Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPM telah menyediakan guru, warden asrama dan juga wakil daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) bagi menjaga kebajikan pelajar di asrama sekolah tersebut.

“Ini peristiwa yang tragik. Apabila ia berlaku semua orang boleh salahkan sesiapa sahaja. Tetapi kita telah lakukan yang terbaik. Saya telah pergi ke sekolah itu dua kali.

“Terdapat guru, guru asrama, pembantu pelajar dan wakil JKOA di sekolah itu. Mereka berada di sana dan menjaga semua pelajar dari tahun satu hingga enam sejak bertahun-tahun lalu dan ini adalah kali pertama kejadian seperti itu berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam Pertandingan Mengeja Spell It Right Challenge Peringkat Kebangsaan anjuran New Straits Times dan RHB di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dekat sini.

Mahdzir mengulas isu itu ekoran kenyataan Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang, Kasthuri Patto yang mengatakan insiden itu berlaku kerana kelemahan KPM dan ia disiarkan dalam portal My News Hub hari ini.

Sambil menyifatkan tragedi itu di luar kawalan KPM, beliau turut menafikan kementerian itu tidak bertanggungjawab dalam menangani kebajikan mangsa-mangsa yang terbabit.

“Dalam kes ini kita telah lakukan yang terbaik. Bantuan kewangan kepada semua mangsa dan keluarga mangsa akan diputuskan kemudian. Sekarang kita tunggu semuanya selesai dahulu,” ujarnya.