Skandal Pasir : Kerajaan negeri Selangor bohong !

on Sunday, June 20, 2010 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


Oleh: Dr. Mohamad Khir Toyo

1. Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana lambat mengemaskini blog ini walaupun ada beberapa isu yang perlu ditulis. Ini kerana saya berada di luar kawasan bercuti bersama anak-anak sempena cuti sekolah.

2. Isu penyelewengan dan salah urus hasil pasir negeri Selangor terus diperkatakan walaupun Select Committee for Competency, Accountability and Transparency (Selcat)telah membuat pendengaran terbuka dan cuba membersihkan pentadbiran kerajaan negeri.


3. Tidak cukup itu, YAB Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim terpaksa menggunakan Setiausaha Politiknya, Saudara Nik Nadzmi Nik Ahmad untuk menukar posisi kerajaan negeri dengan mendakwa saya memberi maklumat yang salah mengenai jumlah kutipan royalti pasir sebelum Kumpulan Semesta Sdn Bhd ditubuhkan. Terdapat juga beberapa bloggers yang "berkhidmat" dengan kepimpinan Selangor menuduh saya pembohong.

4. Untuk kebaikan dan demi perbahasan yang sihat, saya akui ada kekeliruan maklumat yang saya dapat antara hasil royalti pasir dengan hasil semua royalti batuan. Oleh kerana tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan negeri saya telah tersilap nyata hasil batuan dan mineral keseluruhan dengan royalti pasir.

5. Saya tidak mempunyai data setepatnya kerana data 2007 hanya dapat dikira pada 2008 di mana pentadbiran kerajaan negeri telah berubah pada bulan Mac. Justeru saya terpaksa bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh kerajaan negeri semasa. Rumusan saya mengenai hasil pasir negeri Selangor adalah bersandarkan jawapan Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan UsAhawan YB Yaakop Sapari DUN Selangor 2008.

Y.B. TUAN HAJI YAAKOB BIN SAPARI : Bismillahi rahmani rahim. Assalamualaikum WBT. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, berkaitan dengan soalan Bangi yang juga dibangkitkan oleh Sungai Panjang.

Setelah saya berada di pejabat EXCO, saya mendapat taklimat daripada pegawai. Saya bertanyakan berapakah pendapatan royalti daripada hasil batuan kerajaan negeri. Pegawai memberitahu bahawa pendapatan sekitar dua puluh satu juta dan hasil daripada royalti pasir sekitar tujuh belas juta. Bila saya bertanya kepada REHDA berapakah demand dengan izin untuk pasir seluruh Selangor setahun. Jawapannya sekitar lima puluh juta metrik tan.

Kalau satu tan dikenakan royalti tiga ringgit sepatutnya kerajaan negeri mengutip seratus lima puluh juta matriks setahun, tetapi kenapa tujuh belas juta. Hasil perbincangan dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, akhirnya kerajaan negeri memutuskan supaya hasil batuan ini diuruskan sendiri oleh Kerajaan negeri.

Ekoran daripada itu kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah syarikat di bawah MBI namanya Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. dan syarikat ini akan mengendalikan hasil batuan di kerajaan negeri dengan itu sistem pengurusan hasil batuan negeri akan lebih teratur. Senarai syarikat-syarikat yang lepas yang telah mendapat, ada senarai dalam senarai yang diberikan masih ada enam syarikat lagi yang masih beroperasi sampai bulan dua belas. Saya dapati syarikat-syarikat ini ada yang berkait rapat sebahagian besar dengan pemimpin-pemimpin politik kerajaan terdahulu.

Untuk soalan ketiga, berdasarkan jangkaan yang kita ada kita menganggarkan sekurang-kurangnya seratus dua puluh juta yang akan dikutip daripada hasil batuan negeri Selangor dan semua hasil-hasil ini kita akan berikan kepada rakyat sebagai janji kita dalam manifesto menjadikan Selangor sebuah negara maju, bersih dan berkebajikan. Terima kasih.
[Petikan Hansard 23 Oktober 2008]

6. Sekarang kerajaan yang sama menyatakan bahawa hasil royalti pasir semasa BN hanya RM 2.9 juta. Adakah saya yang berbohong atau kerajaan negeri?


7. Tidak cukup dengan itu, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dalam ucapan pembentangan Bajet Selangor 2010 menyatakan:
(84) Kelima, bagi pelaksanaan program MES seterusnya, Kerajaan Negeri telah menubuhkan syarikat, iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi melaksanakan Program Meningkatkan Hasil Batuan dan Mineral. Sehingga 21 Oktober 2009, hasil daripada royalti pasir yang telah dijelaskan oleh KSSB kepada Pejabat Tanah dan Galian berjumlah RM 4,678,021.84 berbanding dengan jumlah yang diterima pada tahun yang lalu iaitu RM735,000 pada 2008. Ini tidak termasuk keuntungan yang dihasilkan oleh KSSB sendiri.
[Hansard DUN Selangor, 10 November 2009]

8. Manakala dalam satu Kenyataan Akhbar oleh Sekretariat Akbar, Pejabat Menteri Besar Selangor "KERAJAAN NEGERI AGIH KEUNTUNGAN JUALAN PASIR KEPADA JKKK" bertarikh 9 Mac 2010, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan KSSB telah mencatat keuntungan kira-kira RM 20 juta sepanjang tahun lalu.

9. Sebaliknya menurut Pengarah Eksekutif KSSB, Ir. Ramli Abd. Majed dalam pendengaran Selcat baru-baru ini bahawa "keuntungan KSSB sebelum cukai pada 2009 ialah RM10 juta dan setelah ditolak cukai, syarikat itu memperoleh RM8 jutadalam sesi pendengaran SELCAT baru-baru ini kita mendapat maklumat bahawa."

10. Lihat Tan Sri Khalid sendiri memberi pelbagai kenyataan yang mengelirukan dan seolah-olah mahu membohongi rakyat. Kalau saya yang tidak mempunyai kuasa dan sumber tersalah maklumat mungkin masuk akal. Namun apabila mereka yang mempunyai kuasa dan maklumat boleh mengubah statistik hasil pasir sesuka hati tentu menimbulkan tanda tanya kemungkinan ada skandal yang sangat besar dalam industri ini.

11.Jika saya yang di luar pentadbiran dianggap tidak memahami pentadbiran perlombongan pasir, maka apakah kesimpulan yang wajar kita buat kepada mereka yang berkuasa dan mempunyai maklumat tetapi memberi kenyataan yang berbeza dan berbelit-belit?

12. Saya hairan, Nik Nazmi mengambil masa mengulas kenyataan saya tetapi tidak sedikit pun meluangkan masa menjawab persoalan-persoalan yang diutarakan dalam blog saya yang membabitkan kenyataan yang sama.

13. Misalnya mengapa Khalid umum KSSB untung RM 20 juta tahun lalu tetapi kenyataan KSSB hanya RM 10 juta sahaja. Kemana hilang RM 10 juta lagi?


14. Kerajaan negeri juga perlu menjawab mengapa syarikat "untung atas angin" seperti KSSB hanya membayar royalti sebanyak RM 4 juta sedangkan mereka untung RM 10 juta. KSSB hanya menguruskan tender sahaja sedangkan tanah milik kerajaan dan penentuan tanah yang boleh di lombong pasir dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Galian. Pernahkah sesiapa antara kita berjumpa dengan kaedah perniagaan broker yang mana keuntungan lebih besar daripada keuntungan pelanggan mereka? Inilah kali pertama dalam sejarah syarikat yang hanya menguruskan pemilihan tender untung lebih besar daripada pemilik harta.

15. Kerajaan negeri juga tidak menjelaskan mengapa pemberian bonus kepada pegawai KSSB begitu besar biarpun belum cukup setahun bekerja. Menteri Besar tidak boleh lepas tangan kerana KSSB berada di bawah anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Diperbadankan (MBI). Apakah Tan Sri Khalid memberitahu kita bahawa pemberian bonus tersebut dilakukan tanpa pengetahuan dan kelulusan beliau?

16. Nik Nazmi juga menyatakan saya tidak memanfaatkan potensi besar industri pasir Selangor. Ini memang benar. Kerajaan negeri semasa BN telah membuat keputusan tidak membenarkan perlombongan pasir atas tanah kerajaan atas faktor alam sekitar dan kestabilan tanah. Perlombongan pasir akan menyebabkan tanah menjadi berlubang dan meningkatkan kos jika mahu menambak semula. Ini mengakibatkan tanah milik kerajaan negeri akan jatuh nilai dan pada masa hadapan mungkin banyak tanah di Selangor tidak boleh dibangunkan.

17. Bacalah kenyataan pengarah KSSB sendiri jika perlombongan pasir dilakukan secara intensif di Selangor seperti mana matlamat kerajaan bijaksana pimpinan Khalid Ibrahim, "jika 66 juta metrik tan pasir digali, akhirnya Selangor akan menjadi sebuah negeri yang memiliki lubang yang amat besar sehinggakan rakyatnya tiada tempat untuk tinggal." [Sesi Pendengaran Selcat, JUN 2010].

18. Dahulu semasa BN, kerajaan negeri hanya membenarkan perlombongan pasir atas tanah persendirian. Itu pun mendapat banyak tentangan daripada badan bukan kerajaan NGO) berasaskan alam sekitar. Anehnya sesetengah penggerak NGO ini hari ini berada dalam kerajaan negeri memejam mata sahaja terhadap pemusnahan alam sekitar akibat kegiatan perlombongan pasir secara intensif ini. Siapa yang akan menanggung kos baik pulih tanah kawasan perlombongan pasir ini pada masa akan datang?

19. Oleh kerana Nik Nazmi mendakwa saya tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah curi pasir, saya juga ingin mencabar agar kerajaan negeri Selangor agar mendedahkan statistik operasi membanteras perlombongan pasir secara haram sejak 2006 sehingga 2009 dari segi jumlah tangkapan, dakwaan, penyitaan jentera dan kompaun yang telah dikenakan.

20. Saya juga mendapat maklumat bahawa pengurusan KSSB ada membuat rayuan kepada pihak berkuasa bagi mengurangkan kompaun yang dikenakan ke atas beberapa syarikat di bawah pengawasannya. Jika benar, apa rasional dan logik KSSB membuat rayuan pengurangan kompaun bagi pihak kontraktor? KSSB menjaga kepentingan rakyat dan negeri atau kepentingan kontraktor?

21. Kita juga tertanya-tanya apakah motif kerajaan negeri mahu menghadiahkan RM 5, 000.00 kepada JKKK dan Ketua Kampung jika mereka berjaya membantu menangkap pencuri pasir. Apakah ia satu usaha mengatasi kecurian pasir atau usaha membaiki imej sahaja di samping mahu memberi wang lebih kepada jentera politik akar umbi Pakatan? Jika benar mahu maklumat mengapa saksi-saksi yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kapar tidak dibenarkan memberi keterangan kepada Selcat?

22. Sehingga satu penjelasan yang munasabah dibuat oleh kerajaan negeri, isu pasir ini menunjukkan betapa isu salah tadbir, penyalahgunaan kuasa dan yang paling teruk pembohongan telah menjadi barah dalam pentadbiran kerajaan negeri.


sumber : http://www.drkhir.com/


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.