Dalam wawancara dengan media di pejabatnya di Putrajaya semalam menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2015, 

Najib menjawab dengan jelas dan tegas semua persoalan termasuk isu panas 1MDB, derma RM2.6 bilion serta hubungannya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


SOALAN: Bagaimana persediaan Perhimpunan Agung UMNO 2015 terutama apabila diadakan dalam format berlainan dan UMNO juga berdepan dengan beberapa isu?

NAJIB: Saya bersedia dan segala persiapan untuk perhimpunan agung nampak berjalan dengan baik dan lancar. Perhimpunan ini sa­ya harap akan kita jadikan satu platform yang kita boleh menguatkan semangat, iltizam ahli-ahli parti untuk terus berjuang memperlihatkan UMNO sentiasa relevan. UMNOlah parti yang boleh menjamin masa depan Malaysia yang tercinta ini dan UMNO juga parti yang orang Melayu bumiputera boleh bergantung harap.

Apakah perhimpunan kali ini paling mencabar kepada Datuk Seri sebagai Presiden?

NAJIB: Setiap perhimpunan agung ada cabarannya. Walaupun cabaran yang berlaku pada setiap perhimpunan itu berlainan, misal­nya tahun lalu soal Akta Hasutan merupakan isu utama. Pada tahun ini isunya berlainan, namun barangkali kalau dilihat suhunya, kepanasan politik tahun ini lebih mencabar berbanding tahun sudah.
Namun dalam sejarah perjuangan parti kalau kita menyorot kembali pada perhimpunan dulu, ia le­bih panas daripada tahun ini. Jadi saya menganggap ini asam garam dalam politik. Sebagai Presiden parti saya akan tangani apa jua cabaran dengan kesungguhan dan kebijaksanaan supaya parti akan muncul daripada perhimpunan ini dengan kekuatan yang baharu, insya-Allah.

Ada tanggapan me­nga­takan UMNO tidak lagi demokratik, tidak boleh bersuara, adakah ini benar?

NAJIB: Ini tidak benar sebab mereka lupa bahawa sayalah Presi­den parti yang telah mengubah Perlembagaan UMNO. Saya dipilih oleh 160,000 perwakilan di pering­kat akar umbi. Maknanya kalau dulu dalam Perlembagaan UMNO, sesiapa nak bertanding jawatan Presiden mesti dicalonkan oleh 63 bahagian. Cuba bayangkan tentu sekali amat sukar sesiapa yang ingin lawan Presiden untuk memperoleh 63 pencalonan. Jadi saya memberanikan diri mansuhkan peruntukan tersebut agar UMNO lebih demokratik, lebih terbuka kerana saya ingin menjadi seorang Presiden yang dipilih oleh perwakilan yang jauh lebih ramai daripada mereka yang ada di dalam Dewan Merdeka atau pun ada syarat-syarat seperti kuota untuk bertanding. Kalau saya nak pilih jalan mudah, saya kekalkan Perlembagaan lama tetapi saya berpendirian UMNO harus le­bih terbuka dan demokratik.

Apabila persidangan sayap-sayap tidak dibuka oleh Timbalan Presiden, ini juga menimbulkan persepsi dan tanggapan bahawa parti sekarang sudah menjadi ‘parti Najib’.

NAJIB: Tidak, sebenarnya hasrat ahli Majlis Tertinggi apabila mem­buat keputusan tersebut. Per­tamanya, cadangan itu datang daripada ketua-ketua sayap sama ada Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah mengeluarkan cadangan terlebih dahulu di peringkat Exco masing-masing dan bersetuju untuk bawa ke Majlis Tertinggi.
Kedua, Majlis Tertinggi membincangkan perkara ini, yang kita lihat bahawa ini merupakan konvensyen. Ini bukan soal dalam Perlembagaan. Yang kita nak utamakan ialah mesej kepada perhimpunan itu. Bukan bererti kita hendak mengongkong ahli daripada berbincang, bersuara, pendapat atau sebagai­nya. Tetapi kita nak mesej itu, mesej yang satu sahaja atas nama kepemimpinan parti supaya ahli-ahli tidak akan berserabut dari segi fikiran mereka. Supaya mereka tahu tentang hala tuju, apa yang perlu dilakukan dengan isu-isu semasa sebab kita mahu berdepan dengan pilihan raya. Sehubungan itu parti mesti bersatu, parti mesti kukuh, parti tidak boleh berserabut, parti mesti dilihat sebagai satu pasukan yang jitu. Jadi itulah hasrat kita bahawa perhimpunan ini dalam apa jua keadaan mesti dilihat sebagai satu usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan kekuatan parti.

Kita tahu tentang konspirasi ingin menjatuhkan Datuk Seri baru-baru ini tetapi Datuk Seri tidak banyak bercakap mengenai­nya.

NAJIB: Mungkin ada pelbagai pendapat tentang hal ini. Saya tak nak sebut secara jelas perkara ini sebab mungkin bergantung pada beberapa andaian atau pun persepsi atas apa yang telah berlaku. Yang pentingnya saya mesti menunjukkan bahawa saya tidak melakukan kesalahan dan kalau saya tidak melakukan kesalahan, saya di pihak yang benar dan bukan sahaja dari segi undang-undang tetapi moral. Itu yang penting bagi saya.

Adakah isu ekonomi akan dapat perhatian pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini terutama kos sara hidup?

NAJIB: Saya amat sedar dan mengetahui bahawa ini merupakan isu utama dalam kalangan rakyat malah kalau kita buat kajian isu ini lebih besar daripada isu 1MDB dan RM2.6 bilion. Sebab ini isu yang dekat di hati rakyat. Soal kos sara hidup yang dinyatakan meningkat, ia ada kaitan dengan kedudukan nilai mata wang kita. Kalau kita lihat kedudukan nilai mata wang Malaysia, ini adalah disebabkan tiga faktor utama. Satu, kejatuhan harga minyak begitu ketara sekali sehingga semalam kita lihat harga minyak berada pada paras AS$42, AS$43 setong. Setahun lebih dahulu AS$110 dan ini menyebabkan tekanan kepada mata wang kita. Kedua, ekonomi China yang menguncup perlahan, pertumbuhan yang lebih perlahan dan juga langkah Amerika Syarikat yang mungkin menaikkan kadar faedahnya.
Ini semua menjejaskan negara ekonomi membangun, maknanya ia berada di luar kawalan kita. Jadi tidak boleh kerajaan dipersalahkan, macam krisis kewangan 1997. Kebanyakan faktor itu luar daripada kawalan kita, jadi kita telah melalui krisis yang lebih buruk lagi dulu. Sekurang-kurangnya hari ini ekonomi kita masih berkembang hampir lima peratus. Sekurang-kurangnya bilangan pekerjaan masih boleh te­rus bertambah. Jadi kita pun boleh menolong rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan beberapa langkah yang lain yang telah kita lakukan. Jadi kerajaan akan cuba melakukan sedaya upaya kita tetapi yang saya hendak nyatakan di sini, kita mempunyai kekangan sebab tahun hadapan hasil negara akan berkurangan sebanyak lebih RM39 bilion apabila harga minyak jatuh. Ini menyebabkan kemampuan kita untuk melakukan lebih daripada yang boleh atau pun kita lakukan pada masa ini, ada hadnya.

Apakah agenda perhimpunan agung lalu sudah tercapai ?

NAJIB: Ya, ada. Boleh katakan aku janji pilihan raya berjalan baik. Kita telah melaksanakan hampir semua aku janji kita. Sebab itu kita akan membuat sedikit pameran pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, di luar Dewan Merdeka untuk memaparkan pencapaian yang kita telah dapat lakukan berdasarkan pada aku janji pilihan raya yang lalu. Ada yang dalam proses misal­nya janji kita dalam bidang perumahan, ia dalam proses. Ia tidak boleh siap dalam masa dua tahun sepenuhnya tetapi yang pentingnya kita telah pun ambil tindakan dan komitmen kita itu dapat kita lihat.

Tiga tahun lagi kita akan menghadapi PRU Ke-14 dan Tun Dr. Mahathir berpendapat Datuk Seri adalah liabiliti kepada parti. Apakah Datuk Seri yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh mengekalkan kemenangan?

NAJIB: Saya tetap yakin, insya-Allah kita boleh mencapai kejayaan sebab kalau kita lihat alternatif yang ada sekarang ini, pembangkang berada dalam keadaan yang lebih kucar-kacir dan kepemimpinan mereka pun tidak begitu menentu. Saya rasa mereka pun ada masalah untuk menentukan pemimpin utama yang boleh memimpin mereka.
Walaupun saya akui mungkin kedudukan kita menurun sedikit disebabkan isu-isu yang dipermainkan oleh pihak tertentu tetapi kita ada masa lagi untuk berusaha dan salah satu daripada cabaran kita ialah media sosial. Media sosial ini yang mempengaruhi pemikiran rakyat dan itu menyebabkan kita berhadapan dengan cabaran yang lebih besar berbanding pada masa lalu.

Apa yang paling mengganggu fikiran Datuk Seri pada perhimpunan kali ini?
NAJIB: Saya mahu parti kita padu, saya tak nak ada keadaan yang lihat bahawa parti kita seolah-olah bercelaru keadaannya dan kita ini tidak sehaluan. Bukan bererti saya ingin mengongkong pendapat yang berbeza dalam parti tetapi perpaduan itu penting. Bekerja sebagai satu pasukan itu penting dan kalau kita dapat merapatkan barisan kita, saya percaya tiada sebab mengapa UMNO tidak boleh terus berjaya.

klik di bawah selanjutnya