..

..

LUAHAN GURU KAFA DIBUANG KERJA , MENYESAL UNDI PH

on Wednesday, June 13, 2018 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 3 Comments










LUAHAN PENYESALAN DARI SEORANG GURU KAFA YANG MEMILIH KERAJAAN PH PRU14 LALU DAN DIPECAT MENJELANG AIDIL FITRI....

"Saya akui, semasa pentadbiran kerajaan BN, saya sedikit terpengaruh dengan dakyah dari Pakatan Harapan yang mendakwa, kerajaan BN hanya tahu membebankan rakyat tanpa mempedulikan nasib rakyat yang berpendapatan rendah.
Sebagai contoh, cukai GST yang pada perkiraan saya pada ketika itu, cukup membebankan saya.

Siapa tidak mudah terpengaruh. Setiap kali saya ke kedai Cina di taman perumahan saya, taukeh yang menjalankan perniagaan itu pasti memberitahu, harga barang sekarang mahal disebabkan GST. Malah, andai saya ke pasar malam, pasti ada sahaja risalah dari Pakatan Harapan yang turut senada dengan taukeh Cina itu tadi.

Saya sebenarnya seorang guru KAFA yang berkhidmat dengan bayaran yang umum ketahui sebagai tidaklah setinggi guru-guru biasa. Saya sudah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak yang masih kecil yang mana paling kecil berusia setahun. Sudah semestinya, lampin pakai buang mahupun susu krimnya terpaksa saya beli hampir setiap minggu.

Apa yang membuatkan saya mempercayai kata-kata Pakatan Harapan adalah, sejak anak saya dari dalam perut lagi, dia sudah dikenakan cukai GST. Sebagai manusia biasa, apabila mendengar perkara yang sama hampir setiap hari, saya mulai percaya dan mula menanam iltizam untuk menguburkan Barisan Nasional selama-lamanya pada 9 Mei yang lalu.

Saya bukanlah seorang yag begitu mempedulikan hal ehwal politik. Namun, apa yang saya khuatiri adalah, survival saya sebagai seorang rakyat Malaysia serta masa hadapan anak-anak saya yang berkemungkinan besar berhadapan dengan cabaran ekonomi yang maha hebat yang membuatkan saya terfikir, mungkin Tun Dr Mahathir mampu mengatasi semua masalah ini.

Terus terang saya katakan, pada 9 Mei 2018 jam 11.30 pagi, saya salah seorang daripada berjuta orang yang memberi undi kepada Pakatan Harapan walaupun jauh di sudut hati saya menyatakan, apa yang saya lakukan ini, silap. Kenapa saya berkata demikian. Ini kerana, sepanjang usia saya yang menjangkau 34 tahun, Barisan Nasional tidak pula menjadikan saya papa kedana.

Saya masih boleh berkahwin dengan seorang gadis yang cantik, mendapat pendidikan percuma, perkhidmatan kesihatan yang hampir percuma dan banyak lagi kemudahan asas yang terbaik disediakan oleh kerajaan BN. Namun disebabkan GST, pada hari itu, saya memilih untuk memberikan kepercayaan dan mandat kepada Pakatan Harapan.

Saya percaya, ramai lagi orang-orang di luar sana mengharapkan perkara yang sama seperti saya. Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebajikan dan memberikan keutamaan kepada rakyat terutamanya pasal GST ini. Di samping itu, janji mereka yang akan melaksanakan kesemua 10 janji dalam tempoh 100 hari, cukup menarik perhatian saya.

Setelah memberi kepercayaan kepada mereka dan mereka mengumumkan kemenangan, hati saya mula berdebar. Ini kerana, saya secara tiba-tiba menjadi tidak pasti tentang pilihan saya kerana melihatkan kamelut untuk melantik seseorang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, berlaku dengan penuh kebimbangan.

Sehinggalah pada 13 Mei 2018, Tun Dr Mahathir sah menjadi Perdana Menteri dan pada ketika inilah, harapan saya mulai tumbuh. Namun, siapa sangka, antara pergerakan awal Tun Mahathir adalah memecat 17 ribu orang pekerja lantikan kontrak tanpa ada sebarang notis. Mereka dipecat secara terang-terangan dan tanpa memberi sebarang notis.

Pada ketika itu, saya terfikir, bagaimana mereka mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan kerja pun tiada. Pada masa yang sama, saya mula bermohon kepada Allah S.W.T supaya saya tidak menjadi mangsa seterusnya.

Namun, Allah mempunyai perancangan lain. Saya turut dipecat bermula 1 Jun lalu dan bermulalah nasib tidak menentu saya. Pada hari saya mendapat tahu saya bakal kehilangan kerja bersama-sama lebih 3,000 orang yang lain, saya mula terfikir, apa salah saya sebagai guru KAFA sehingga saya pun dipecat sedangkan tanda telah mengundi ini sendiri belum hilang dakwatnya dan masih terbayang, saya memberikan undi kepada mereka untuk membentuk kerajaan.

Malah, semasa saya berbuka puasa pada 26 Mei yang lalu, saya merenung wajah isteri dan anak-anak saya, mungkinkah saya sempat mendapatkan kerja baru bagi memastikan sambutan hari raya mereka kekal meriah? Mampukah saya menyara kesemua ahli keluarga saya di saat saya sah kehilangan kerja saya? Kenapa begini kejam nasib saya terima sedangkan saya sendiri memberi mandat kepada mereka?

Namun, semuanya sudah terlambat. Sehingga hari ini saya masih sukar menerima yang saya sudah kehilangan kerja. Sudahlah tidak menerima gaji, bonus hari raya juga saya tidak mungkin akan terima. Paling mengharukan adalah, apabila anak sulung saya yang berusia 5 tahun bertanya, bilakah saya mahu membeli baju raya untuknya.

Apa yang harus saya katakan kepadanya? Adakah saya akan cakap, maafkan Walid nak. Walid dah tersalah memberi mandat kepada orang yang salah? Adakah perlu saya katakan, Walid tidak mempunyai wang untuk membeli baju baru kerana sewa bulanan rumah kita ini sendiri pun Walid tidak tahu bagaimana untuk membayarnya.

Saya hanya mampu termenung di samping kekal berusaha mencari kerja sesuai dengan latar belakang pendidikan saya. Namun, bukan mudah untuk orang menerima kerja di saat keadaan semasa yang masih belum stabil. Kekal lah saya menganggur di samping mengira detik, bilakah saya akan diusir keluar dari rumah sewa saya ini kerana masih gagal menyelesaikan sewa bulanan rumah ini.

Sesungguhnya, saya amat menyesal kerana begitu mudah mendengar dan termakan hasutan mereka yang dahulunya menabur janji kononnya akan menjadikan Malaysia jauh lebih baik berbanding era kerajaan Barisan Nasional. Sesungguhnya saya amat menyesal kerana mengkhianati anak dan isteri saya dengan memberi mandat kepada mereka.

Untuk semua ini, saya memohon jutaan kemaafan kerana telah menjatuhkan sebuah kerajaan yang selama ini menjaga kebajikan saya anak beranak. Saya memohon ampun dan maaf kepada Datuk Seri Najib kerana mengkhianatinya kerana selama ini, beliau cukup menjaga kebajikan kami selaku warga pendidik KAFA akan tetapi kami khianatinya pada PRU ke 14 yang lalu.

Tiada apa lagi yang boleh saya buat untuk memutarkan balik detik 9 Mei 2018. Sehabis musim perayaan ini, ada kemungkinan saya terpaksa kembali semula ke kampung halaman saya untuk memulakan kehidupan baru kami. Tetapi, itu pun masih belum ada kepastian kerana di kampung, tidak banyak kerja mampu saya laksanakan untuk menampung 3 mulut di bawah tanggungjawab saya.

Apa yang boleh saya lakukan hari ini adalah berdoa, semoga kehidupan saya akan berubah kelak dan mengharapkan kerajaan hari ini sedar, mereka telah menginaya bukan sahaja saya, tetapi lebih 17 ribu orang yang kehilangan punca pendapatan mereka secara tiba-tiba dalam bulan Ramadan tahun ini. Semoga Allah sahaja yang membalas kekejaman mereka kepada kami semua.

Nukilan:-

Ahmad Yusuf
Guru KAFA


3 Responses

  1. Anonymous says:

    Hmm....apo nak dikato

  2. Anonymous says:

    Tak psyah nak sedih sgt. Mustahil guru kafar undi PH. Pekerja kontrak memang menghadap risiko tamat kontrak. Kerajaan PAS terengganu pun nak mampu nak tanggong golongan pekerja kontrak lantikan politik ni. Carilah kerja lain. Bangla datang sehelsi sepinggang, boleh hidup BANG.

    cikminah

  3. Anonymous says:

    Padan muka

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.