BN meraikan kemenangan kerusi DUN Semenyih dengan rasa sangat rendah diri. Setelah 9 bulan Umno dan BN tergelincir dari puncak kuasa, penerimaan pengundi Semenyih terhadap Umno dan BN adalah kepercayaan yang sangat dihargai.
Apa yang tidak dilabelkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap Umno dan BN. Parti yang hancur, musnah, tiada nilai dan segala macam lagi. Malah hanya beberapa hari lepas, Dr Mahathir telah mentalkinkan Umno.
Namun, demikianlah perancangan manusia. Besar dan bercita-cita tinggi. Tetapi, yang sering kita lupa, perancangan Allah jauh lebih hebat. Mengatasi segala yang terlintas dalam fikiran makhluk dan sang pemimpin tertentu.
Sewajarnya semua ini memberikan kita keinsafan. Sudah pasti banyak pengajaran yang harus kita kutip dan berikan perhatian sepanjang episod PRK Semenyih kali ini.
Kembali sokong BN
Pertama, sokongan pengundi Melayu telah meningkat dengan sangat ketara sehingga ke 59 peratus berbanding hanya 35.33 peratus semasa PRU-14 yang lalu.
Ini bermakna, bukan sahaja sokongan orang Melayu kepada BN menokok, tetapi peratusan sokongan terhadap PH pula menyusut dari 44.3 peratus kepada 37.7 peratus.
Angka ini adalah besar, dan sudah tentulah menjadi satu tamparan yang hebat kepada sesebuah parti yang memerintah. Semua ini menunjukkan bahawa PH sedang menghadapi defisit kepercayaan yang sangat ketara dalam kalangan orang Melayu dan Islam.
Kedua, ada petanda yang jelas bahawa golongan menengah Melayu sudah mula kembali menyokong BN.
Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kantan Permai dan Bukit Mahkota adalah dua kawasan kelas menegah Melayu yang dimenangi oleh BN. Ada beberapa faktor yang mendorong kepada perkara ini.
Antaranya, ketiadaan polisi yang jelas memihak kepada kesejahteraan Melayu kelas menengah. Serta kegagalan PH memberikan penjelasan yang meyakinkan kepada segala kemungkiran demi kemungkiran janji mereka.
Melayu ramai keluar mengundi
Ketiga, BN menang tanpa sokongan masyarakat Cina dan India. Di PDM Bandar Rinching, yang 50 peratus pengundinya ialah kaum India, sokongan terhadap PH masih lagi sangat nyata iaitu hampir 60 peratus.
Sekalipun begitu, keadaan ini tidak merencatkan pencapaian BN. Sebaliknya menunjukkan impak kemenangan BN tanpa sokongan bangsa Cina dan India.
Pada masa yang sama, ini juga bermakna BN mesti bekerja lebih keras untuk mengembalikan sokongan India dan Cina kepada BN.
Keempat, jumlah orang Melayu yang keluar mengundi adalah tinggi. Di beberapa PDM majoriti Melayu, jumlah peratusan keluar mengundi ialah 80 peratus.
Nyata ada keresahan mendalam bangsa Melayu yang menyebabkan mereka begitu bersungguh-sungguh dalam menyatakan rasa dan gelora nurani mereka kepada PH.
Ini petunjuk paling jelas bahawa sejak 9 bulan ini PH tidak banyak mempedulikan keluh kesah orang Melayu.
Keempat-empat penelitian ini memberikan kita beberapa petunjuk.
Pertama, telah ada peralihan sokongan yang sangat nyata terhadap BN di kalangan orang Melayu. Semenyih telah menyaksikan kebangkitan yang jelas pengaruh politik Melayu Islam yang semakin marginal dalam percaturan Pakatan Harapan.
Orang Melayu telah menghantar mesej yang jelas bahawa tanpa sokongan orang Cina dan India sekalipun, orang Melayu masih boleh meraih kemenangan jika mereka mempunyai kesatuan matlamat.
Cina dan India bukan lagi penentu
Sangat penting untuk semua pihak tidak mengambil mudah politik Melayu Islam. Ia akan terus menjadi angkubah yang dominan walau bagaimana berubah sekalipun landskap politik Malaysia.
Kedua, pengaruh politik Islam menjadi semakin terserlah hasil dari kerjasama yang erat antara Umno dan PAS.
Jika dijayakan dengan strategi yang ampuh, maka kita akan menyaksikan peralihan kerajaan akan berlaku empat tahun dari sekarang.
Di sebalik usaha Dr Mahathir untuk menggagalkan kerjasama strategik tersebut, ternyata penyokong Umno dan PAS terus komited untuk menjayakan sinergi politik ini.
Ketiga, bangsa Cina dan India harus memahami naratif Melayu Islam ini adalah karakter politik Malaysia yang tidak boleh mereka ubah dan buang.
Apabila orang Melayu memilih untuk bersatu dengan matlamat yang jelas, sokongan bangsa Cina dan India tidak lagi menjadi penentu. Oleh yang demikian, bangsa Cina dan India sebenarnya tidak mempunyai pilihan kecuali mencari jalan bekerjasama dengan parti politik Melayu yang dominan.
Keempat, Semenyih adalah referendum yang jelas bahawa Bersatu tidak boleh menggantikan Umno dan PAS sebagai wadah perjuangan politik bangsa Melayu.
Bersatu gagal meyakinkan bangsa Melayu bahawa ia adalah jurucakap bangsa Melayu. Apatah lagi mewakili kepentingan politik bangsa Melayu. Strategi Bersatu mengukuhkan perwakilannya di Parlimen melalui penerimaan Ahli Parlimen Umno yang melompat bukannya semakin mengukuhkan Bersatu.
Kegagalan Bersatu
Sebaliknya, telah merencatkan moral dan wibawa Bersatu pada mata dan pandangan bangsa Melayu serta sekutu mereka yang lain terutamanya DAP.
Nasihat jujur, malah harapan besar saya pada Dr Mahathir, teruskanlah mengutip dan menatang mereka yang melompat ke Bersatu. Semakin banyak mereka, semakin menebal kebencian bangsa Melayu (dan bukan Melayu dari DAP dan PKR) kepada parti yang tiada prinsip dan moral.
Mungkin hanya orang Melayu dalam Bersatu sahaja yang mengalu-alukan kedatangan pelompat-pelompat dari Umno.
Kelima, Semenyih menjelaskan kepada kita bahawa naratif Malaysia Baru yang dilakarkan oleh kerajaan PH adalah naratif yang kabur dan sukar diterima oleh orang Melayu.
Semua orang masih tertanya-tanya sehingga kini. Apa yang baru sebenarnya?
Lebih malang, kita kembali kepada era lampau yang sangat bersandarkan watak-watak lama seperti Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, malah Daim Zainuddin.
Apatah lagi pelakon-pelakon tambahan seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mat Sabu. Mereka telah begitu lama menguasai persada politik Malaysia. Sehinggakan apabila mereka berkuasa, tiada langsung dasar yang bersifat ‘game changing’ yang diperkenalkan.
Hanya menggali dan terus menggali kesalahan demi kesalahan. Rakyat sudah muak dengan semua ini. Rakyat mahukan perubahan dalam erti kata yang sebenar.
Tetapi, ikhtiar untuk mengubah Malaysia secara drastik dengan pendekatan yang antagonis dan tidak berhikmah juga adalah sangat ‘counterproductive’.
Kepada orang Melayu, melakukan perubahan mestilah berpadapada dan cermat. Bukan dengan menghentam dan membedal sesedap rasa. Sebab, ketika telunjuk galak lurus menuding, kelengkeng sendiri juga yang berkait.
Malaysia harus mematikan budaya politik naungan yang berpaksikan kepada pesona politik sesetengah individu. Malaysia waktu ini memerlukan amalan politik yang membawa kepada ‘more a society, less a political persona’.
Kepada pengundi Semenyih, terima kasih yang tidak terhingga atas pencerahan yang telah dipancarkan kepada BN dan Umno, malah kepada PAS.
Insya-Allah, Umno dan BN tidak akan cuai dan leka. Kita tidak akan mengulangi keangkuhan lepas. Semenyih adalah permulaan yang sangat merendahkan hati Umno dan BN. Terima kasih.
MOHAMED KHALED NORDIN merupakan naib presiden Umno.