Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan walau bagaimanapun berkata, sehingga kini, tiada sebarang perancangan atau keputusan dibuat di peringkat Jemaah Menteri berhubung perkara tersebut.

“Kementerian menyedari beban kewangan yang ditanggung rakyat ketika ini, justeru, kerajaan akan berusaha mencari penyelesaian dengan mengadakan rundingan dan persetujuan bersama syarikat-syarikat konsesi,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dilaporkan berkata, terdapat lapan lebuh raya yang layak untuk menaikkan kadar tol pada tahun hadapan, tetapi kenaikan itu masih belum dimuktamadkan.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Link Kedua, Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (Elite), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Selat Klang Utara (NNKSV).

Dalam proses rundingan tersebut, jelas kenyataan berkenaan, beberapa perkara dan parameter perlu diberi perhatian seperti mengurangkan beban konsesi terhadap pemberi pinjaman, pemegang bon serta obligasi dan kepentingan pihak kerajaan.

“Prinsip asas kepada rundingan ini adalah berpaksikan kepada situasi menang-menang antara kerajaan dan syarikat konsesi,” katanya.