Tun Dr Mahathir kembali ke UMNO

on Wednesday, September 10, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad yang keluar Umno empat bulan yang lalu telah melahirkan hasrat untuk kembali ke pangkuan parti itu dengan mengambil kira perkembangan-perkembangan semasa.

Ketika mendedahkan perkara itu di sini pagi ini, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyididn Yassin berkata, Dr. Mahathir sendiri memberitahu beliau akan hasratnya untuk kembali ke Umno bagi membolehkannya memberikan pandangan dalam usaha mengukuhkan semula Umno dan Barisan Nasional (BN) berikutan pelbagai perkembangan tidak menggembirakan sejak akhir-akhir ini.

Beliau memberitahu, Dr. Mahathir menyatakan persetujuannya untuk kembali kepada Umno dalam pertemuan beberaja jam antara kedua mereka Sabtu lalu.

Muhyiddin berkata, beberapa veteran Umno termasuk Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Tan Sri Sanusi Junid telah berjumpa dengan Dr. Mahathir dalam pertemuan di Cyberjaya Sabtu lepas.

Dr. Mahathir bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau mengenai perkara itu.

Menurut Muhyididn, hasrat Dr. Mahathir itu telah pun beliau sampaikan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak. semalam, tetapi belum berkesempatan bertemu Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Muhyiddin. pertemuan itu diadakan atas permintaan Dr. Mahathir sendiri yang ingin menyampaikan kepada beliau rasa bimbangnya terhadap perkembangan dalam Umno, BN serta beberapa perkembangan lain yang meninggalkan kesan negatif kepada rakyat banyak.

"Saya katakan kepada beliau, untuk beliau memberikan sumbangan secara lebih berkesan adalah lebih baik untuk beliau menyertai semula Umno. Beliau kemudian bersetuju.

"Ya, saya bersetuju, katanya tetapi kemudian beliau menyatakan kebimbangan sama ada akan diterima semula oleh Majlis Tertinggi.

"Tetapi saya jelaskan kepadanya bahawa ketika MT menerima keputusannya keluar Umno dahulu, kita terima dengan hati yang berat. MT juga ada membuat kenyataan ketika itu bahawa sekiranya beliau (Dr Mahathir) telah bersedia untuk kembali kepada Umno, MT akan menerima dengan hati yang terbuka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat MIDA di sini.

Pada 22 Mei lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno mengadakan mesyuarat khas hampir tiga jam menerima keputusan Dr. Mahathir untuk keluar Umno serta-merta.

Ketika mengumumkan keputusan MT pada hari tersebut, Najib berkata: "Kita telah menerima surat rasmi Dr. Mahathir. Ini bukan kehendak kita, ini kehendak beliau, jadi kita terima."

"MT berharap Tun akan kembali ke Umno pada satu masa nanti," kata beliau.

Dr. Mahathir yang memegang nombor keahlian Umno '1' mengumumkan keluar Umno di Alor Star pada 19 Mei.

Turut keluar ialah isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan anak mereka Mokhzani.

Bekas Setiausaha Agung dan Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid juga keluar Umno.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.