..

..

SAIFUDDIN TINGGALKAN PARTI , KURANG SEORANG MUSUH DALAM UMNO - @dzainalabidin

on Friday, October 16, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Seorang pemimpin Umno Pulau Pinang mengalu-alukan tindakan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menyertai PKR.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman yang sedikit terkejut dengan keputusan Saifuddin menyertai PKR dan bukannya DAP berkata, kini kurang seorang musuh dalam Umno.

“Beliau sepatutnya menyertai DAP, kerana ia lebih sesuai dengan aspirasi serta matlamat politiknya.

“Bagaimanapun, sebagai bekas rakan seperjuangannya, saya mendoakan yang terbaik untuknya, tetapi beliau sepatutnya melakukannya lebih awal.

“Saya sudah menjangkakannya, tetapi saya rasa beliau tidak akan menunggu terlalu lama.

“Lebih baik tinggalkan parti daripada terus berada di dalam Umno dan mengutuk parti dan kepimpinannya,” kata Zainal Abidin ketika dihubungi hari ini.

Sentimen Zainal Abidin itu turut dikongsi  Azizi Safar yang berpendapat, lebih baik Saifuddin meninggalkan Umno daripada terus menjadi orang munafik.

“Apa jawatan Saifuddin dalam Umno? Beliau hanya ahli biasa, tetapi saya memuji tindakan beliau meninggalkan parti, memandangkan beliau tidak bersetuju dengan parti lagi.

“Lebih baik tinggalkan parti daripada terus menjadi hipokrit,” katanya.

Sementara itu Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mengucapkan terima kasih kepada PKR, kerana sudi menerima bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah.

Jamal berkata, Saifuddin tiada pengaruh di kalangan pengundi, berdasarkan kekalahannya pada Pilihan Raya Umum lalu yang menyaksikan beliau kehilangan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Temerloh.

“Walaupun saya kenal Saifuddin, saya labelkan beliau sebagai (istilah menghina) dan saya berterima kasih kepada PKR, kerana menerima (istilah menghina) untuk duduk di bawah bumbung sama dengan mereka.

“Tindakan beliau sebenarnya didorong rasa kecewa, kerana tidak mempunyai kedudukan (dalam Umno).

“Beliau ialah bekas timbalan menteri, seorang ahli Parlimen, jadi beliau tahu apa rasanya untuk mempunyai keistimewaan, tetapi malangnya beliau ‘lupa diri’, menyebabkan beliau kalah di kawasannya sendiri,” kata Jamal.

Beliau menyifatkan langkah mengejut Saifuddin melompat daripada Umno ke PKR seperti mengeluarkan duri dalam daging daripada Umno.

“Selama ini, kita sedia maklum dengan apa yang boleh dan tidak boleh katakan, kerana beliau adalah sebahagian daripada Umno, walaupun beliau secara konsisten bertindak dan bercakap mengenai pendirian yang diambil kepimpinan parti,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman pula berkata, tindakan Saifuddin itu memang sudah dijangkakan.

“Adalah baik untuk Umno, beliau sudah pergi,” katanya.

Saifuddin memberitahu media bahawa perjuangan berbeza dalam Umno dan Barisan Nasional, mendorong tindakannya untuk melompat ke PKR.

Menurut Saifuddin, beliau mempunyai objektif jelas dalam politik, iaitu untuk berjuang dan melakukan perubahan politik serta pembaharuan institusi, tetapi beliau percaya tidak boleh berbuat demikian, jika bersama Umno.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.