Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, aspek tersebut penting bagi memperkuatkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau yang akan membahaskan usul berkenaan memberitahu, pada masa sama, teguran membina boleh disuarakan demi kebaikan parti.

“Teguran bukan dengan niat untuk menjatuhkan atau mengaibkan pihak lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, mesej yang disampaikan dalam sesi perbahasan mesti berupaya meniup semangat ahli-ahli parti untuk terus berjuang membela agama, bangsa dan negara.

Beliau yang akan membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO menjelaskan, semua pemimpin dan ahli UMNO seharusnya sedar tentang pelbagai cabaran getir yang dihadapi parti ketika ini.

“Saya sendiri akan memberi penekanan kepada aspek persiapan dan hala tuju UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 dalam sesi perbahasan nanti,” ujarnya.