeru, saya harap Kerajaan dapat pertimbangkan beberapa langkah pembaharuan yang juga disebut dalam manifesto Pakatan Harapan antaranya kewujudan Jawatankuasa Terpilih Parlimen atau Parliamentary Select Committee untuk menyemak rang undang-undang, kewujudan Jawatankuasa Sementara, bantuan untuk mewujudkan perkumpulan tidak rasmi atau ‘Caucus', serta peruntukan masa semasa sidang Dewan Rakyat baik dalam membawa agenda pembangkang untuk perbahasan mahupun sesi khas seperti Soalan kepada Perdana Menteri.

BN juga wajar menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan tidak hanya ‘membangkang semata-mata kerana kita pembangkang’ (oppose for opposition’s sake). Perlu diingat, BN masih mempunyai majoriti dalam Dewan Negara. Sebarang rang undang-undang perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini termasuklah cadangan Kerajaan untuk memperkenalkan semula SST pada sesi Parlimen kali ini. Saya berpandangan, apabila ia melibatkan kepentingan rakyat dan negara, ahli-ahli Dewan Negara BN wajib memberi kerjasama kepada agenda yang dibawa oleh Kerajaan. Sebagai contoh, walaupun mungkin terdapat perbezaan pendapat tentang SST, ahli-ahli Dewan Negara BN perlu meluluskan rang undang-undang ini kerana tanpa SST, kutipan hasil Kerajaan akan terjejas dan ini akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat. Atas prinsip kepentingan negara dan ‘maslahah al-ammah’, BN mesti menyokong.
Berkenaan peruntukan RM100,000 yang diberi kepada ahli-ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada YAB PM. Walaupun jumlahnya tidak sama dengan apa yang diberi kepada rakan-rakan dari PH, pemberian ini lebih baik daripada apa yang diamalkan kami dahulu yakni tiada apa-apa peruntukan diberi kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.
Saya harap di masa yang akan datang, Kerajaan dapat mempertimbangkan jumlah yang sama untuk wakil-wakil rakyat BN juga. Atas semangat Malaysia baharu, pengundi tidak sepatutnya dihukum atas pemilihan politik mereka semasa pilihan raya. Untuk memastikan tiada apa-apa ketirisan berlaku dalam pengagihan peruntukan tersebut, syarat-syarat ketat boleh diletakkan dan sistem pemantauan dan audit yang telus boleh dilaksana ke atas peruntukan yang diberi kepada semua ahli Dewan Rakyat. Saya berharap YAB PM boleh mempertimbangkan perkara ini untuk kesejahteraan rakyat termasuk yang berada di kawasan yang diwakili oleh BN.
Khairy Jamaluddin,
Ahli Parlimen Rembau.


5 Responses

  1. Anonymous says:

    Wahai Orang2 Melayu sekelian,... Janganlah kamu sokong Khairy Jamaluddin Durjana ini..

    Khairy jamaluddin penipu seorang yang tidak amanah..JANGAN PERCAYA KHAIRY JAMALUDDIN

  2. Anonymous says:

    KJ ada bakat dan pandai berhujah.. tapi imej beliau tak bersih..! Dari isu tingkat 4 semasa pak lah memerintah dulu sehingga lah isu 100 juta sewaktu di kementerian belia dan sukan dulu.. isu ini tidak boleh dipandang remeh..! Walaupun isu nya mungkin sudah lama.. tetapi masih terpahat di hati rakyat!!

    Kita skrg perlukan bukan sahaja org yg petah berhujah malah jg wajib mempunyai imej bersih dan berintegriti tinggi..!

    Jika di perhatikan pada umno sekarang.. ZAHID HAMIDI MEMANG TAK LAYAK! KJ JUGA KURANG BERKELAYAKAN!

    Calon yg agak amat sesuai pada saya ialah sama ada TOK MAT (BEKAS MB n9) atau TOK PA (AHLI PARLIMEN JELI BEKAS MENTERI DI PELBAGAI KEMENTERIAN) atau pun TENGKU RAZALEIGH HAMZAH.. Mereka bertiga ini mempunyai SEMANGAT KEMELAYUAN TINGGI, BERPENDIDIKAN DAN BERPENGETAHUAN AGAMA YG BAIK..!

    Pemilihan antara tiga org ini bagi sy amat baik utk umno.. kerana sy bercakap dari sudut rakyat biasa.. tiada kepentingan di dlm umno mahupun mana2 parti politik..!

    KITA PERLUKAN PEMIMPIN UMNO YG BERANI BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA!!

    SELAMAT BERUBAH DAN BERJUANG!

  3. zabidin4 says:

    Hanya beri dana PH lebih baik.... biar betul2 KJ. Tu janji2 PH apa macam. Makna lebih baik SST atau GST. Lalu PH buat SST kita pun sokong. Burung tiong betul YB BN ni. GST dulu salah dan kesilapan kerajaan BN perkenalkan. Isu cari dana melalui SST itu isu lain.

  4. Anonymous says:

    KJ x sepatutnya mengkritik Najib openly setelah BN kecundang. Ia hanya menunjukkan sikap sebenar dan pendirian sebagai Ketua Pemuda yg x berapa nak patut pada pandangan saya sebagai rakyat biasa. Waktu menang ketawa bersama, waktu susah disalahkan presiden sahaja.

  5. Unknown says:

    Kj ada daya.. tp tk cukup pengalaman..
    Tak cukup rangkaian.. sgt kecik jangkauan pokitik dia.. jaringan kenalan sgt kecik.. malaysia ja..
    Tak mcm yg lain.. byk connextiin dlm dan luar negara.. risikan dll.. dia iena byk lagi jaringan hubungan.. kalau setakat malaysia saja.. tak cukup..masih kecik..kena bina lagi jaringan.. buat masa ni.. bagi jln pada org lain yg ada semua tu..

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.