GUAN ENG KINI MAHU JAMBATAN KE 3 , DUIT KAJIAN TEROWONG BAGAIMANA ?

on Wednesday, June 15, 2016 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Cadangan pembinaan ‘Jambatan Ketiga’ dari Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah sesuatu yang amat menghairankan, kataPengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Ini kerana jelasnya cadangan tersebut tiba-tiba muncul setelah Guan Eng bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran dan keperluan pembinaan terowong bawah dasar laut bagi jajaran yang sama dari Bagan Ajam dan Persiaran Gurney atas alasan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di bahagian Pulau.
Tambah beliau lagi, adalah sesuatu yang menjadi kemusykilan mengapa Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara tiba-tiba seperti berubah hati mengenai terowong bawah dasar laut sekarang.

“Apakah dapatan Kajian Kebolehlaksanaan yang 83 peratus siap dilaksanakan menunjukkan pembinaan terowong bawah dasar laut adalah tidak wajar dan tidak sesuai dilaksana atau dengan kata mudahnya ‘not feasible’?
“Kerajaan Negeri digesa untuk menjelaskan sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membayar ganti rugi atau pampasan kepada Konsortium Zenith-BUCG atau lain-lain syarikat pembinaan yang telah menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekiranya cadangan pembinaan terowong bawah dasar laut itu dibatalkan, katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tegasnya perlu memperjelaskan kedudukan tanah seluas 110 ekar yang diperuntukkan sebagai bayaran kepada Konsortium Zenith-BUCG untuk pembinaan terowong bawah dasar laut dan tiga jalan utama sekiranya projek pembinaan terowong dibatalkan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Ketua Menteri Pulau Pinang yang dilaporkan berkata Kerajaan Pulau Pinang akan mengemukakan pelan asal dari cadangan pembinaan ‘jambatan kedua’ yang dicadangkan semasa Tan Sri Samy Vellu menjadi Menteri Kerja Raya sebagai sokongan kepada cadangan beliau untuk pembinaan “Jambatan Ketiga” kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).
Guan Eng juga dilaporkan akan turut melampirkan dapatan Kajian Kebolehlaksanaan Terowong Bawah Dasar Laut yang hampir siap kepada KKR.
Seterusnya, Zainal turut menimbulkan persoalan apakah tanah tebusguna laut di STP2 dan persisir Persiaran Gurney yang sama akan digunakan sebagai pembayaran untuk pembinaan “Jambatan Ketiga” nanti.
“Apakah Konsortium Zenith-BUCG akan diberikan kontrak pembinaan “Jambatan Ketiga” sebagai pampasan pembatalan kontrak membina terowong bawah dasar laut sekiranya cadangan tersebut mendapat persetujuan dan kelulusan Kerajaan Persekutuan?,” soalnya lagi.
Justeru itu, Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang menggesa supaya semua persoalan yang dibangkitkan ini dan juga soalan-soalan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan dan juga Menteri KKR Datuk Sri Fadillah Yusof mengenai isu yang sama dijawab secara jelas dan khusus oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” tambahnya lagi.
“Persolan-persoalan yang dikemukakan kepada Kerajaan Negeri perlu dijawab dengan telus dan terang tanpa menyembunyikan atau menyelindungi sebarang butiran atau fakta kerana projek yang dicadangkan pembinaannya ini melibatkan harta rakyat dan kepentingan awam.
“Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang juga berpandangan adalah amat tidak wajar dan demokratik jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Konsortium Zenith-BUCG mengambil tindakan undang-undang atau menyaman mana-mana pihak yang mengemukakan persoalan kepada Kerajaan Negeri mengenai projek terowong bawah dasar laut dan 3 jalan utama ini,” tegasnya. –Media UMNO.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.