Malaysia bersatu mengecam kezaliman rejim Zionis

on Tuesday, June 8, 2010 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 2 Comments

Bila Najib - Muhyidin( UMNO ) bertemu Hadi - Nasharudin ( PAS )

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza tanpa menghirau dan gentar terhadap ancaman rejim Israel.

Ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat bagi mengutuk kekejaman Israel, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut membidas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkan bersikap berat sebelah apabila melibatkan rejim itu.

Usul yang mengandungi 15 ketetapan itu mahukan agar Majlis Keselamatan mencela serangan tentera rejim zionis Israel di bawah pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang menyerang konvoi bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla di kawasan perairan antarabangsa pada 31 Mei lepas.

"Malaysia merakamkan rasa kecewa tidak terhingga dengan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas rejim zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut.

"Malaysia memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencela Israel dan bukannya membuat kenyataan lemah semata-mata," kata Najib.




Usul itu kemudian disokong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyokong diadakan siasatan bebas dan berakauntabiliti dilakukan terhadap serangan itu, Malaysia menggesa negara-negara dunia sepakat membawa usul kepada Majlis Keselamatan PBB bagi merujuk serangan tentera Israel ke atas kapal Turki "Mavi Marmara" ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Selain itu, ia juga mencadangkan usul kepada perhimpunan PBB bagi mendapatkan Pandangan Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kejadian itu. Sambil menyifatkan Israel sebagai "samseng dunia", Najib berkata, perbuatan "beraja di mata dan beraja di hati" itu berlaku kerana Israel berasa mereka dilindungi satu-satunya kuasa besar dunia.

Sehubungan itu katanya, Malaysia ingin mendesak Amerika Syarikat untuk tampil tanpa sebarang dolak-dalik menunaikan tanggungjawab moral dalam memastikan rejim tersebut mematuhi tata kelakuan negara bangsa yang bertanggungjawab dan bertamadun.

"Selagi sokongan Amerika Syarikat kepada rejim zionis Israel bersifat menyeluruh bukannya bersyarat kepada pematuhan nilai-nilai kemanusiaan yang universal, selagi itulah keangkuhan rejim ini tidak akan ada kesudahannya," katanya.

Mengenai suruhanjaya penyiasatan antarabangsa yang bebas, Najib berkata Malaysia tidak ada sebarang masalah jika bekas Perdana Menteri New Zealand Sir Geoffrey Palmer diamanahkan untuk mengetuai siasatan itu.

Malaysia juga mendesak supaya rejim Israel membayar ganti rugi serta pampasan ke atas semua harta benda, bahan makanan, alat-alat binaan dan perubatan, termasuk kapal-kapal yang telah ditawan serta semua barangan persendirian anggota konvoi yang telah dirampas secara haram oleh tentera rejim zionis itu.

"Malaysia juga mendesak agar Israel membayar ganti rugi akibat daripada kesan trauma secara psikologi, mental dan fizikal serta apa-apa pampasan yang difikirkan layak oleh Mahkamah Antarabangsa," katanya, disambut dengan ketukan meja anggota Dewan tanda setuju.

Dalam pada itu, Najib berkata, komitmen Malaysia terhadap perjuangan bangsa Palestin telah disuarakan kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semasa lawatan beliau ke ibu negara baru-baru ini.

Perdana Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Jordan, Turki, Ireland dan Filipina dan negara-negara lain yang membantu membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan selepas serangan itu.

Menyifatkan kumpulan 12 sukarelawan itu sebagai wira negara, Najib berkata, Malaysia juga berbangga dengan semangat waja enam lagi wira Malaysia yang berlayar dengan kapal Rachel Corrie kerana masih bersemangat untuk meneruskan misi keamanan itu walaupun sedar risiko yang bakal ditempuhi.

Semasa menyokong usul itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendirian lemah Majlis Keselamatan PBB terhadap Israel tidak membayangkan kesungguhan untuk menamatkan jenayah kemanusiaan yang paling meruncing pada abad ini.

Katanya selagi institusi antarabangsa seperti Majlis Keselamatan PBB gagal bertindak terhadap kezaliman rejim zionis Israel, selagi itulah juga masyarakat antarabangsa yang prihatin akan bertindak lebih berani untuk memecah tembok kepungan rejim Israel itu.

"Serangan dan pembunuhan sukarelawan antarabangsa di atas kapal Mavi Marmara adalah puncak keangkuhan dan kejahatan rejim zionis Israel yang tidak boleh dimaafkan," katanya.

Beliau kesal kerana undang-undang antarabangsa bagaikan tidak berupaya untuk menghalang tentera rejim Israel daripada menguatkuasakan undang-undang rimba zionis yang tidak mengenal erti perikemanusiaan.

Muhyiddin menyeru seluruh anggota Parlimen mengenepikan perbezaan politik dan merapatkan saf untuk bersama-sama bersatu di bawah kepimpinan Perdana Menteri dalam menzahirkan kecaman dan celaan sekeras-kerasnya terhadap tindakan melampau tentera rejim zionis Israel menyerang dan membunuh sukarelawan yang tidak bersenjata di perairan antarabangsa.

-- BERNAMA



2 Responses

  1. LANUN2 SOMALIA SEKADAR BAYANGAN ANAK KECIL JIKA DIBANDINGKAN DENGAN LANUN ISRAEL.AMERIKA MEMBENARKAN KEGANASAN LANUN ISRAEL YG MEMBUNUH DAN MERAMPAS BANTUAN KEPADA RAKYAT PALESTIN YG SEBA KEKURANGAN. UNCLE SAM TELAH MENGELUARKAN LESEN UNTUK MEMBUNUH DAN MEROMPAK.

    SEMUA INI DILAKUKAN ATAS NAMA YAHUDI YG MENJADI SAHABAT KPD KETUA PEMBANGKANG.

  2. Anonymous says:

    barula bgoz...UNITY!

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.