Kapal SS Saint Pancras khazanah bernilai , tapi kerajaan tak peduli

on Thursday, September 13, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Perairan Wilayah Persekutuan Labuan yang kaya dengan tapak kapal karam kini menjadi lokasi pemburu harta karun dasar laut untuk mendapatkan isi kargo dan bahagian kapal bagi dijual di pasaran gelap dengan nilaian mencecah jutaan ringgit.

 Ini kerana, selain empat tapak popular kapal karam bagi aktiviti skuba iaitu di Australian Wreck, American Wreck, Cement Wreck dan Blue Water Wreck, terdapat beberapa lagi lokasi iaitu Terusan Kuraman, Pulau Burong, Jeti Terminal Antarabangsa, Pulat Daat dan Terusan Timur yang belum didokumentasi.

 Apa yang menariknya, dalam kajian oleh pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Baszley Bee Basrah Bee dalam Laporan Identifikasi Awal Tapak Kapal Karam 'Semarang Wreck' di kawasan perairan Permatang Semarang, Wilayah Persekutuan Labuan serta Justifikasi Projek Salvaj Penyelamat, SS Saint Pancras menunjukkan kesemua tapak kapal karam itu adalah dari pertengahan abad ke-20 masihi.

 Perkara itu didedahkan oleh pencari lokasi kapal karam yang juga penyelam, Fatharullah Amin Abd. Wahab, 39, dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Katanya, terlalu banyak artifak dari tapak kapal karam di perairan Wilayah Persekutuan Labuan diceroboh dan dijual dalam pasaran gelap sehingga nilai sejarah khazanah dasar laut itu lenyap tanpa sempat ditunjukkan kepada generasi muda hari ini.

"Usaha menyelamatkan artifak itu tidak dilakukan dengan serius, berbeza dengan kerja arkeologi yang dilakukan di darat," katanya yang mengesahkan penemuan tapak kapal karam Semarang Wreck oleh penyelam Syarikat Hati Emas Enterprise miliknya.

 Tegasnya, kajian terhadap harta arkeologi Warisan Kebudayaan Bawah Air itu khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan amat perlu dalam memberikan gambaran sejarah lampau kewujudan jalan utama penghubung aspek sosial, agama, politik dan perdagangan antara bangsa meliputi Eropah dan Asia Tenggara. "

Kita mahu mengelakkan berlaku lebih banyak kemusnahan disebabkan pelbagai kegiatan di lautan seperti aktiviti pengeboman ikan, pemburu harta kapal karam secara haram dan pencari logam bawah air yang kian berleluasa," ujarnya yang mendapat kebenaran survei Warisan Kebudayaan Bawah Air daripada Jabatan Warisan Negara.

 Fatharullah bersama krew penyelam yang menemui SS Saint Pancras iaitu sejenis kapal berenjin wap arang batu yang karam sekitar 1895 di Permatang Semarang juga kesal kerana satu penemuan berharga iaitu sebuah sauh jenis Trotman didapati hilang pada 5 April lalu, ketika tinjauan terhadap harta warisan di kapal berkenaan dijalankan pihaknya sekali lagi baru-baru ini.

 "Saya telah membuat laporan polis dan makluman sama telah saya sampaikan kepada Majlis Keselamatan Negara. Ini sesuatu yang amat dikesali selepas penemuan itu dimaklumkan kepada kerajaan supaya ia diselamatkan lebih awal," tegasnya. Sauh Trotman menjadi pilihan kapal wap dagang antara tahun 1870 hingga 1910 dan adalah yang terbaik ketika itu kerana cengkaman di dasar laut.

 "Kini pada kapal SS Saint Pancras yang dibina oleh syarikat Harland & Wolff Ltd. di Belfast, Ireland dan siap pada 8 Februari 1890 itu, terdapat tiga buah pendidih dari jenis Scotch dengan tiga relau yang bertindak sebagai pemacu kapal dengan enjin wapnya.



Kita bimbang ini juga akan lesap," tegasnya. Katanya, hari ini kapal SS Saint Pancras yang ditemuinya itu semakin musnah akibat aktiviti pencurian logam dasar laut, malahan kerangka besi yang berharga untuk kajian dan penyelidikan pula semakin rosak. "SS Saint Pancras merupakan kapal yang dilengkapi enjin wap terkini pada zamannya dan adalah yang terawal melalui proses transisi kapal layar kepada kapal berenjin wap.

Sebab itulah penemuan itu amat berharga," katanya. Fatharullah mendakwa, pentingnya Projek Penyelamat ini dilakukan kerana dokumentasi mengenai pembinaanya seperti pelan, lukisan teknikal dan foto tidak lagi dimiliki oleh Harland & Wolff Ltd., malah pihak National Museum Nothern Ireland sendiri pun tidak mempunyai rekod mengenainya.

 "Satu yang menarik mengenai SS Saint Pancras ini ialah kapal wap ini pernah terlibat dalam satu operasi penyelamat kapal lain dan anak kapalnya menerima pingat keberanian. "Pada 1892, krew kapal wap itu telah menyelamatkan enam anak kapal jenis Brigantine, 'Petrel' dan seorang anak kapalnya, James Fortay dikurniakan pingat perak dari Liverpool Shipwreck & Humane Society," katanya.

 Justeru katanya, kisah SS Saint Pancras adalah sebahagian kecil penemuan yang perlu diselamatkan kerana kaitannya dengan sosio ekonomi WP Labuan. "SS Saint Pancras merupakan kapal wap sepenuhnya yang menggunakan enjin 'Triple Expansion' tertua pada kelasnya yang ditemui di perairan negara ini dan bantuan kerajaan untuk mengenal pasti warisan dasar laut ini amat ditagih," katanya.






Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.