40 tahun UKM berjasa melahirkan profesional Bumiputra

on Friday, June 18, 2010 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



BANGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini sudah berusia 40 tahun membuktikan keupayaannya dengan melahirkan ramai cendekiawan, karyawan dan pakar dalam pelbagai bidang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, golongan itu yang kini berada dalam pelbagai sektor dan bidang turut memacu agenda pembangunan dan kemajuan negara selama ini.

Sebagai sebuah universiti (UKM) yang ditubuhkan atas semangat dan perjuangan untuk memartabatkan pendidikan anak bangsa, kewujudannya adalah begitu sinonim dengan kelahiran profesional, pengusaha dan teknokrat Bumiputera yang suatu ketika dulu dianggap sebagai impian mustahil menjadi kenyataan.

Hari ini kita patut berbangga dengan pencapaian cemerlang UKM yang diiktiraf sebagai sebuah universiti penyelidikan dan diberikan status swa akreditasi yang melayakkannya untuk mengakreditasi sendiri program pengajiannya.

“Status ini juga memperkukuhkan lagi kedudukan UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang unggul di rantau ini. Pencapaian ini adalah sesuatu yang amat membanggakan kita,” katanya pada majlis perasmian makan malam Alumni UKM sempena sambutan 40 tahun UKM dan pelancaran Hari Alumni serta Buku Direktori Alumni UKM di sini, malam tadi.

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Muhyiddin berkata, UKM juga adalah universiti paling awal menyahut cabaran memperkasa pendidikan tinggi dalam bahasa kebangsaan.

“Sepanjang 40 tahun ini, berkat usaha gigih dan semangat kental pensyarah, penyelidik, profesor dan penuntut universiti ini, banyak karya ilmiah berjaya dihasilkan dalam bahasa Melayu.

“Ini termasuk makalah akademik, buku dan tesis doktor falsafah yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Penghasilan karya ilmiah ini, terutama dalam bidang sains dan teknologi, meyakinkan kita bahawa bahasa Melayu adalah bahasa ilmu tinggi yang mampu mengungkapkan idea saintifik secara tepat dan tuntas.

“Inilah sumbangan besar UKM kepada pendidikan aliran kebangsaan, dengan berbekalkan keyakinan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa ilmu moden yang mampu menyorot persoalan sains, teknologi, kerohanian dan kemanusiaan yang rumit melalui lensa bahasa dan budaya pribumi, pelopor UKM meletakkan asas paling penting kepada falsafah dan etos universiti ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, UKM ketika ini sedang melangkah gagah sebagai sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia, berharap agar falsafah serta etos yang bercirikan semangat dan jiwa kebangsaan ini terus digarap dan dimantapkan oleh universiti berkenaan.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.