MB KELANTAN SALAHKAN PEMBALAKAN HARAM PUNCA MALAPETAKA BANJIR #Pray4PantaiTimur

on Thursday, January 1, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Kerajaan PAS Kelantan hari ini berkata jika kejadian pembalakan yang tidak terkawal berlaku di negeri itu, ia mungkin disebabkan penerokaan haram yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab. 

Mengulas teguran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri itu sentiasa mematuhi had pembalakan yang dibenarkan. "Sistem pembalakan di Kelantan pada hakikatnya mematuhi Kup Tahunan seluas 5,960 hektar setahun yg diluluskan Majlis Tanah Negara.

 "Malah pengurusan hutan di Kelantan diberi pensijilan MC&I SFM oleh badan bebas antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan efektif bagi menguruskan hal itu. Semalam, ditanya adakah faktor utama banjir di Kelantan disebabkan pembukaan tanah yang berleluasa di kawasan berbukit di Kuala Krai dan Gua Musang, Najib tidak menolak kemungkinan kecuaian manusia menjadi faktor penyumbang bencana itu.



 "Pembukaan tanah secara berleluasa terutama sekali pembalakan yang berlebihan memberi kesan kepada alam sekitar kerana tidak ada penahan semulajadi untuk menahan air daripada terus ke sungai-sungai dengan begitu pantas,” katanya. Najib menyifatkan banjir buruk yang melanda negeri itu bukan satu fenomena tetapi bencana atau malapetaka besar kerana keadaan air naik begitu tinggi dan mendadak sehingga banyak rumah tenggelam.

 Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, Putrajaya akan membuat kajian “post-mortem” secara mendalam bagi mengenal pasti punca sebenar banjir luar biasa itu, meliputi banyak faktor termasuk perubahan cuaca, penerokaan dan pencerobohan hutan, penarahan bukit selain kekurangan infrastruktur mengalihkan air ke laut.

 Ahmad berkata, apabila mendengar beberapa pihak menyifatkan banjir di Kelantan disebabkan pembalakan tidak terkawal, beliau berpandangan ia perlulah dirujuk terlebih dulu kepada pihak kerajaan negeri.

 "Perlu diketahui juga yang insiden banjir boleh juga berlaku akibat beberapa faktor lain seperti fenomena limpahan air hujan yang berlebihan sebagaimana yang dilaporkan Jabatan Meteorologi dan hal ini berlaku hampir di semua negeri di Semenanjung Malaysia," katanya. Menurut pemangku ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu, kerajaan negeri Kelantan sekarang dalam usaha memulih dan membangunkan semula lokasi yang musnah dilanda banjir.



 "Setelah saya sendiri meneliti situasi di tempat yang agak parah dilanda banjir seperti di Kuala Krai, ianya amat memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak khususnya kerajaan persekutuan," katanya. Pada masa sama, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus menyalurkan bekalan kepada mangsa banjir di negeri itu.

 Ahmad yang pada minggu lepas mengakui beliau juga terperangkap dalam rumahnya yang dinaiki air berkata, banjir itu hendaklah diteliti juga daripada sudut pengajaran dan hikmah bagi meneguhkan akidah dan iman umat Islam. – 31 Disember, 2014 -


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.