Haram undi calon PKR tolak hudud - Pas Permatang Pauh

on Wednesday, April 22, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 3 Comments



PERMATANG PAUH - Hukumnya adalah haram dan berdosa mengundi calon yang menolak hudud, kata Ketua Urusan Ulama, Pas Kawasan Permatang Pauh, Badrul Abdul Rahman.

Menurutnya, ia bertepatan maksud Surah an-Nisa ayat 85 iaitu “Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Beliau berkata, membantah dan mempertikaikan hudud akan merosakkan akidah umat Islam.

“Hudud perkara dharuri dalam Islam. Maksudnya secara asas, umat Islam yang mempelajari asas agama akan memahami bahawa ia syariat (perintah) ALLAH yang wajib hukumnya untuk dilaksanakan ke atas umat Islam.

“Islam yang mencakupi seluruh perkara dalam kehidupan, sudah tentu soal politik dan memilih pemimpin sudah digariskan oleh Islam,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Sehubungan itu, demi menyelamatkan kerusi Parlimen Permatang Pauh terus kekal menjadi milik PR dalam PRK 7 Mei ini, Pas Permatang Pauh mendesak PKR dan pemimpinnya yang menolak dan menghina hudud, menarik balik semua bantahan dan penghinaan itu.

Beliau berkata, kenyataan Yang Dipertua Pas kawasan itu, Omar Hassan adalah mewakili suara akar umbi kawasan dan bukan pendirian peribadinya.

Menurutnya, ia adalah usul oleh Pemuda Pas kawasan yang diterima sebulat suara dengan bahas dalam mesyuarat agung tahunan Pas Kawasan Permatang Pauh Ahad lalu.

“Usul dan kenyataan media itu bermaksud ahli dan mesyuarat agung kawasan sayang PR dan mahu kerusi Parlimen Permatang Pauh kekal milik PR.

“PR berisiko kehilangan undi ahli Pas dan pengundi atas pagar kerana Permatang Pauh adalah bumi yang subur dengan kuliah pengajian maka penduduknya juga dari kalangan mereka yang kuat fahaman agama,” katanya.

Menurutnya, itu adalah hasil yang diperoleh berdasarkan luahan ahli dan pengundi atas pagar yang ditemui dalam beberapa siri turun padang oleh Pas kawasan dan cawangan.

“Malah ia juga disuarakan semasa perbahasan usul dalam mesyuarat agung itu,” katanya.

Ahad lalu, Pas Permatang Pauh meluluskan usul menggesa kepimpinan PKR membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan mereka yang tidak menyokong pelaksanaan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.

Omar berkata, PKR diberi tempoh sehingga sebelum hari penamaan calon untuk membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan tidak menyokong hudud.

Menurutnya, jika PKR bersetuju dan meminta maaf secara terbuka pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan parti itu dalam PRK Permatang Pauh kelak.

Beliau berkata, pendirian ini dibuat dan disepakati oleh akar umbi pada mesyuarat agung kerana ahli Pas di Permatang Pauh mampu memberi kemenangan kepada calon yang akan bertanding pada PRK nanti.

Dalam satu majlis lain pada hari sama, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dilapor melahirkan rasa kehairanan dengan tuntutan Omar kerana sebelum ini pernah bertemunya ketika pelancaran jentera PKR Jumaat minggu lalu.

Beliau berkata, dalam pertemuan yang turut disertai beberapa pimpinan Pas Pusat, Omar menyatakan sokongan terhadap PKR bagi menghadapi PRK Permatang Pauh.

“Sebelum ini dia (Omar) sendiri menyatakan sokongan mahu membantu PR dalam PRK Permatang Pauh,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah berkata, PKR akan berjumpa kepimpinan Pas Permatang Pauh bagi mendapat penjelasan mengenai tuntutan mereka supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang tidak menyokong pelaksanaan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.


3 Responses

  1. Unknown says:

    teringin nak tau komen dari ustaz mutalib makrof

  2. Ayah Man says:

    Keputusan kerusi Parlimen Permatang Pauh sudah diketahui. PAS MENOLAK SESIAPA YANG MENOLAK HUDUD.

  3. Anonymous says:

    PAS akan buat u turn..tenguk la nanti. Kemunafikan akan terserlah..

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.