TERKINI !! Komandan pengganas Sulu berjaya diberkas di Semporna #LahaDatu

on Saturday, March 23, 2013 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




- Pasukan keselamatan berjaya melumpuhkan pergerakan militan Sulu susulan penangkapan pemerintah tentera yang memimpin pencerobohan di Lahad Datu di Semporna awal hari ini.
   
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia lewat 40-an itu ditangkap bersama isterinya di sebuah kawasan paya pada 1.30 pagi hasil maklumat orang ramai.
   
Beliau berkata selain itu, pasukan keselamatan turut menahan seorang rakyat tempatan yang bertindak menyediakan segala keperluan kepada militan pengganas sejak awal pendaratan mereka di Kampung Tanduo sehingga kini.
   
Tanpa menjelaskan butiran lanjut mengenai lelaki tempatan berusia awal 40-an itu, Khalid berkata suspek ditangkap bersama isterinya di satu kawasan di kampung tersebut pukul 10 malam tadi.
   
"'Local coordinator' itu dikenal pasti sebagai individu yang bertindak mengatur makan dan minum, tempat tinggal, kenderaan serta perubatan kepada militan Sulu sejak daripada awal pencerobohan.

"Dengan penahanan 'military commander' atau pemerintah tentera Sulu serta tali barut pengganas ini, saya berpendapat kumpulan militan kini lumpuh dengan tertangkapnya dua individu terbabit," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
   
Khalid berkata dengan penangkapan dua individu terbabit, beliau percaya pergerakan saki-baki pengganas kini semakin terbatas dan lemah ekoran kehilangan arah selain tidak lagi mendapat bantuan daripada warga tempatan.
   
Sambil merakam penghargaan kepada masyarakat yang membantu memberikan maklumat sehingga tertangkapnya individu paling dikehendaki itu, Khalid berkata Operasi Daulat yang memasuki hari ke-19 hari ini tetap diteruskan dan membayangkan masyarakat sekitar Lahad Datu akan kembali meneruskan kehidupan seperti biasa tidak lama lagi.
   
Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, beliau berkata sehingga kini 408 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah pengganas yang ditembak mati kekal 63 orang.
   
Katanya sejumlah 38 mayat berjaya dikeluarkan dari kawasan operasi termasuk lapan yang dikeluarkan dari Kampung Tanjung Batu semalam dan sedang melalui proses bedah siasat di Hospital Lahad Datu.

Berkenaan kejadian di Kembara Sakti semalam, Khalid berkata jumlah pasukan keselamatan di perkampungan itu kini ditambah bagi memberi keyakinan kepada penduduk untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
   
"Tidak ada sebab untuk mereka merasa takut dan saya nasihatkan semua ahli masyarakat, penduduk dan pekerja ladang di Kembara Sakti supaya kembali ke rumah masing-masing kerana pasukan keselamatan sentiasa melindungi mereka," katanya.
   
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati perkara itu hanya satu khabar angin yang diperbesar-besarkan sehingga mendatangkan kerisauan kepada penduduk.
   
Kira-kira 1,000 penduduk di kampung Kembara Sakti dilapor bertindak berpindah ke sekolah agama serta masjid berdekatan selepas seorang suri rumah mendakwa dia yang bersendirian di rumahnya didatangi empat pengganas yang kelaparan dan mengikat kedua-dua kaki dan tangannya.
   
Wanita itu bagaimanapun dikatakan berjaya melepaskan diri ketika militan terbabit leka mencari makanan.  - Bernama


One Response

  1. Unknown says:

    Saya harap ianya Agbimuddin Kiram, ketua lanun yang menceroboh diLahad Datu!. Kalau dia, pakaikan dia 'straight jacket' dan letak rantai anjing dilehernya sambil polis mengheretnya masuk kemahkamah majistret. Sambil itu jangan lupa beri ruang seluas luasnya kepada jurugambar terutama dari Filipina untuk ambil gambar. Sombong betul orang orang ini dalam komen komen mereka di INQUIRER.

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.