HOT ! TAJAAN IMAM & KETUA KAMPUNG MENUNAIKAN HAJI HAPUS JIKA ANWAR TAWAN PUTRAJAYA #TOLAKPR #PRU13

on Friday, April 5, 2013 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments






Janji pembangkang hendak membubarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), seperti terkandung dalam manifesto pilihan rayanya, jelas tidak munasabah kerana 1MDB telah banyak memberi manfaat kepada rakyat.

Pelaksanaan 10 program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 1MDB contohnya berjaya mencapai objektif dalam membantu meningkatkan akses pendidikan, kesihatan, perniagaan dalam kalangan golongan yang memerlukannya serta merealisasikan impian mereka.

Program CSR itu termasuk menaja kakitangan masjid serta ketua kampung menunaikan haji, Dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Klinik Bergerak 1Malaysia, Dana Belia 1Malaysia dan Rumah Arau berjaya membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat sejajar dengan aspirasi gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Setakat ini, kira-kira 1.5 juta rakyat negara ini telah mendapat manfaat daripada pelbagai program CSR di bawah seliaan Yayasan 1MDB dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM300 juta.

Muhsin Abdul Razak, 27, penerima Dana Belia 1Malaysia bagi projek seni kreatif ‘Projek Rabak’ menerima dana sebanyak RM60,000 untuk menjayakan projek itu yang bertapak di Ipoh.

Anak muda lulusan kejuruteraan automotif Universiti Teknikal Malaysia Melaka itu berkata dana berkenaan dapat membantu generasi muda yang cenderung kepada bidang seni lukis, perfileman, fotografi, puisi dan sajak.

“Kami ada laman Facebook yang kini mencecah jumlah 6,000 ‘like’ dan kini kami tubuhkan Khizanat sebagai galeri terbuka mengumpulkan peminat seni bagi berkongsi idea dan pendapat,” katanya yang menganggap projek itu sebagai platform dan tempat berkongsi idea sesama peminat bidang itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Mohd Zaidi Aziz berkata menghapuskan Dana Belia 1Malaysia seperti mana tertulis dalam manifesto pembangkang memang tidak wajar kerana inisiatif yang diberikan banyak membantu golongan muda berkemahiran dalam bidang kreatif dan inovatif.

“Kita tidak boleh menghapuskan inisiatif tersebut begitu sahaja, kita perlu lihat elemen mana yang perlu ditambah baik. Ramai yang tidak faham Dana Belia 1Malaysia ini diberikan kepada golongan muda yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang kreatif,” katanya.

Projek cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilancarkan pada 2011 itu setakat ini memanfaatkan dana kira-kira RM14.7 juta yang diberikan kepada 249 penerima yang layak bagi kategori Dana Belia 1Malaysia.

Pelajar jurusan ijazah kejuruteraan perisian, Melvin Tah Kok Wai, 22, berkata beliau berasa bertuah terpilih menyertai program perintis ‘Experince Work’ kerjasama Yayasan 1MDB dan Yayasan Sime Darby yang memberi peluang kepada pelajar kurang berkemampuan untuk bekerja di universiti.

“Saya bekerja di Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebagai penyelia yang menguruskan kediaman pelajar. Banyak pengalaman yang saya perolehi selain kemahiran berkomunikasi,” kata pelajar tahun satu Universiti Tenaga Nasional itu.

Sehingga Mac ini, seramai 75 orang pelajar universiti mendapat manfaat daripada program ini yang turut membantu meringankan beban pelajar kurang berkemampuan serta mendedahkan pelajar kepada dunia pekerjaan.

1MDB turut menyediakan ‘Projek Majudiri’ bertujuan meningkatkan kualiti hidup serta ekonomi usahawan kecil dari golongan berpendapatan rendah dengan menyediakan kursus pemantapan perniagaan dan peralatan yang sesuai dengan perniagaan yang dijalankan.

Ibu tunggal, N. Puspavalli, 36, yang menjalankan perniagaan kuih tradisional masyarakat India menyifatkan kursus itu sebagai platform kepada beliau untuk memajukan perniagaan.

“Saya dapat banyak ilmu semasa menyertai kursus selama dua hari itu, saya kini lebih yakin berkomunikasi dengan pelanggan dan tahu cara memasarkan produk saya,” katanya yang merupakan seorang daripada 3,000 peserta yang mendapat manfaat kursus itu.

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga Wangsa Maju (Seksyen 1), Ismail Abu Samah, 59, yang berpeluang menunaikan fardu haji 1433H/2012 di bawah tajaan 1MDB menyifatkannya sebagai rezeki kerana jika tidak, beliau perlu menunggu giliran selama 32 tahun untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, dengan perbelanjaan sendiri.

“Saya bersama 400 jemaah lain seluruh negara merupakan kumpulan kedua yang menunaikan haji di bawah program khas ini,” kata bapa kepada tujuh anak sambil mengakui tawaran itu benar-benar menyentuh hatinya kerana selamat pergi dan kembali dari tanah suci Makkah.

Perdana menteri baru-baru ini menyerahkan surat tawaran menunaikan fardu haji 1434H/2013 tajaan Yayasan 1MDB kepada 800 orang terdiri daripada imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

1MDB turut menyediakan dana PIBG RM20 juta bagi membantu memperkasa program dan aktiviti yang dijalankan PIBG di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Ia juga memberi biasiswa pendidikan kepada 900 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan manifesto itu menegaskan akan membubarkan 1MDB kerana mendakwa ia mempunyai fungsi dan objektif yang sama dengan Khazanah Nasional yang terlibat dalam strategi pelaburan sedangkan peranan 1MDB jauh lebih besar dan berjasa kepada warga Malaysia. — Bernama


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.