Menerusi www.malaysia-today.net, portal tersebut mendakwa, akuan bersumpah Li Koon yang sebelum ini menjadi perhatian umum setelah menjual banglonya pada harga luar biasa murah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah satu pendustaan semata-mata.

Dakwa malaysia-today, ini ke­rana wanita itu yang juga mempunyai kaitan dengan Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) mempunyai hubungan perniagaan dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang melalui pelbagai syarikat.

Portal tersebut mendakwa, salah satu daripada syarikat tersebut ialah Magnificent Emblem Sdn. Bhd. yang terlibat dalam pembangunan hartanah.

“Jadi tidak dapat dielakkan mesti syarikat berkenaan berurusan dengan kerajaan negeri,” dakwa portal itu.

Pendedahan dokumen melalui portal tersebut turut dikongsi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menggunakan akaun Twitter beliau hari ini.

Portal berkenaan juga memban­dingkan tandatangan akuan bersumpah yang telah diturunkan oleh Li Koon dan surat yang ditandata­ngani olehnya bagi pihak Magnificent Emblem yang mana pemilik KLIDC, Datuk Tang Yong Chew me­rupakan pemegang saham majoriti dan Li Koon pula pemegang saham minoriti.

Dakwa portal itu, surat yang ditandatangani oleh Li Koon itu dialamatkan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang merupakan 100 peratus milik kerajaan negeri dengan Pengeru­sinya ialah Guan Eng yang juga Ke­tua Lembaga Tender PDC.

“Surat tersebut merupakan satu cadangan untuk projek yang bernilai RM25 juta hingga RM30 juta dan pada mulanya projek tersebut telah dianugerahkan kepada Li Koon dan Yong Chew melalui Magnificent Emblem.

“Surat tawaran kepada syarikat tersebut dikeluarkan PDC untuk Li Koon dan Yong Chew pada bulan April 2014 atas nasihat Lembaga Tender PDC yang dike­tuai oleh Guan Eng.

“Bagaimanapun, selepas menerima surat tawaran tersebut, Magnificent Emblem menghantar surat kepada PDC untuk menukar syarat dan disebabkan beberapa isu di luar kawalan Guan Eng, surat tawaran tersebut terpaksa dibatalkan.

“Dipercayai surat tawaran ini kini berada dalam pemilikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mereka menyerbu PDC Pulau Pinang dan merampas beberapa dokumen,” dakwa portal itu.

Justeru, menerusi portal tersebut,satu cabaran dilontarkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow untuk menafikan bahawa dokumen yang didedahkan itu palsu.

“Menggunakan dan membuat akuan bersumpah palsu merupakan satu kesalahan yang serius di negara ini dan boleh dihukum di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan dan Seksyen 200 Kanun Keseksaan. Berapa ramai lagi orang yang telah dikorbankan untuk melindungi seorang Ketua Menteri,” ujar portal tersebut