UMNO JAMIN TERUS BELA NASIB & MASA DEPAN MELAYU @NajibRazak @dzainalabidin

on Wednesday, December 4, 2013 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




UMNO memberi jaminan akan terus membela nasib dan masa depan orang Melayu dan bumiputera di sebalik persoalan yang sedang berlegar akan hala tuju parti tonggak Barisan Nasional (BN) itu.

Menyatakan komitmen itu ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, perjuangan membela nasib Melayu dan bumiputera masih belum selesai.

Dalam ucapannya bertajuk "Menyambung Risalah Perjuangan Suci" di hadapan 2,967 perwakilan tiga sayap itu, beliau mengingatkan UMNO tidak akan mengabaikan kepentingan ekonomi orang Melayu dan bumiputera.

"UMNO akan terus mendukung tugas besar ini selagi UMNO wujud dan mendapat sokongan rakyat.

"Justeru, kepada mereka yang meragui ketegasan UMNO mempertahankan agenda bumiputera, katakan kepada mereka UMNO bukan parti picisan yang mudah tenggelam dalam arus perubahan.

"Kita ucapkan syabas kepada Presiden selaku Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) atas komitmen dan usaha beliau untuk memperkasa ekonomi bumiputera yang perlu dijadikan agenda besar," kata beliau.

Serentak itu, Muhyiddin berkata, secara khusus, tujuh inisiatif utama hendaklah dilaksanakan segera untuk menyokong pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, iaitu:


1. Selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan, ketua-ketua eksekutif syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) hendaklah menyediakan pelan lengkap bagaimana untuk membantu syarikat-syarikat bumiputera. Senaraikan peluang-peluang yang boleh direbut oleh syarikat-syarikat bumiputera dan kemukakan laporan prestasi secara berkala kepada Majlis Ekonomi Bumiputera.

2. Anak-anak bumiputera mesti segera merebut peluang menyertai pelbagai latihan peningkatan kemahiran yang disediakan oleh kerajaan.
Ini termasuk pendidikan vokasional dengan penambahan kolej-kolej vokasional bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar bumiputera untuk mengikuti latihan.

3. Kerajaan perlu mempergiatkan usaha meningkatkan peratusan golongan profesional Melayu dan bumiputera dalam pelbagai bidang.

Sehingga kini, kerajaan berjaya meningkatkan jumlah tenaga profesional Melayu dan bumiputera menerusi skim latihan dan pendidikan tinggi sehingga peratusan mereka menjangkau 40-50 peratus dalam pekerjaan profesional seperti doktor perubatan, doktor gigi, doktor veterinar, jurutera dan juruukur.

4. Peniaga dan pengusaha Melayu dan bumiputera mesti meningkatkan daya saing serta bersedia menghadapi persekitaran perniagaan yang mesra-pasaran. Oleh itu, orang Melayu dan bumiputera mesti menerima prinsip ketelusan dan persaingan untuk menikmati bantuan kerajaan dan merebut pelbagai peluang yang tersedia. Ini bertujuan supaya peniaga dan pengusaha Melayu lebih bersedia untuk menangani cabaran globalisasi dan pembukaan pasaran yang semakin mendesak ketika ini.

5. Bagi mengukuhkan lagi kemajuan ekonomi orang Melayu dan bumiputera, kerajaan mestilah meneruskan usaha membantu dan memajukan aset-aset kaum Melayu dan bumiputera seperti tanah dan tabungan untuk melengkapkan usaha lain yang selama ini telah dilaksanakan.

6. Kerajaan harus meneruskan usaha memenuhi tuntutan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Melayu dan bumiputera, baik di kota mahupun di desa. Bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat bumiputera di kota, skim perumahan mampu milik perlu diperluaskan dengan segera di samping memperkenalkan skim rumah mampu sewa.

7. Bagi mengatasi masalah peningkatan kos hidup, lebih banyak program menjana pendapatan mesti dilaksanakan, terutamanya di kawasan luar bandar dan kawasan miskin bandar. Kerajaan mesti memperluaskan industri berasaskan pertanian dengan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan seperti pinjaman modal dan latihan, memperkasa industri kecil dan sederhana, serta membantu peniaga-peniaga kecil, petani dan nelayan.

Agensi-agensi yang menyediakan kemudahan pembiayaan, hendaklah mempermudahkan pemberian pembiayaan kepada usahawan dan peniaga bumiputera yang layak. Selain itu, pihak-pihak berkuasa tempatan hendaklah mempermudahkan pemberian lesen kepada peniaga-peniaga kecil.

"Kita hanya tinggal enam tahun sahaja lagi. Masa amat mencemburui kita. Apa makna kita menjadi negara maju jika orang Melayu dan bumiputera tidak mendapat bahagian yang adil dan setimpal dalam kek ekonomi negara," kata Muhyiddin.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.