Di sebalik 3 tahun hukuman

on Friday, September 12, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

Bashir Ahmad
11 September 2008


KETUA UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail digantung keahlian dalam parti selama tiga tahun berkuatkuasa 10 September 2008, tarikh Majlis Tertinggi UMNO memutuskan hukuman tersebut dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Adakah hukuman tersebut memadai?

Jika tanya orang Melayu pada umumnya mereka akan menyatakan lebih daripada memadai. Jika tanya kepada ahli-ahli UMNO, mungkin ramai yang menyatakan rasa tidak senang dengan kedudukan UMNO sekarang yang terpaksa mengalah dengan apa jua tekanan daripada bukan Melayu.

Jika ditanya kepada orang Melayu dalam Pakatan Rakyat, paling tidak mereka akan berkata ``padan muka.''

Jika tanya kepada orang Cina, anda boleh lihat jawapannya dalam The Star. http://www.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/9/10/nation/20080910172404&sec=nation


Akhbar milik MCA ini dalam laporannya mendahulukan komen Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berkata hukuman tersebut terlalu rengan.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, Ahmad sepatutnya dipecat daripada UMNO.

Guan Eng menegaskan, UMNO Pulau Pinang dan para pemimpin UMNO yang menyokong Ahmad juga patut dihukum. Jelas beliau merujuk kepada 13 daripada 14 Ketua UMNO Bahagian di negeri itu yang baru-baru ini menyuarakan pendirian menyokong Ahmad. Yang tidak menyokong hanyalah Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas.

The Star juga melaporkan bahawa Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan tidak gembira dengan hukuman tersebut.
“Dia hanya digantung keahlian. Tapi dia masih perlu membuat permohonan maaf,'' kata Chiek Tuan.

Bagaimanapun agensi berita antarabangsa AFP melaporkan, Ahmad tidak akan meminta maaf.

Akhbar The Star juga memuatkan komen Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon yang berpuas hati dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO itu . Tapi pandangan mereka diletakkan di hujung komen Guan Eng dan Cheik Tuan.

Kenapa The Star mendahukan komen pemimpin pembangkang daripada komen Ka Ting dan Tsu Koon? Tentulah komen Presiden MCA dan Presiden Gerakan lebih relevan berbanding komen Setiausaha Agung DAP yang bukan ahli komponen Barisan Nasional.

Apakah niat The Star dan Ketua Pengarangnya?

Adakah episod Ahmad Ismail ini akan menjadi pengajaran kepada para pemimpin UMNO supaya setiap masa menjaga tutur kata dan perbuatan mereka terutama di khalayak ramai? Ingatlah bahawa bukan Melayu sentiasa memerhatikan mereka. Mereka tidak lupa peristiwa keris dihunus di Perhimpunan Agung UMNO dan perasaan serong mereka terhadap UMNO diperkukuhkan oleh peristiwa Ahmad Ismail.

Kepada akhbar berbahasa Cina Sin Chew yang mendedahkan peristiwa ini, sekalung tahniah kerana anda telah berjaya meletakkan perpaduan kaum di Malaysia ke satu tahap yang cemas. Cakap hanya seorang Ketua Bahagian UMNO telah menyebabkan parti itu berada dalam kedudukan yang semakin goyah ketika ia diserang dari segenap penjuru termasuk dari dalaman parti dan Barisan Nasional.

Dalam keadaan yang goyah, apatah lagi ketika menghadapi ancaman 16 September, terpaksalah Datuk Seri Najib Tun Razak meminta maaf kepada kaum Cina bagi pihak UMNO. Dan beliau dikutuk termasuk oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut berpendapat (dalam kata mudah) jika orang Melayu bercakap semua bising, jika bukan Melayu yang bercakap tiada siapa bising.

Apakah Najib mempunyai pilihan untuk tidak meminta maaf? Ada orang berpendapat sepatutnya permohonan maaf itu datang daripada Abdullah.

Juga ditunggu apakah reaksi 13 lagi Ketua UMNO Bahagian di Pulau Pinang.

Perlu juga ditanya, adakah perpaduan kaum di Malaysia akan bertambah kukuh selepas dibesar-besarkan peristiwa keris dihunus dan episod Ahmad Ismail ini?

Untung akhbar Cina di Malaysia kerana para wartawannya boleh memahami ucapan pemimpin-pemimpin Melayu. Rugi akhbar berbahasa Melayu yang wartawan-wartawannya tidak memahami bahasa Cina yang menjadi lingua franca para pemimpin politik Cina apabila bercakap dengan kaum mereka.

Mungkin masalah-masalah begini boleh dikurangkan jika kita mempunyai akhbar dalam satu bahasa sahaja. Tapi di Malaysia kita punyai akhbar dalam pelbagai bahasa yang masing-masing menjuarai kepentingan kaum mereka. Hanya akhbar dalam bahasa Inggeris yang boleh lebih bebas daripada kepompong ini. Tapi di Malaysia ia tidak juga begitu sebagaimana yang The Star telah buktikan. - malaysiaaktif.com


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.