Pemuda UMNO ajak Pemuda PAS sertai bantahan filem hina Islam

on Sunday, September 16, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



 Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin berkata pergerakan itu yang kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menerbitkan filem antiIslam Innocence of Muslims, bercadang mengadakan bantahan besar-besaran Jumaat ini.

 Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab yang telah menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam tidak boleh dipandang remeh dan perlu ditentang demi mempertahankan maruah agama Islam sejagat.

 Pemuda Umno akan mengadakan bantahan secara besar-besaran pada Jumaat ini bagi menzahirkan rasa kesal terhadap penerbitan filem antiIslam itu, katanya. Lokasi dan cara bantahan itu sedang dibincangkan dan dimaklumkan dalam waktu terdekat.




 "Bantahan ini dibuat tanpa mengira fahaman politik dan diharap ia akan menjadi platform kepada umat Islam menyuarakan kepada dunia bahawa perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tindakan menghina Islam dan Nabi Muhammad tidak boleh dipandang remeh.

 "Sehubungan dengan itu Pergerakan Pemuda juga mengalu-alukan Dewan Pemuda Pas untuk turut serta mengadakan bantahan, ini adalah masalah sejagat yang perlu ditangani segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di Dewan Mutiara, Politeknik Permatang Pauh. Beliau mengulas mengenai filem antiIslam Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad dan agama Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman YouTube, yang telah mencetuskan kemarahan orang Islam di seluruh dunia.

 Khairy berkata, pihaknya sedang menunggu jawapan daripada Dewan Pemuda Pas mengenai pelawaan untuk bersama-sama mengadakan bantahan itu nanti. Sementara itu, beliau turut mengingatkan anggota Umno khususnya di Pulau Pinang agar tidak mengamalkan sikap cepat mengaku kalah sebelum berjuang kerana segala kemungkinan boleh berlaku di dalam politik.

 "Setiap ahli perlu yakin dengan kemampuan untuk memberi saingan yang hebat pada pilihan raya umum akan datang, tidak mustahil kita boleh menang di kawasan yang diwakili pembangkang," katanya. - Bernama


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.