Sekolah vernakular tidak memupuk perpaduan nasional

on Thursday, June 20, 2013 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




- Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah mencadangkan agar kerajaan menjenamakan semula Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjadi sekolah pengajian bahasa yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Katanya, SJK wajar dijadikan sekolah kerajaan yang masih mengekalkan aspek fizikal, namun mengutamakan pembelajaran berkaitan bahasa ibunda berbilang kaum di negara ini.

"Kalau kita bercakap tentang polisi pelajaran, kini ada tiga aliran iaitu sekolah swasta, sekolah kebangsaan dan SJK. Tetapi apa peranan SJK? Apa keperluan tentangnya?

"Saya cadangkan SJK ditukar kepada sekolah di mana kita boleh belajar bahasa. Apa sahaja telah sekolah kebangsaan sediakan, SJK tidak perlu lagi menyediakannya, semua orang akan pergi ke sekolah yang sama. Ini boleh memupuk perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan Percambahan Minda bertajuk 'Kedudukan Sekolah Vernakular daripada Perspektif Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan' di sini hari ini.
Mohd. Noor dalam pada itu berkata, kewujudan SJK sebenarnya tidak selari dengan Artikel 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sambil mempersoalkan dasar pendidikan yang membenarkan sistem persekolahan vernakular wujud di negara ini, Mohd. Noor berkata, dasar itu sebenarnya memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kenapa adakan sekolah berasingan untuk masyarakat? Bukankah baik jika kita pergi ke satu sekolah dan belajar apa sahaja yang kita hendak di sana," katanya.

Katanya, penyatuan sudah pasti akan berlaku apabila semua rakyat Malaysia pergi ke sekolah yang sama kerana tiada lagi jurang perbezaan antara pelbagai kaum.

"Masa rehat dan sekolah habis boleh bersama-sama. Bayangkan rakyat Malaysia boleh hidup begitu. Keadaan inilah yang tidak ada masa kini," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan juga, kewujudan SJK merupakan satu bentuk diskriminasi kerana memberikan keutamaan kepada kaum tertentu sahaja, namun tidak memperoleh kelebihan kepada komuniti lain.

"SJK Cina dan India antara lain mengajar bahasa Cina dan Tamil. Sementara kerajaan tidak mewujudkan sekolah kebangsaan untuk kaum-kaum lain. Bagaimana pula dengan bumiputera Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai keturunan?," soal beliau.

Oleh kerana itu, Mohd. Noor menegaskan adalah penting sekolah satu aliran iaitu sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan diwujudkan di negara .


One Response

  1. Isu sekolah vernacular yang membabitkan SJK Cina memang hangat diperdebatkan terutamanya sebelum dan selepas PRU 13 yang dulu. Tetapi ramai yang terkeliru disebabkan elemen poltik menguasai sentiment.

    Namun demikian, jika anda memikirkan dengan hati yang tenang dan penuh fakta tanpa dipengaruhi oleh emosi, maka anda akan memperolehi sesuatu infor yg dirasakan rasional.

    Sila baca kupasan saya dalam,”Isu sekolah vernacular : kemana haluan SJK Cina”

    http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/06/isu-sekolah-vernakular-ke-mana-haluan.html

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.