Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada 8 hingga 12 Disember ini akan dihadiri para perwakilan dan ahli yang mahu mengikut perhimpunan tersebut.

“Semua persiapan berjalan lancar, saya dengar desas-desus ada yang datang untuk buat kacau dan saya ingin nyatakan bahawa perkara itu tidak akan berlaku.

“Kita menerima semua ahli UMNO yang datang tidak kira mereka yang datang memakai baju biru mahupun hitam, tujuannya adalah sama iaitu untuk memeriahkan dan menjayakan perhimpunan,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Bantuan Persekolahan Ceria ke Sekolah peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada 8 hingga 12 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Menurut Tengku Adnan, mana- mana pihak tidak sepatutnya me­nimbulkan spekulasi dengan mengatakan akan ada kekacauan semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO.
Selain itu, Tengku Adnan merangkap Menteri Wilayah Persekutuan berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sudah membalas surat jemputan dan me­nyatakan kesudian untuk hadir.

“Sekarang kita masih menunggu surat makluman kehadiran daripada seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah,” katanya.

Mengulas mengenai ucapan pada sesi penggulungan, Tengku Adnan berkata, sudah cukup sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja menyampaikan ucapan dalam sesi itu.
Dalam pada itu katanya, jumlah penerima keseluruhan yang terlibat dalam program Ceria ke Sekolah pada tahun ini adalah 13,300 murid dengan perbelanjaan keseluruhan RM2 juta berbanding RM1.5 juta perbelanjaan tahun lalu dengan 10,000 penerima.

Sebanyak 1,400 murid sekolah menerima bantuan persekolahan iaitu beg sandang dan RM100 seorang dalam Parlimen Putrajaya,

“Kerajaan berharap bantuan ini akan memberi motivasi kepada mereka untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya.