Sokongan Sama Waktu Dengannya

on Monday, August 18, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini makin “syok” kerana mendapat sokongan bukan sahaja daripada para penyokongnya tetapi juga pemimpin luar negara.

Dalam ceramahnya pada malam selepas penamaan calon Sabtu lalu, Anwar secara terbuka memberitahu beliau mendapat sokongan daripada bekas Presiden Indonesia, Abdul Rahman Wahid atau lebih popular dengan panggilan Gus Dur dan dua bekas Presiden Filipina iaitu Estrada dan Corazon Aquino.

Malah bagi menunjukkan betapa hebat sokongan yang diterimanya, PKR menganjurkan sidang media khusus untuk Gus Dur di ibu pejabat parti itu pagi Isnin.

Selain daripada menyatakan sokongan kepada Anwar, Gus Dur yang dikatakan mewakili jutaan anggota Nahdatul Ulama mendoakan kejayaan Anwar pada pilihan raya kecil berkenaan.

Beliau juga turut memberikan pandangan mengenai tindakan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan bersumpah tidak mengikut lunas Islam dan tidak pernah diamalkan di mana-mana.

Bagaimanapun seperkara yang perlu diberikan perhatian, mereka yang memberikan sokongan kepada Anwar dan mempertahankan Penasihat PKR itu perlu dilihat dahulu latar belakangnya.

Gus Dur jika dilihat daripada faktanya, dipecat daripada jawatan Presiden oleh Majlis Permesyuaratan (MPR) atau Parlimen Indonesia kerana diselubungi dengan pelbagai skandal termasuk penyalahgunaan kuasa, isu rasuah dan skandal seks.

Ekoran pemecatan tersebut, Naib Presidennya, Megawati Sukarnoputri telah mengambil alih jawatan Presiden.

Begitu juga dengan Estrada yang didakwa oleh Anwar memberikan sokongan kepadanya, dipecat daripada jawatan Presiden dan dipenjarakan oleh Mahkamah Filipina kerana menggelapkan wang negara.

Ini adalah fakta yang tidak boleh dipadamkan. Jangan disebabkan hanya kerana ingin membuktikan sokongan bertali arus diterima, Anwar perlulah melihat latar belakang orang yang memberikan sokongan.

Kecualilah, jika Anwar juga tergolong dalam kategori kedua-dua bekas Presiden negara jiran itu yang kewibawaannya yang dipersoalkan.

Dalam konteks kenyataan Gus Dur yang menyatakan sumpah yang dibuat tidak mengikut lunas Islam, ia bercanggah dengan pandangan ulama tempatan yang menyatakan ia adalah selaras dengan syarak.

Antara mereka ialah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas Mufti Kedah, Datuk Paduka Sheikh Abdul Majid Mohd. Noor. Malah daripada segi perundangan, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar mengesahkan sumpah Saiful itu mengikut lunas Islam dan mempunyai pemberat syarienya.

Senario ini memberikan kesimpulan, Anwar rupanya mendapat sokongan daripada mereka yang sewaktu dengannya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.