Wee Choo Keong belasah PAS Kelantan dan Anwar dalam isu arak dan judi

on Tuesday, June 22, 2010 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

KUALA LUMPUR 21 Jun - Pas yang selama ini menjadi jaguh dalam isu lesen judi bola sepak mendapat malu besar hari ini apabila Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mendedahkan Kelantan turut menikmati hasil daripada aktiviti haram.

Choo Keong yang merupakan anak jati Kelantan mendakwa, Pas hipokrit dalam isu lesen judi bola sepak apabila mengaitkan perkara tersebut dengan nilai agama sedangkan pada masa yang sama, kerajaan Pas Kelantan meluluskan 40 lesen arak.

Pendedahan tidak terduga Choo Keong semasa beliau membahaskan usul Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) menyebabkan wakil Pas seperti Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) dan Dr. Lo'lo Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa) cuba untuk mematahkan hujahnya.

Bagaimanapun Lo'lo serta Khalid hanya mampu membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan mendakwa Choo Keong cuba mengelirukan Dewan tetapi ditolak oleh Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee.

Kiandee ketika menolak peraturan mesyuarat tersebut menjelaskan tidak wujud unsur yang boleh menjustifikasikan wakil rakyat Bebas itu sebagai berniat untuk mengelirukan dewan.

Choo Keong turut menegaskan bahawa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menfatwakan bahawa 'hasil haram' yang diperoleh daripada aktiviti haram seperti jual beli arak boleh digunakan untuk pembangunan negeri Kelantan.

"Ini yang saya tidak faham. Kalau Tok Guru boleh membenarkannya, mengapa ada beberapa kerat wakil rakyat Pas hari ini menentang lesen judi bola sepak? Mengapa membantah? Mengapa bersikap talam dua muka?.

"Apakah mereka tidak setuju dengan fatwa Tok Guru atau mereka lebih menjadikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kiblat mereka," katanya.

Pada ketika ini, Khalid mula membuat bising dengan mendakwa Choo Keong memang tidak faham tetapi beliau tidak diberi laluan oleh bekas wakil rakyat PKR itu untuk mencelah sebelum disusuli oleh Lo'lo.

Susulan tindakan Khalid dan Lo'lo itu, Choo Keong membacakan dua fatwa Nik Abdul Aziz yang dibuat pada 19 November 1992 dan 26 November 1994 iaitu:

"Bagi penjualan arak, ia hanya dibenarkan kepada bukan Islam sahaja kerana jika diharamkan, sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam untuk menikmatinya.

"Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan serta lain-lain projek pembangunan. Arak itu sendiri boleh diminum oleh bukan Islam, maka untuk menjaga keselamatan, kerajaan mengambil duit dari mana?"

Dalam pada itu, Choo Keong membidas amalan politik 'dua alam' Anwar yang cuba menjadi jaguh kampung dalam menentang amalan judi sedangkan beliaulah yang menghalalkan judi di Sabah semasa menjadi Menteri Kewangan suatu ketika dahulu walaupun dibantah oleh Ketua Menteri bukan Islam .

"Perangainya sekarang membuktikan pendirian 'cakap tak serupa bikin'. Inilah politik matlamat menghalalkan cara. Apa sahaja yang menguntungkan beliau dari segi politik, kira beres. Kini beliau mahu jadi 'suci dalam debu', lebih putih daripada pencuci clorox (peluntur pakaian)," tegasnya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.